Tabik spring! OCPD sampaikan watikah pelantikan pemimpin sekolah! Suntik semangat, jati diri murid!
Published byKESUDIAN Ketua Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Superintenden Polis Barudin Wariso hadir pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda Sekolah Kebangsaan Telok Bakong (SKTB), Lambor Kanan, Perak, memberi impak besar kepada pihak sekolah dan murid yang dilantik menjadi pemimpin.
Kehadiran beliau itu bukan setakat menyuntik semangat dan jati diri kepada murid terbabit juga menggambarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu menjadi contoh terbaik dalam kepemimpinan dan disiplin tertinggi di samping kepatuhan melaksanakan tugas serta amanah.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Polis Diraja Malaysia
Barudin (tengah), Ibrahim (dua dari kanan) dan Syed Mohd Zulkefli (dua dari kiri) bergambar bersama-sama pegawas sekolah pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Muda SKTB pada 14 Jun 2022.
Guru Besar SKTB, Ibrahim Pardi, menzahirkan rasa terharu di atas kesudian PDRM khususnya Barudin memenuhi jemputan untuk menyampaikan watikah pelantikan kepada murid terbabit walaupun sentiasa sibuk dengan tugas.
Menurutnya, kesudian Barudin untuk hadir pada majlis itu memberi impak besar dari segi aspek pentingnya penerapan disiplin dalam membentuk pemimpin berwibawa khusus kepada murid yang dilantik memikul tugas diamanahkan pihak sekolah.
“Jaringan yang diwujudkan ini selaras dengan Sarana Sekolah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Menerusi sarana itu semua pihak terlibat berpeluang dan berperanan penting dalam membantu membangunkan modal insan supaya selaras dengan hasrat negara untuk mencapai kecemerlangan sistem pembelajaran dan mampu membentuk jati diri yang hebat,” katanya pada majlis itu 14 Jun 2022 lalu.
Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Ammar Rasul Shaifolnizam menerima watikah pelantikan daripada Barudin.
Ketibaan Barudin pada majlis itu disambut oleh Ibrahim diiringi Pegawai Pendidikan Daerah, Unit Sumber Teknologi dan Pendidikan, Syed Mohd Zulkefli Syed Yahya. Turut hadir mengiringi Barudin, Inspektor Siti Nadhirah Abd Wahab, Sarjan Siti Aminah Mat Esa, Lans Koperal Noor Kamariah Ismail dan Noor Asma Diana Ida Yusmiza Mazlan serta Pasukan Amanita IPD Perak Tengah.
Majlis itu merupakan detik penuh bermakna dan melakar sejarah berprestij kepada SKTB yang dikelolakan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) diketuai Radzuan Abd Hamid selaku Penolong Kanan dan penyelaras bersama Unit Disiplin Sekolah, Norazlin Abd Aziz serta Hazwan Saifuddin Hasan dengan jaringan kerjasama PDRM Daerah Perak Tengah.
Seramai 56 Pemimpin Muda SKTB menerima watikah pelantikan membabitkan 24 daripadanya Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah (20) iaitu dari Tahun 3 hingga Tahun 6. Manakala 12 murid lagi menerima watikah untuk Ketua dan Penolong Ketua Kelas.
Barudin bertanya khabar sebahagian pegawas sekolah SKTB disamping memberi kata-kata semangat supaya bertugas dengan penuh bertanggungjawab.
Berucap pada majlis itu, Barudin yang berasa terharu dengan jemputan berkenaan menegaskan bahawa kepemimpinan penuh dengan disiplin mampu menjadikan barisan pemimpin muda hari ini seorang murid yang hebat.
Menurutnya, dalam memikul tanggungjawab diamanahkan murid yang terpilih itu hendaklah sentiasa menghormati guru dan patuh pada arahan yang telah ditetapkan selain mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian khusus ketika bertugas.
“Majlis ini secara tidak langsung mewujudkan satu jaringan kerjasama yang sangat baik dan pihak PDRM sentiasa bersedia membantu pihak sekolah dalam apa juga aktiviti yang diadakan. Ini Bertepatan dengan slogan PDRM, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya. - KitaReporters
Ibrahim menyampaikan sijil penghargaan kepada Barudin sambil diperhatikan Syed Mohd Zulkefli.
Barudin (tengah) dan anggota pengiring merakamkan kenangan bersama-sama Radzuan (dari kiri), Syed Mohd Zulkefli, Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung Telok Bakong Hulu, Norazaimi Halim.