Tahniah Dollah dan Zainal! Dulu penyerang kembar negara! Kini legenda pertama terpilih jadi Exco FAM!
Published byZAINAL Abidin Hassan (kiri) dan Dollah Salleh, bekas penyerang kembar Malaysia era 80-an hingga 90-an yang kini bergandingan pula dalam Exco FAM 2025-2029. - Kredit foto: FAM
LEGENDA penyerang kembar negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan menjadi muka baharu malah muncul dua bekas pemain bola sepak pertama yang dipilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 15 Februari 2025.
Gandingan anggota
skuad pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan juara Pestabola
Merdeka 1986 ini mendapat kepercayaan majoriti 17 ahli gabungan FAM yang layak
mengundi pada pemilihan menerusi Kongres Ke-61 bagi penggal 2025-2029 di sebuah
hotel di Subang Jaya, Selangor.
Dollah, 62,
meraih 16 undi iaitu yang ketiga terbanyak calon-calon Naib Presiden persatuan di
belakang penyandang, Datuk Seri Rosmadi Ismail dan dua lagi pendatang baharu,
Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin (17 undi) selain Saaran Nadarajah (13 undi).
Zainal, 64, pula antara calon yang beroleh undi terbanyak selaku Ahli Exco baharu FAM dengan 18 undi diikuti Hishamuddin Abdul Karim juga pendatang baharu, dan Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang mempertahankan kerusinya, masing-masing dengan 17 dan 16 undi.
Sebagai rekod, kali akhir Exco FAM menerima kehadiran legenda negara ialah pada 2007 iaitu Datuk Soh Chin Aun namun bekas kapten yang digelar ‘Tauke’ dan layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 itu hanya dilantik dan bukannya dipilih menerusi Kongres.
DARI kiri, Zainal, Dollah, Joehari Ayub antara yang membarisi Exco FAM 2025-2029 menerusi Kongres Tahunan Ke-61 di Subang Jaya. - Kredit foto: FAM
Ahli-Ahli Exco FAM yang lain yang terpilih ialah Mohd. Azizudin Mohd. Shariff (16), Tang Chee Hong, Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dan Datuk Dr. P. Sugumaran (11).
Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah dan Datuk Suraya Yaacob mengekalkan jawatan Ahli Exco Wanita FAM mereka dengan masing-masing mengumpul 15 dan 10 undi setelah memenangi pertandingan lima penjuru.
Tiga pencabar mereka ialah Datuk Dr. Fadilah Sarbi (lapan) dan Mimi Afzan Afza (tiga) manakala bekas pemain futsal negara, Nur Izwani Azman gagal beroleh sebarang undi.
Pemilihan pucuk
pimpinan persatuan yang ditubuhkan pada 1933 sebagai Persatuan Bola Sepak Tanah
Melayu/Malaya (FAM) ini walau bagaimanapun kurang daya tarikan utama apabila hanya
Kongres mengesahkan Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub sebagai Presiden secara
rasmi, menggantikan Tan Sri Hamidin Amin yang tidak mempertahan kerusi No. 1
dan ‘panas’ itu.
Beliau yang juga Naib Presiden penggal 2021-2025 dan gandingan Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram telah pun diisytihar menang tanpa bertanding setelah hanya nama mereka yang tersenarai apabila pencalonan pemilihan kepada ahli-ahli gabungan FAM, ditutup pada 16 Januari 2025 lalu dan disaring oleh Jawatankuasa Pemilihan persatuan.
JOEHARI Ayub (barisan depan, tiga dari kiri) mengangkat tangan Hamidin Amin selepas ucapan Presiden FAM terdahulu itu. Dua dari kanan dan dua dari kiri ialah Mohd. Yusoff Mahadi dan S. Sivasundaram, - Kredit foto: FAM
Ulasan pemenang jawatan
dan bekas penyandang:
Joehari: “Tahniah kepada semua barisan Exco yang menang. Komposisi yang terbaik yang kami nampak dari negeri-negeri, bekas pemain kebangsaan dan ahli-ahli baharu. Perancangan akan berjalan. Beri masa sedikit untuk pasukan ini berkembang dengan baik dengan ahli teknikal yang baharu (revolusi pasukan kebangsaan).
“Hamidin tinggalkan pencapaian besar yang sukar dicari ganti. Jangan lupa dia sudah rangkakan asasnya. Tambah baik perspektifnya yang kami susuli dengan pasukan baharu (Exco). Ada perubahan pun akan bergantung kepada situasi.
“Dalam masa terdekat, saya hendak lihat struktur FA dan liga serta perkasa mana-mana unit yang boleh ditambah baik, serta-merta juga barisan kejurulatihan pasukan negara akan diberi keutamaan.
“Masih terlalu awal (terpilihnya Dollah dan Zainal). Dalam masa terdekat, kami akan ada mesyuarat Exco pertama, akan umumkan. Bola sepak wanita satu perkara yang penting, akan teruskan menyokong programnya.
“Hasrat saya sama dengan peminat-peminat, untuk menang (pasukan negara menentang Nepal di gelanggang lawan, 25 Mac 2025 dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F). Sudah tentu apa yang KPI (indeks prestasi utama) untuk Exco FAM sentiasa ada dan perhalusi, untuk mereka membuat yang terbaik.
“(Liga M yang sering bermasalah) ini perkara yang akan kami bawa lihat kerana keadaannya tidak sihat. Kami akan bekerjasama dengan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia). (Syor lantik Hamidin dengan peranan lain tertentu seperti penasihat atas jasa besar lalunya), apa-apa keputusan pun akan mesyuarat dengan Exco.”
“(Sekretariat FAM sedia ada umpama nadi dalam organisasi atau perantara pasukan bola sepak wajar ditukar atau dikekalkan atas budi bicara selaku Presiden baharu), setakat ini memang saya berpuas hati dan tidak nampak apa-apa yang pincang. Saya pun sebelum ini sebagai Naib Presiden tiada masalah dengannya.”
Hamidin: “Tahniah kepada yang menang untuk membawa (amanah) empat tahun akan datang. Saya harap akan ada perkara-perkara baharu dan saya akan terus menyokong dari belakang. Bagus bagi kita bagi peluang kepada orang baharu.
“Tiada ulasan bagi kemenangan (sesiapa). Momen yang saya tinggalkan (jawatan Presiden FAM) ramai yang tidak sangka. Saya ini memang sudah lama menunggu penggal ini, hendak bagi proses peralihan itu. Ada baiknya presiden baharu, sesiapa boleh memegang jawatan.
“Saya berjiwa besar untuk melepaskan jawatan itu walaupun saya mendapat desakan untuk saya mempertahankannya. Saya tahu apa yang saya buat. Yang penting kita kena terus bola sepak negara dan FAM.
“Walaupun saya boleh bertanding lagi tetapi semangatnya kena beri peluanglah kepada orang muda takkanlah sampai kita tua kita hendak jadi, idea baharu kena masuk. Sudah tentu kita tidak dapat 100 peratus yang kita hendak tetapi saya cuba buat banyak yang terbaik, banyak elemennya bukan sahaja kejayaan layak ke Piala Asia 2023/2024 itu hanya sebahagian.
“Futsal, bola sepak, belia akademi SupaRimau, kejayaan sesebuah persatuan bukan hanya pasukan kebangsaan walaupun itu satu elemen besar, banyak yang ditambah baik. Orang yang sukalah sekarang (mendesak saya berundur). Saya tidak mahu mempersoanya. Mungkin tidak dapat memuaskan semua. Orang akan nilaikan, peminat. Sesiapa pun ada kelemahan dan kekuatan.
“Saya tidak pasti (kembali ke FAM dalam lain peranan kalau bukan Presiden Kehormat). Rasanya tidak, saya tidak pasti. Setakat ini saya tidak boleh kongsi lagi (rancangan masa depan). Saya sudah lama tinggalkan keluarga saya, ini masa saya hendak bersama mereka.
“Kadang-kadang satu tempat itu kita tidak boleh lama. Empat puluh tahun saya dalam arena bola sepak, mengharungi pelbagai jawatan Naib Presiden, Setiausaha Agung, Exco (FAM dan Persatuan Bola Sepak Selangor - FAS), masa untuk berehat sedikit tetapi saya ada tanggungjawab sebagai Ahli Majlis FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan Exco AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia). Saya habiskan penggalnya sampai 2027.
“Satu sahaja saya cakap, awak takkan dengar saya kalau telefon minta komen tentang FAM, sedikit pun. Saya hendak terus menyokong dan beri pandangan. Yang penting saya hendak pandu. Kelemahan memang ada, ini tanggungjawab besar Joehari. Yang penting kita ikhlas untuk naikkan bola sepak negara.
JOEHARI Ayob menyampaikan memento penghargaan khas kepada Hamidin Amin yang menerajui FAM dari 14 Julai 2018 hingga 15 Februari 2025. - Kredit foto: FAM
“(Menyamai pencapaian layak Piala Asia sejak 1980 sebagai satu penanda aras Joehari sebagai Presiden baharu FAM), ini awak sudah mula minta komen, saya tidak akan komen. Sudah tentu harapan kita hendak pasukan kita layak sekali lagi 2027, betul? Hanya saya doakan pasukan (baharu negara ini kendalian Peter Cklamovski) akan berjaya walaupun kita tahu cabaran kita satu daripadanya Vietnam (juara Piala AFF 2024-2025). In shaa Allah, semuanya sedang diusahakan.
“Bila-bila masa, bukan Joehari, sesiapa sahaja dengan FA ahli gabungan FAM, jika minta pandangan dan sokongan. Saya pun ada pegang beberapa jawatan (antarabangsa). (Sebak ketika Kongres), biarlah rahsia, kita sebagai pemimpin, kita kena terima.
“(Maklum balas sahabat baik Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al-Khalifa ekoran pengunduran dari FAM), ada yang datang (Kongres ini). Itu sulit dan persendirian bagi saya dan mereka. Saya sudah jumpanya (para pemimpin AFC)." - KitaReporters
JAWATANKUASA
EKSEKUTIF (EXCO) FAM 2025-2029
Presiden: Datuk Mohd.
Joehari Mohd. Ayub
Timbalan Presiden:
Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi, Datuk S. Sivasundaram
Naib Presiden: Datuk
Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin, Datuk Dollah Salleh, Saaran Nadarajah
Ahli Jawatankuasa: Datuk Zainal Abidin Hassan, Hishamuddin Abdul Karim, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff, Tang Chee Hong, Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, Datuk Dr. P. Sugumaran, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, Datuk Suraya Yaacob.
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay turut mengundi pada Kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 di Subang Jaya yang mewakili Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ahli gabungan FAM. - Kredit foto: FAM