Siri animasi Islamik popular ‘Omar & Hana’ yang baru-baru ini menjalinkan kolaborasi bersama tokoh pendakwah antarabangsa, Ismail Ibn Musa Menk mendapat sambutan hangat apabila berjaya melepasi angka lebih 1.6 juta tontonan (setakat tengah malam 15 Disember 2020) melalui saluran rasmi YouTube Omar & Hana versi bahasa Inggeris. : KitaReporters



Lagi kisah-kisah berkaitan animasi:

https://kitareporters.com/search?search=animasi


Ismail Ibn Musa Menk atau lebih mesra dikenali sebagai Mufti Menk menyertai dunia animasi 'Omar & Hana' dalam watak 3D-nya sendiri waima mampu menarik minat kanak-kanak untuk bersama mendengar ceriteranya.

Antara topik-topik yang diketengahkan meliputi sejarah keluarga Rasullullah SAW, keistimewaan kelahiran Baginda serta cinta Baginda terhadap binatang



Amat menarik sekali topiknya waima jika anak-anak tidak mahu ketinggalan lagi jangan lupa saksikan episod ke-5 iaitu yang terakhir kolaborasi istimewa ini  pada Sabtu, 19 Disember 2020, pada jam 7 malam dalam saluran YouTube rasmi Omar & Hana (versi bahasa Inggeris).

Pendek kata, siri pendek 5 episod berdurasi 2-4 minit itu dihasilkan dengan tujuan menggalakkan kanak-kanak untuk mengenali serta mencintai Rasulullah SAW melalui penceritaan dan animasi yang menarik. 




Kolaborasi bersama Mufti Menk ini merupakan salah satu strategi antarabangsa syarikat Digital Durian untuk menjangkau kanak-kanak beragama Islam di seluruh dunia menerusi platform TV mahupun digital. 

Sejak dilancarkan tahun 2017 lalu, saluran YouTube 'Omar & Hana' versi bahasa Melayu dilanggani lebih 4 juta peminat dan merekodkan 1.8 bilion tontonan, manakala saluran versi bahasa Inggeris pula mencatatkan hampir 600,000 langganan dan 230 juta jumlah tontonan. 

“Alhamdulillah, kerjasama kami dengan Mufti Menk, seorang pendakwah yang cukup terkenal pada peringkat antarabangsa, dapat membantu jenama Omar & Hana untuk menjangkau lebih ramai kanak-kanak beragama Islam di seluruh dunia. 

“Di Digital Durian, kami beraspirasi untuk menyajikan kandungan yang bersesuaian buat semua lapisan masyarakat agar masing-masing mendapat manfaat sepenuhnya daripada mesej dan pengajaran yang disampaikan oleh siri animasi Omar & Hana ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif  syarikat penerbitan Digital Durian, Sinan Ismail.

Sementara itu, Penerbit ‘Omar & Hana’, Fadilah A. Rahman berharap anak-anak dan ibu bapa dapat menikmati episod- episod istimewa bersama Mufti Menk ini sambil menggalakkan semua yang menonton dapat memberi maklum balas agar pihak produksi boleh sentiasa menghasilkan sajian kandungan yang terbaik untuk santapan audiens. 

“Kolaborasi kami bersama Mufti Menk diumpamakan sebagai satu impian yang telah menjadi kenyataan. Dengan pencapaian ini, kami lebih yakin dengan hasil produksi kami dan akan sentiasa memperkasakan usaha untuk menghasilkan lebih banyak lagi kandungan yang bermutu tinggi,” tambah Fadilah.



Apa pula komen tokoh Islam antarabangsa itu, Mufti Menk?

“Omar & Hana merupakan sebuah siri animasi ‘edutainment’ yang penuh bermakna dan sarat dengan nilai murni. Dari peringkat awal lagi, kita harus menggalas tanggungjawab untuk menggalakkan anak-anak kita untuk menonton kandungan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi dapat mendidik generasi baharu ini dengan lebih baik, ” ujar Mufti Menk.

Siri animasi Omar & Hana bersiaran di Astro Ceria setiap Jumaat, jam 11 pagi. Kesemua episod 'Omar & Hana' boleh distrim secara eksklusif bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Omar & Hana, layari www.omarhana.com. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: