NASIB KUCING GELANDANGAN DILUPA JANGAN
Published bySELAIN manusia, haiwan terutama kucing terbiar juga nampaknya antara yang sangat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda negara dan dunia ketika ini. Mereka makhluk Allah yang tidak berdaya!!! : KitaReporters
Kita masih boleh keluar mencari makanan, tetapi bagaimana nasib 'insan kerdil' ini yang hanya mengharap simpati manusia untuk sedikit makanan bagi mengisi perut yang kosong.
Penularan wabak COVID-19 menyaksikan langkah PKP terpaksa diambil oleh kerajaan bagi membendung penularan virus ini dalam negara dan kini PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020.
Sebagai manusia kita masih boleh lagi untuk mendapatkan bekalan makanan ditambah pula kerajaan masih membenarkan pembukaan kedai-kedai runcit, pasar raya dan kedai serbaneka di sebelah siang hari.
Bagaimana pula dengan nasib 'si bulus' gelandangan yang sebelum ini mengharapkan sisa makanan dari kedai-kedai makan kini sudah tidak lagi mendapatnya seperti biasa.
Apakah nasib mereka. Mati kebuluran?
Tanpa mengira kucing peliharaan atau terbiar, seorang lelaki kelihatan memberi makanan kepada seekor kucing yang ditemuinya. - Kredit foto-foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)
Haiwan terutamanya kucing kini terbiar di jalan-jalan raya, lorong-lorong kedai dan kelaparan kerana tiadanya punca makanan seperti sebelum ini.
Begitupun, masih ada insan berhati mulia yang sanggup menyediakan makanan untuk haiwan kerdil ini.
Atas rasa bertanggungjawab dan kasihkan haiwan, Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) mengambil inisiatif menyediakan makanan secara bergilir bagi memastikan kucing-kucing terbiar terus mendapat makanan setiap hari.
Memberi makanan kepada kucing yang juga haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW adalah satu amalan yang sangat mulia.
Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP), Juriah Abdul Rani
Menurut Pengerusinya, Juriah Abdul Rani, ahli kelab akan bergilir-gilir bergerak ke beberapa lokasi bagi meletakkan makanan kucing setiap hari.
”Kami bergerak pada waktu yang dibenarkan kerajaan iaitu ketika keluar membeli barang keperluan dan pada ketika itulah kami meletakan makanan untuk kucing yang terbiar ini kerana kami tahu kucing-kucing ini kelaparan kerana tiada kedai yang buka.
“Sebelum makanan dihantar, kami akan berbincang terlebih dahulu melalui grup WhatsApp dan Facebook kelab mengenai siapa yang akan menghantar makanan ke lokasi terpilih (kawasan berhampiran tempat tinggal) untuk tempoh dua atau tiga hari.
"Usaha ini akan berulang sehingga keadaan pulih, seperti sedia kala," katanya.
Walaupun berstatus kucing terbiar, haiwan ini jugak berhak mendapat makanan.
Selain mendapat bekalan dan sumbangan makanan kucing daripada ahli kelab, mereka juga menerima sumbangan daripada orang ramai sama ada makanan dan wang yang dimasukkan ke akaun kelab.
SKJP dianggotai ahli dari seluruh negeri Pahang.
Melalui hantaran dalam facebook kelab, didapati ahli di daerah lain juga melakukan perkara yang sama memberi makan kepada kucing jalanan ketika ini.
Ada juga antara ahli kelab ini membawa balik ke rumah kucing-kucing yang sakit dan mengubatinya hingga sembuh.
Si bulus yang mengharap belas simpati manusia. - Kredit foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)
Sementara itu, sepasang suami isteri, Yuslina Ismail dan Heri Zukki dilihat membawa seperiuk nasi yang telah dicampur dengan ikan untuk diberi makan kepada kucing-kucing terbiar di sekitar kawasan Taman Tas, Kuantan.
“Setiap pagi saya dan suami menaiki motosikal akan singgah sekejap di beberapa lokasi seperti Permatang Badak, Sungai Isap, Taman Guru dan Taman Tas untuk memberi kucing makan.
“Dalam sehari lebih kurang RM20 dibelanjakan untuk kucing-kucing ini.
"Sebelum keluar, kami mengambil segala langkah keselamatan ketika keluar rumah dan memakai topeng muka.
"Saya harap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini cepatlah tamat kerana mudah untuk kucing terbiar ini mendapatkan makanan dari kedai-kedai makan," katanya.
Yuslina Ismail dan Heri Zukki dilihat membawa seperiuk nasi yang telah dicampur dengan ikan untuk diberi makan kepada kucing-kucing terbiar di sekitar Taman Tas, Kuantan.
Memberi kucing terbiar makanan membuktikan rakyat di negeri Pahang sememangnya berjiwa murni dan mempunyai sifat kasih sayang yang tinggi terhadap haiwan.
Mereka juga dilihat mematuhi langkah-langkah keselamatan dan penjagaan diri ketika keluar rumah.
Kasih sayang antara manusia dan haiwan tidak dapat dipisahkan dalam jiwa rakyat di negeri ini.
Semoga pandemik penularan COVID-19 dapat diatasi sepenuhnya dan negara kembali pulih seperti sediakala.
Kucing-kucing terbiar juga mudah untuk mendapat makanan seperti kebiasaannya. Sama-sama kita doakan. : KitaReporters