MEMENANGI sesebuah anugerah sekali gus pengiktirafan di pentas antarabanga seperti Festival Filem Dunia Cannes (CWFF) tentulah idaman semua penerbit dalam industri penerbitan mahu pun perfileman.

Tahun ini. kebanggaan itu pastinya milik seluruh warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) apabila dokumentari  'Syahadah' terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM mengungguli kategori Filem Dokumentari Pendek Terbaik pada Festival Filem Dunia Cannes (CWFF) pada 26 Disember 2022 lalu. 

Dengan pengiktirafan itu ia sekali gus merupakan kemenangan berganda apabila terdahulu pada 30 November 2022, episod sama dengan tajuk ‘Hijrah Muhibah’ atau dalam Bahasa Inggerisnya berjudul ‘Migration Goodwill Malaysia  dijulang sebagai pemenang kategori Dokumentari Pendek Kali Pertama Terbaik di Anugerah Antarabangsa Dokumentari Pendek Bangkok (BKK Short Docu). 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem dokumentari



Dua kejayaan besar ini tentunya menjadi aspirasi penggerak dalam menjana peluang penciptaan bahan yang bertaraf dunia oleh RTM. 

Berkongsi rasa gembira dapat merakamkan realiti sebenar dilalui masyarakat beragama Islam dan Kristian di Lutong, Miri, Sarawak yang mengamalkan semangat muhibah, penerbitnya, Azry Ahmad Mustafa Had, 39, tidak menjangka pengisiannya itu mampu menambat hati juri luar negara.

“Sudah tentu saya rasa gembira apabila produk tempatan ini berjaya diangkat di peringkat dunia,” ujar Azry yang menjalani penggambaran selama empat hari pada bulan awal Februari 2022 lalu bersama team penerbitannya seramai tujuh orang antaranya Penolong Penerbit, Danny Gubes; Jurukamera, Hasfawizlan Harun serta Penolong  Jurukamera, Imul Halaifah Mohammad serta Faiza Musa selaku Juruaudio.




Menurut  Azry, pengisian dokumentari berhubung penghijrahan jauh beribu-ribu batu oleh Mohd Zulkifli Mohd Adnan, seorang guru agama dari Terengganu ke Lutong, Miri, Negeri Sarawak Bumi Kenyalang. 

Penghijrahan itu  berlaku kerana Zulkifli akur kepada nasihat guru agama dan juga ibu bapanya. 

Namun tanpa diduga penghijrahan sementara berkenaan bertukar menjadikan beliau pemastautin tetap setelah merasai sendiri pengalaman menjalani kehidupan muhibah antara berlainan agama di Lutong, Miri, Sarawak. 



Semangat muhibah ini berjaya menambat hati guru agama ini untuk terus tinggal menyumbang tenaga bagi pendidikan agama di sana sehingga kini. 

Zulkifli ketemui erti muhibah di sana. Hijrah Muhibah itu benar-benar terjadi kepada dirinya. Kehadiran beliau amat disenangi warga Miri yang mengamalkan semangat keharmonian serta toleransi antara agama yang baik.


Masjid An-Naim, Lutong, Miri, Sarawak.


"Ketika menjalani penggambaran saya melihat sendiri bagaimana masyarakat di sana saling menghormati setiap agama dan memiliki sikap toleransi yang tinggi walau pun kedudukan masjid dan gereja bersebelahan,” kenang Azry sambil yakin mesej keharmonian dan perpaduan yang diterapkan dalam dokumentarinya itu menjadi antara faktor utama kejayaan.

Bagi yang belum berkesempatan menyaksikannya, RTM menayangkan semula program ini pada 30 Disember 2022, Jumaat, pukul 10.30 malam menerusi saluran TV1 serta di TV Okey, pukul 4.30 petang pada 1 Januari 2023.

Tahniah! - KitaReporters


12
9
0
15
0

Copy Link: