Seperti ayah kepada pemain! Amir Abu Bakar dalam kenangan! Legenda libasan emas Sukan Merdeka '85!
Published bySKUAD negara pemenang pingat emas berpasukan Sukan Merdeka Brunei 1985 membariskan antaranya Amir Abu Bakar (depan, tengah), Ismail Atan, Omar Husin, Mahat Daud dan Raziman Hassan. - Kredit foto: IT
PINGAT emas Sukan Merdeka Brunei 1985 sumbangan Amir Abu Bakar buat Malaysia. - Kredit foto: IT
“NASIHATNYA menyentuh perasaan saya apatah lagi saya sebagai ketua pasukan negara dan ketua regu penentuan ketika Sukan SEA Laos 2009."
Mohd. Hafizie Manap berkongsi secebis momen dan memorinya sepanjang menerima bimbingan Amir Abu Bakar, penolong jurulatih negara dari 2007 hingga 2010.
“Abang Amir banyak beri nasihat. Ketika itu saya bergandingan dengan Fazil Asri dan Khairudin Adenan yang perlu mengalahkan Indonesia dalam separuh akhir acara regu berpasukan.
“Regu pertama negara menang tetapi regu kedua tewas jadi regu kamilah yang mendapat banyak sokongan dan semangatnya,” cerita Hafizie yang meraih pingat perak di Vientiane, Laos itu yang juga jurulatih skuad pelapis Malaysia B.
ALLAHYARHAM Amir Abu Bakar selain bersama skuad negara, pernah melatih Selangor dan Sarawak dalam Liga Sepak Takraw (STL), Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari dan Sukan Malaysia. - Kredit foto: AAB
Amir Abu Bakar dijemput Ilahi kira-kira pukul 4 pagi hari pertama Ramadan 1446 Hijrah atau 2 Mac 2025, dalam usia 62 tahun.
Anak jati Pulau Pinang ini dilaporkan mengalami komplikasi jantung dan hampir seminggu diberikan rawatan di Hospital Serdang, Selangor.
Amir meninggalkan seorang balu, Zarina Zakaria dan empat anak (tiga lelaki dan seorang perempuan) berusia 26 hingga 37 tahun.
"Kata doktor, Allahyarham mengalami masalah jantung dan injap serta pernah dirawat di Hospital Seremban.
"Jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, Cheras, Selangor kira-kira pukul 10 pagi (2 Mac 2025). Sebelum itu, jenazah disolatkan di rumah, Taman Seri Raya, Kajang," kata isterinya.
AMIR Abu Bakar (jersi kuning, depan) bersalaman dengan pemain Brunei pada Sukan Merdeka Brunei 1985. - Kredit foto: IT
Tekong ini membantu mengalungi Malaysia pingat emas regu berpasukan Sukan Merdeka Brunei 1985 selain menyarung jersi Wilayah Persekutuan menjuarai acara sama pada Sukan Malaysia (Sukma) pertama, 1986.
Amir beraksi sebagai regu pertama Wilayah dengan Mahat Daud dan Tun Saiful Zaman, manakala rakan sepasukan lain termasuk Raziman Hassan, Noor Rani Adnan, Nazri Halimat dan Hambali Johari yang menewaskan Perak 2-1 (6-15, 18-15, 10-15), (15-10, 15-8), (15-4, 15-8) pada perlawanan akhir.
Di Brunei yang juga mirip Sukan SEA pula, dia bergandingan dengan Ismail Atan (perejam) dan Mahat (pengumpan) dalam regu ketiga negara yang memastikan kemenangan mutlak 3-0 terhadap musuh tradisi Thailand.
Turut serta dalam skuad emas kendalian Hassan Sulaiman yang turut mengatasi tuan rumah, Singapura dan Indonesia itu ialah Zainal Abidin Othman, Omar Husin, Raziman Hassan, Rani, Salim Yusof dan Mubarak Kassim.
Terdahulu beliau mewakili negeri kelahirannya, Pulau Pinang dalam Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari, manakala yang terkini, sebagai ketua jurulatih Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 selain sempat membimbing Selangor menjulang trofi sepak takraw berprestij itu pada 2011 di Kuching.
AMIR Abu Bakar (barisan belakang, kanan) meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2011 di Kuching setelah mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 dengan bintang-bintang negara seperti Noor Azman Hamid, Futra Ghani, Azlan Mubin, Farhan Adam, Norshahuddin Mad Ghani dan Arif Busu.
Kata Hafizie, bekas pengumpan skuad pemenang pingat perak Sukan Asia Guangzhou 2010: “Sukar melihat Abang Amir marah kami pemain negara malah dia antara yang banyak mengeluarkan idea. Jasa dan pengorbanannya pun banyak.
”Sesetengah jurulatih lain mungkin mudah mengherdik dan memarahi kalau ada pemain buat silap tetapi cara arwah lain, dia menukarnya kepada teguran dan melayan pemain macam anak-anaknya,” katanya.
Amir seingatnya, menganggotai barisan kejurulatihan Malaysia pimpinan Haris Abdul Rahman selain Iskandar Arshad, Zaidi Ismail, Nurudin Pawi dan Sahar Omar.
“Ketika itu, kami ada Malaysia A dan B yang bermain Kejohanan Dunia Piala Malaysia 2009 di Kuala Terengganu. Abang Amir juga antara yang kerap mengikuti pasukan negara ke Piala Raja Thailand, Sukan SEA Laos dan Piala Datuk Bandar,“ jelasnya.
Kali akhir pertemuan mereka, kata Hafizie, ialah pada perlawanan persahabatan Malaysia B dan Sarawak di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Jun 2024 lalu.
AMIR Abu Bakar (depan, kanan) dan Mohd. Hafizie Manap (depan, tengah) pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand 2009. - Kredit foto: IT
Haris turut mengenang Amir sebagai seorang yang baik malah cukup meminati kejurulatihan sepak takraw.
“Hubungan kami terputus apabila kontrak sebagai jurulatih negara tidak disambung pada 2010. Saya mengenalinya sebagai pemain negara era 80-an yang pernah bekerja dengan sebuah bank komersial.
“Arwah minat betul jadi jurulatih, dia pun banyak bantu tugas saya dalam program latihan pasukan kebangsaan,” kata ketua jurulatih skuad juara Sukan Asia Beijing 1990 dan Hiroshima 1994, Sukan SEA Manila 1991 dan Piala Raja Thailand 1988 ini.
AMIR Abu Bakar (lima dari kiri) dan Haris Abdul Rahman (empat dari kanan) sebagai penolong dan ketua jurulatih Malaysia A dan B dalam Kejohanan Dunia Piala Malaysia Ketiga, 2009 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. - Kredit foto: IT