Keluarga Malaysia infak al-Quran! Kepada hospital, madrasah, sekolah, KAFA di Temerloh dan Chenor!
Published bys
HOSPITAL Mesra Ibadat, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HSHAS), Temerloh, Pahang, sedang mengemas kini semula program keagamaan selepas kelonggaran diberikan dalam aktiviti bersemuka khusus kuliah agama mingguan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19.
Timbalan Pengerusinya, Dr Ehsan Fadli Affandi, berkata berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 yang ketat sebelum ini menyebabkan pelbagai program keagamaan terpaksa ditangguh dan Pusat Islam hospital juga terpaksa ditutup kepada orang ramai.
Menurutnya, beberapa bulan lalu pusat itu dibuka semula kepada orang ramai untuk membolehkan mereka menunaikan solat khususnya di samping menelaah buku agama yang tersedia sementara berehat menunggu waktu untuk berurusan dengan pihak hospital dan sebagainya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Keluarga Malaysia
Dr Ehsan Fadli Affandi (tengah) menerima infak al-Quran bagi pihak Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.
"Apabila program keagamaan diaktifkan semula kami amat berharap orang ramai yang mengambil peluang mendengar ceramah mingguan yang diadakan umpamanya mematuhi SOP tetapkan serta peraturan lain seperti penggunaan pelitup muka dan jarak ketika bersolat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis ringkas menerima infak
al-Quran yang dianjurkan oleh Pusat Jagaan Mahmudah (PJMM), Pusat Jagaan Nur
Hasanah (PJNH), dari Semenyih dan Beranang, Selangor serta Sahabat Kelas al-Quran,
Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor pada 19 Februari 2022 lalu.
Majlis infak al-Quran itu adalah program kedua ‘Kasihku Tertumpah
di Pahang’ apabila PJMM dan PJNH berkenaan terus menerima derma serta infak
daripada orang ramai dan pelbagai pihak mahukan naskhah al-Quran diagihkan
kepada pusat agama, tahfiz, masjid serta
surau yang terjejas banjir pada awal tahun 2022 ini.
Pada 13 Februari 2022 lalu, pusat berkenaan sudah mengagihkan 600
naskhah al-Quran, kelengkapan solat dan barangan makanan keperluan asas kepada
pusat tahfiz dan keluarga yang terjejas dalam banjir itu. Pada Sabtu, 19 Februari 2022 lalu pula
mereka mengagihkan lebih 200 naskhah lagi al-Quran, surah Yasin dan buku agama
yang diinfak orang ramai.
Dr Ehsan menyifatkan infak al-Quran yang diterimanya itu
sebagai dorongan untuk mempergiatkan program keagamaan di Hospital Mesra Ibadat berkenaan terutama apabila umat Islam akan menyambut bulan Ramadan tidak lama
lagi.
“Bersama barisan ahli jawatankuasa, saya akan membuat perancangan yang sebaik mungkin terutama untuk manfaat semua pihak di samping mengambil kesempatan kelonggaran dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang,” katanya.
Mudir Madrasah Ribat At Taufiq, Kampung Pantai, Chenor, Pahang, Ahmad Rujhan Sulaiman (tiga dari kanan) menerima infak al-Quran dari PJMM dan PJNH pada 19 Februari 2022.
Sementara itu Mudir Madrasah Ribat At Taufiq, Kampung
Pantai di Chenor, Pahang, Ahmad Rujhan Sulaiman melahirkan rasa bersyukur kerana
menerima infak al-Quran dan sumbangan daripada orang ramai.
Menurutnya, al-Quran yang diinfakkan itu akan digunakan pelajar
madrasah berkenaan bagi menggantikan al-Quran yang rosak digenangi banjir
apabila mereka menyambungkan semula pengajian tidak lama lagi.
Wakil ibu bapa Surau An Nur, Sekolah Kebangsaan (SK) Chenor,
Pahang, Nur Hafizah Mahamad, berkata surau itu turut terkesan dengan banjir
lalu menyebabkan banyak bahan bacaan rosak digenangi air.
“Infak al-Quran ini akan dimanfaatkan oleh murid untuk mendalami ilmu membaca al-Quran dengan betul disamping memahami maksud setiap ayat apabila disertai terjemahan lengkap,” katanya.
Nur Hafizah (tengah) mewakili ibu bapa menerima infak al-Quran untuk Surau An Nur, SK Chenor.
Guru Besar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Taman Jaya 4, Temerloh, Pahang, Salmah Ali, berkata infak al-Quran itu melengkapkan lagi jumlah al-Quran yang akan digunakan murid dalam kelas hafazan.
“Saya akan meneruskan amanah mereka yang menginfak al-Quran
bagi memastikan ia digunakan oleh semua murid dan berharap dapat melahirkan
ramai hafazan pada usia muda sebelum mereka melangkah pada peringkat menengah,”
katanya.
Pengerusi bersama program infak al-Quran itu, Mohiadin
Bahado, berkata mereka masih lagi menerima infak al-Quran dan terpaksa
dimasukan dalam perancangan untuk diagihkan kepada pusat tahfiz, masjid atau
surau di daerah lain pula khusus yang terjejas dalam banjir.
“Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama dermawan sama ada secara berkumpulan atau persendirian yang sudi membantu dalam program infak al-Quran ini, membekalkan kelengkapan solat serta barangan keperluan makanan asas,” katanya.
Pengelola Sahabat Kelas al-Quran, BTHO, Alias Ahmad menyampaikan infak al-Quran kepada Salmah.
Aktivis masyarakat di Temerloh, Azhar Ahmad membantu menyerahkan infak al-Quran kepada mangsa banjir awal tahun ini di Kampung Gajah Mati, Mentakab.