TIDAK semua pelajar yang hadir ke sekolah setiap hari dengan perut yang kenyang kerana ada antara mereka terpaksa menahan lapar sepanjang mengikuti pembelajaran berikutan kemiskinan keluarga selain terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pemulihan (PKPP) bagi membanteras penularan wabak Covid-19. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan sekolah:

https://kitareporters.com/search?search=sekolah


Mereka hanya memendam perasaan dan kesabaran apabila melihat rakan lain enak dapat menjamah makanan terutama pada waktu rehat dan pihak sekolah pula lazimnya tidak mengetahui keadaan kehidupan pelajar itu dalam suasana pandemik sekarang ini.

Zalina Md Taib mencetuskan idea supaya dilancarkan Projek Kongsi Rezeki bagi membantu pelajar yang keluarga hilang sumber pendapatan.


Menyedari keadaan itu, guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 (SMKPJ2), Pasir Gudang, Johor melancarkan Projek Kongsi Rezeki berlandaskan konsep sedekah khusus membantu pelajar yang keluarga mereka hilang sumber pendapatan bagi membeli makanan untuk keluarga sejak September 2020 lalu.

Idea projek itu dicetuskan oleh pengetua sekolah berkenaan, Zalina Md Talib dalam mesyuarat pengurusan sekolah Ogos 2020 lalu, yang begitu prihatin terhadap nasib keluarga pelajar terutama ibu bapa yang hilang pekerjaan dan tidak mahu pelajarnya berlapar atau berada dalam situasi perut kosong ketika mengikuti proses pembelajaran.

Pelajar SMKPJ2 menunjukkan antara barangan makanan yang diberi percuma kepada pelajar dan keluarga terkesan dengan PKP. 


Bagi Zalina, projek itu yang hampir menyemai konsep ‘food bank’ dapat memupuk nilai murni kasih sayang dalam kalangan warga dan pelajar sekolah berkenaan untuk sama-sama membantu pelajar terbabit supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya mahukan pelajar bersemangat untuk hadir ke sekolah bagi menimba ilmu pelajaran supaya dapat menjadi insan berjasa kepada negara pada masa depan dan akan berasa kecewa jika ada antara mereka ketinggalan dalam pelajaran serta memencilkan diri kerana masalah keluarga,” katanya.

Cikgu Roszaidi Ramlee menunjukkan sebahagian makanan percuma yang masih terdapat di rak khas Kongsi Rezeki.


Penyelaras projek berkenaan, Cikgu Roszaidi Ramlee, berkata usaha itu dimulakan dengan sumbangan RM200 daripada guru-guru untuk membeli pelbagai barangan makanan seperti nasi lemak, kuih-muih, roti dan sebagainya yang diletak pada rak di satu ruang khas sekolah itu setiap hari persekolahan.

Menurutnya, barangan makanan percuma itu silih berganti setiap hari untuk diambil pelajar yang memerlukan terutama mereka tidak mempunyai makanan di rumah untuk bersarapan sebelum ke sekolah dan diseliakan oleh beberapa pelajar.

Nasi lemak antara makanan yang disediakan di rak khas itu untuk sarapan pelajar sebelum mengikut pembelajaran.


“Sepanjang PKPP pula pihak sekolah bersetuju untuk menambah keperluan makanan kering seperti beras, gula, tepung gandum, roti, teh, kopi, biskut dan susu untuk diagihkan kepada keluarga pelajar yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Budaya berkongsi rezeki ini telah membawa kesan positif kepada pelajar dan ibu bapa yang berkemampuan untuk turut sama menyumbangkan pelbagai makanan dan diletakkan pada rak khas itu,” katanya. - KitaReporters

Dua pelajar menunjukkan kuih karipap yang turut disediakan di rak khas itu.

30
2
0
0
0

Copy Link: