VETERAN Kelantan bergembira meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Veteran Piala Presiden PBMM. - Kredit foto: PBMM


TAHAP kecergasan yang tinggi dan kerap mendapat pendedahan kejohanan, membolehkan Veteran Kelantan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Empat Penjuru Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) 2021.

Dua jaringan Badrulesamnudeen Yusof dan Azman Mat Daud membawa Veteran Kelantan menumpaskan Veteran Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan akhir kejohanan di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 4 Disember 2021.

Selain gelaran berganda dan trofi, Veteran Kelantan turut mengaut hadiah wang tunai berjumlah RM3,500 iaitu sebagai juara keseluruhan dan juara liga.

Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia

KAPTEN (kiri) dan pengurus pasukan Veteran Kelantan menayangkan Piala Presiden PBMM yang dimenangi. - Kredit foto: PBMM


Badrulesamnudeen menjaringkan gol-gol pada minit ke-16 dan 35 untuk Veteran Kelantan selesa mendahului buat seketika.

Veteran Kuala Lumpur cuba bangkit merapatkan jurang sehingga beroleh ‘hadiah’ gol sendiri pemain lawan pada minit ke-50 namun Azman terus menambah derita mereka dengan jaringan ketiga, lima minit kemudian.

Kejohanan Veteran PBMM ini adalah untuk para pemain berusia 45 tahun ke atas yang dijalankan dalam tempoh sejam sahaja dengan rehat lima minit antara separuh masa. 


AKSI final antara Veteran Kuala Lumpur (putih merah) dan Veteran Kelantan (merah) di Padang Wisma FAM. - Kredit foto: PBMM 


PERTEMBUNGAN liga awal antara Veteran PBMM (hitam) dan Veteran Kelantan (merah). - Kredit foto: PBMM


AKSI getir Veteran Pahang (putih hitam) menentang Veteran Kuala Lumpur. - Kredit foto: PBMM


Veteran Kelantan jelas dalam kelas tersendiri apabila kekal tanpa kalah sehingga final termasuk mengungguli liga awal sepusingan selepas menewaskan Veteran PBMM 5-2, Veteran Kuala Lumpur 3-1 dan Veteran Pahang 2-0.

Veteran Kuala Lumpur dengan pengurusnya iaitu bekas pemenang hatrik Piala Malaysia 1987, 1988 dan 1989 - Subadron Aziz, yang muncul naib juara tetap beroleh sagu hati RM1,500.

Mereka menewaskan Veteran PBMM 5-2 dan Veteran Pahang 3-2, Veteran PBMM pula di tempat ketiga selepas seri sekali, 0-0 dengan Veteran Pahang dan kalah dua kali termasuk kepada Veteran Kuala Lumpur 5-2.

Antara bekas pemain negeri era 80-an dan 90-an yang turut memeriahkan pertandingan ini ialah Zool Ihsan Yunus, Lee Ban Tat, Mohd. Zamri Mazleh, Mohd. Firdaus Mohamed dan Shahrin Majid.  


PEMAIN Veteran Kelantan (kiri) melepaskan satu sepakan kencang ke gawang Veteran Kuala Lumpur (putih merah). - Kredit foto: PBMM


SHAHRIN Majid (putih merah), bekas pemain kebangsaan mewakili Veteran Kuala Lumpur cuba menyaingi pemain Veteran Kelantan, Rusli Adam dalam perlawanan akhir. - Kredit foto: PBMM


VETERAN Kuala Lumpur dengan pengurusnya, Subadron Aziz (berdiri, dua dari kiri) selaku naib juara. - Kredit foto: PBMM 


Sementara itu, PBMM mengumumkan empat pelantikan baharu bagi melengkapkan Jawatankuasa Eksekutifnya (Exco) yang baru selesai menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan Pemilihan penggal 2021-2025 di Ampang, Selangor pada 3 Disember 2021. 

Tujuh jawatan kanan Exco persatuan dimenangi tanpa bertanding secara berkompromi dan harmoni dengan Firdaus dan Ramlan masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden sepenggal lagi sejak menyandangnya bagi 2019-2021.

Mereka ialah Nazeri Hussain Setiausaha Agung, Abdul Rafi Abdul Murad (Penolong Setiausaha Agung), Yusri Abd. Hamid (Bendahari Agung) dan Mohd. Nizam Hashim (Setiausaha Kerja).

Masing-masing daripada empat ahli gabungan PBMM iaitu Persatuan Bola Sepak Melayu Pahang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor. - KitaReporters


BARISAN Exco PBMM (baju T putih) dan para pemain Veteran Kelantan (merah) serta Veteran Kuala Lumpur bergambar sebelum perlawanan akhir. - Kredit foto: PBMM 


ANTARA Exco PBMM yang hadir (dari kiri) - Kamarulnizam Mohd. Sharip, Mohd. Zamri Mazleh dan Mohd. Firdaus Mohamed. - Kredit foto: PBMM


JAWATANKUASA EKSEKUTIF (EXCO) PBMM 2021-2025:

Presiden: Mohd. Firdaus Mohamed

Timbalan Presiden: Datuk Ramlan Askolani dan Datuk Kamarulnizam Mohd. Sharip

Naib Presiden: Mohd. Zamri Mazleh, Nudin Awang, Datuk Shaharul Asafali dan Datuk Ahmad Mad Daud

Setiausaha Agung: Nazeri Hussain

Penolong Setiausaha Agung: Abdul Rafi Abdul Murad

Setiausaha Kerja: Mohd. Nizam Hashim

Bendahari Agung: Yusri Abd. Hamid

Ahli-ahli Jawatankuasa: Abdul Rafi Abdul Murad, Sani Kalam, Datuk Khairuddin Abd. Hamid dan Ku Besry Ku Aziz

8
12
0
14
0

Copy Link: