Ahlan wa sahlan! Sukan sepak takraw mengembang ke Arab Saudi
Published byIRAN dan Oman sudah lebih sedekad menguasai sepak takraw sejak 2006 dan 2010 sehingga mereka pernah meraih pingat acara dan divisyen tertentu Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand dan Sukan Pantai Asia. Bagaimana dengan negara-negara Asia Barat yang lain. : KitaReporters
ABDUL Halim Kader (kanan) dan Cheong Chung Chin (kiri) menyampaikan bola dan jaring sepak takraw kepada Saad Saleh I. Alsaleh di Kedutaan Arab Saudi di Singapura, 20 Oktober 2020 lalu. - Kredit foto AHK.
Lagi cerita-cerita berkaitan sepak takraw:
https://kitareporters.com/search?search=sepak+takraw
Bagaimana jika Arab Saudi pula yang berjinak-jinak untuk mengikut jejak jiran Asia Baratnya itu? Apatah lagi dengan kedatangan Sukan Asia 2030 di mana ibu kotanya, Riyadh mahu melobi sebagai tuan rumah edisi ke-21 ini.
“Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sedia menawarkan pelan strategik pembangunan dalam jangka pendek dan panjang untuk negara yang baru berjinak-jinak dengan sukan warisan tradisi Melayu ini seperti Arab Saudi.
HARIS Abdul Rahman (kiri) membimbing Iran beraksi pada Piala Dunia Istaf Pertama di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 2011.
“Kami boleh bermula dengan menubuhkan sebuah persatuan sepak takraw Arab Saudi pada Disember 2020 ini yang diikuti pula akademi-akademi sepak takraw di sekolah dan institusi pengajian tinggi pada Jun 2021.
“Istaf juga akan mengeksport jurulatih-jurulatih berpengalaman dari Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam mencungkil dan membimbing bakat-bakat baharu di Arab Saudi di bawah kontrak antara setahun hingga tiga tahun,” kata Setiausaha Agungnya, Abdul Halim Kader.
JURULATIH-jurulatih dari Malaysia antara yang mampu dicalonkan Istaf untuk membantu membangunkan sukan sepak takraw di Arab Saudi. - Kredit foto FB STL.
Ketika Iran baru menceburi sepak takraw, mereka pernah mengimport jurulatih dari Filipina, Hector Sentillas dan diikuti Somkiet Sungsatitanon dari Thailand.
Turut pernah mendidik negara Parsi itu menjelang Piala Dunia Istaf 2011 di Kuala Lumpur ialah Haris Abdul Rahman, jurulatih Malaysia yang menjuarai Sukan Asia Beijing 1990 dan Hiroshima 1994 serta Sukan SEA Manila 1991 selain Piala Raja Thailand 1988.
Oman pula mendapatkan khidmat Surat Na Chiengmai, bekas tekong pemenang pingat emas Sukan SEA era 80-an dan 90-an dari Thailand.
SEORANG pemain Iran (kanan) membuat tampanan terhadap rejaman pemain Amerika Syarikat dalam Piala Dunia Istaf 2011.
Cadangan pelan strategik pembangunan sepak takraw Arab Saudi itu telah dikemukakan oleh Halim dalam kunjungan hormatnya terhadap Duta negara itu ke Singapura, Saad Saleh I. Alsaleh pada Selasa 20 Oktober 2020 lalu.
“Dalam kunjungan saya bersama Pengarah Hubungan Antarabangsa Istaf, Cheong Chung Chin itu, duta itu juga telah bertanyakan apakah peluang Arab Saudi dalam sepak takraw Sukan Asia 2030?
“Jawapan saya, jika pelan pembangunannya dilaksanakan dengan sokongan dan pemantauan rapi Istaf, tidak mustahil Arab Saudi mendapat tempat terbaik dalam acara-acara tertentu,” kata Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
BUKU undang-undang permainan sepak takraw rasmi Istaf menjadi panduan utama penubuhan pasukan dan persatuan sepak takraw Arab Saudi. - Kredit foto AHK.
Sebagai simbolik sokongan Istaf itu katanya, sebanyak 20 bola sepak takraw dan sebidang jaringnya yang berjenama Marathon, peralatan rasmi pertandingan antarabangsa, disampaikan kepada Saad Saleh dalam pertemuan sejam itu.
“Bola dan jaring sepak takraw ini boleh digunakan Jawatankuasa Olimpik Arab Saudi (SAOC) dalam menyokong penubuhan awal pasukan sepak takraw mereka.
“Kami juga akan susulinya dengan membawa regu-regu handalan Thailand, Malaysia, Indonesia dan Singapura untuk mengadakan perlawanan pertunjukan di kota-kota besar Arab Saudi jika situasi penularan pandemik Covid-19 didapati semakin terkawal atau beransur kurang,” katanya.
Istaf ketika ini sentiasa berhubung rapat dengan Pengarah Teknikal Sukan Asia Riyadh 2030 dan Penasihat Kanan SAOC, Diamil Faye serta Amro Turkistani, pengurus sukan kluster SAOC menerusi sidang secara atas talian menggunakan aplikasi Zoom.
“Istaf berharap seorang pengurus sepak takraw kami dapat ditempatkan di Arab Saudi untuk membantu hal-hal teknikal sukan ini di bawah penyeliaan SAOC dan jawatankuasa pengelola Sukan Asia Riyadh 2030. Butirannya bakal dibincangkan dalam kunjungan saya ke sana, Disember 2020 ini,” katanya.
Presiden SAOC, Abdulaziz Turki Alfaisal Alsaud berkata, kesanggupan Istaf menghulurkan sokongan ini memang dialu-alukan malah bertepatan dengan pelaksanaan satu strategi pembangunan sukan di negara beraja itu.
"Strategi itu akan memfokuskan penubuhan lebih banyak persekutuan sukan di Arab Saudi dengan sepak takraw menjadi satu daripadanya," katanya dalam surat balasan SAOC kepada Istaf dari Riyadh bertarikh 20 Oktober 2020 lalu. - KitaReporters