FINAL Euro 2024 menemukan England (atas, kiri), naib juara 2021 dan juara tiga kali, Sepanyol manakala Copa America 2024 menjadi rebutan Colombia (bawah, kiri) dan Argentina. - Kredit foto: SA


TANGGAL 14 Julai 2024 atau yang tepatnya, 15 Julai 2024 mengikut waktu Malaysia, dua babak bola sepak ‘Piala Dunia Mini’ bakal disajikan di dua pentas hijau berbeza di muka planet Bumi ini.

Selepas sepak mula perlawanan akhir pukul 3 pagi, juara baharu Euro 2024 atau Kejohanan Eropah akan ditabalkan antara Sepanyol dan England di Stadium Olimpia, Berlin, Jerman.

Antara tujuh atau lapan jam kemudian, akan muncul pula siapa pemilik Copa America 2024 sama ada Argentina atau Colombia selepas finalnya di Stadium Hard Rock, Miami, Florida, Amerika Syarikat.

Kenapa digelar Piala Dunia Mini? Sejak Piala Dunia atau Piala Jules Rimet diasaskan pada 1930, hanya negara dari benua Eropah dan Amerika Selatan yang pernah menjuarainya.




Enam tokoh penggiat bola sepak dan sukan Malaysia memberikan ulasan ringkas siapa bakal bergelar juara permainan cantik (seperti digelar Si Raja Bola, Pele) bagi masing-masing edisi ke-17 Euro anjuran Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan ke-48 kelolaan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) ini.   


FAISAL ZAKARIAH:

Bekas pengurus pasukan Public Bank, Felda United dan PKNS FC serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“England akan menang 2-1 dengan gol minit akhir. England macam pepatah Melayu, ‘cencaru yang makan petang’ (hanya mendapat keuntungan pada saat-saat akhir).

“Sudah kerap terbukti begini dalam (pusingan kedua menewaskan Slovakia 2-1, menang penalti suku akhir dengan Switzerland 5-3 dan separuh akhir 2-1 terhadap Belanda). 

“The Three Lions cekap menyambar peluang ketika kealpaan lawan. Inilah sebahagian daripada taktikal pengurusnya, Gareth Southgate.

“Copa America pasti milik Argentina (yang ke-16-nya), tidak syak lagi (mampu disaingi La Tricolor).”  


FAISAL ZAKARIAH


REDUAN ABDULLAH:

Bekas perantara Selangor dan Malaysia 1973 hingga 1985, anggota skuad juara Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Piala Raja Thailand 1978

“Sepanyol punya kelebihan. Mereka ada pemain berkemahiran individu yang baik berbanding England. Saya pilih Sepanyol sebagai juara. 

“Lamine Yamal (penjaring gol yang cantik dari jarak jauh berusia 17 tahun yang hari jadinya, 13 Julai 2024 pada separuh akhir menentang Perancis) bakal dikawal rapi benteng England.  

“Argentina yang juga juara Piala Dunia 2022 ada kelebihan besar untuk menang terutama dengan bekas Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi.”


REDUAN ABDULLAH


IRFAN BAKTI ABU SALIM:

Bekas penolong jurulatih negara 1994 hingga 1997, ketua jurulatih Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Persipura Jayapura (Indonesia)

“Saya ambil Sepanyol sebagai juara Euro 2024. Perlawanan akhir ini akan berakhir dalam 90 minit sahaja berpihak kepada Sepanyol 1-0.

“Argentina sekali lagi akan jadi juara Copa America. La Albiceleste dijangka menang 2-0.”


IRFAN BAKTI ABU SALIM


DATUK RAMLAN ASKOLANI:

Bekas perantara Kuala Lumpur juara Piala Malaysia 1987 hingga 1989 dan Harimau Malaysia 1981 hingga 1985

“Sepanyol atau digelar La Roja bakal juara Euro dengan kemenangan 2-1 dalam 90 minit permainan. 

"Argentina pula akan juara Copa America, tewaskan Colombia 2-1 juga selepas 90 minit.”


RAMLAN ASKOLANI


HAMDAN HASHIM:

Bekas pengurus pasukan Liga FAM, AirAsia All-Stars dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)

“Bagi Euro, Sepanyol akan memenanginya dengan penentuan sepakan penalti. 

"Untuk Copa America, saya pilih Agentina 2 Colombia 0.”


HAMDAN HASHIM


DATUK DR. RAMLAN AZIZ:

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN)

“Memang ramai termasuk saya menjangkakan bahawa Sepanyol mampu menang terhadap England berdasarkan prestasi baik mereka sehingga kini.

“La Roja berani bermain kemas dan rapi dalam meraih kemenangan yang menarik perhatian.

“Walau sesiapa yang ditakdirkan menang, saya ingin melihat perlawanan yang menghiburkan semua peminat bola sepak daripada kedua-dua pasukan.”


RAMLAN AZIZ

13
12
0
9
0

Copy Link: