SUEBSAK Phunsueb (berdiri, empat dari kiri) menunjukkan tanda bagus bersama-sama pasukan lelaki dan wanita Thailand sebelum berangkat ke Qingdao untuk menyertai Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024. - Kredit foto: TAT


TEKONG legenda emas Sukan SEA, Sukan Asia dan Piala Raja Thailand dari 1997 hingga 2010, Suebsak Phunsueb kembali beraksi di gelanggang sepak takraw!

Setelah 14 tahun menggantung sepatu sepak takraw, bekas pakar servis kuda Thailand ini tidak lagi tampil sebagai pemain sebaliknya hanya menjadi pengurus pasukan dalam Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 di Qingdao, Shandong, China.

Suebsak, 47, mengiringi enam pemain Si Gajah Putih kendalian Smathapon Phothong ke Pantai Emas Qingdao sepanjang kejohanan edisi kedua ini dari 20 hingga 24 September 2024.

Lapan negara selain China, menyertai kejohanan yang diiktiraf Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) ini termasuk Malaysia, Vietnam, India, Iraq dan Filipina bagi dua acara – regu (lelaki dan wanita) dan trio (lelaki sahaja).


AKSI rejaman pemain Thailand ketika menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia pertama di Qingdao pada 2019. - Kredit foto: News CN


Acara regu sepak takraw pantai mirip kuadran (berempat) di gelanggang biasa manakala trio membabitkan hanya tiga pemain.

Walau bagaimanapun kedua-duanya menetapkan servis mana-mana pemain dibuat di luar garisan belakang gelanggang tanpa sebarang bulatan.

Qingdao, sebuah bandar pelabuhan di pantai Laut Kuning yang terletak kira-kira enam jam perjalanan menaiki kereta dari ibu kota Beijing, turut menjadi tuan rumah edisi sulung kejohanan ini pada 2019 yang turut dijuarai Thailand.


SUEBSAK Phunsueb (berdiri, dua dari kanan) dengan pasukan lelaki pantai Thailand pada Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 di Qingdao. - Kredit foto: TAT


Kali akhir Suebsak beraksi ialah ketika membantu mengalungi Thailand, pingat emas regu berpasukan Sukan Asia Guangzhou 2010.

Gandingan serasinya ketika itu ialah perejam atau apit kanan, Pornchai Kaokaew dan pengumpan atau apit kiri, Suriyan Peachan.

Pencapaian tersebut merupakan antara tujuh pingat emas Sukan Asia dalam koleksi pegawai polis Thailand ini bagi regu berpasukan dan antara regu termasuk di Bangkok 1998, Busan 2002 dan Doha 2006.


SUEBSAK Phunsueb (kanan) memberikan taklimat kepada pasukan lelaki dan wanita Thailand di lapangan terbang sebelum berlepas ke Qingdao. - Kredit foto: TAT


Sepanjang Sukan SEA, bintang filem aksi terbitan 2004, “Kerd Ma Lui” (Lahir Untuk Berjuang) ini turut meraih pingat emas Jakarta 1997, Brunei 1999, Kuala Lumpur 2001, Vietnam 2003 dan Korat 2007 serta Laos 2009.

Hanya sekali pingat emas Sukan SEA tercicir daripada genggaman Suebsak apabila dia yang menggantikan Sarawut Inlek, Pornchai dan Suriyan ditewaskan regu Malaysia, Normanizam Ahmad, Futra Ghani dan Zulkarnain Arif 11-21, 14-21 di Cebu, Filipina pada 2005.


REGU Malaysia antaranya Futra Ghani (kanan) dan Zulkarnain Arif (tengah) termasuk dua simpanan yang menewaskan Suebsak Phunsueb dan rakan Thailandnya dalam final Sukan SEA 2005 di Cebu, Filipina.  


SUEBSAK Phunsueb (kanan) bersama-sama Mohd. Hafizie Manap, jurulatih Malaysia pada Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 di Qingdao. - Kredit foto: MHM


Suebsak juga kini menganggotai sebuah jawatankuasa khas Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT).

Pada 2003, media Thailand melaporkan dia bersama-sama Suriyan dan dua lagi bekas pemain, Somporn Jaisinghol dan Poonsak Permsap mendedahkan kegiatan pengurus pasukan dan jurulatih negara itu meminta sejumlah ‘bahagian tertentu’ daripada wang hasil ganjaran kerajaan buat pemain-pemain ekoran kejayaan pada Sukan SEA dan Sukan Asia. - KitaReporters


SUEBSAK Phunsueb (tiga dari kiri) mengetuai empat pemain termasuk Poonsak Permsap (dua dari kanan) dan Somporn Jaisinghol menyerahkan aduan kepada TAT mengenai kegiatan jurulatih dan pengurus pasukan Thailand meminta bahagian tertentu ganjaran kerajaan pemain. - Kredit foto: UT

9
11
0
10
0

Copy Link: