PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar

Di bawah skim ini, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans yang melibatkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM50 setahun. Ini melibatkan kos sebanyak RM13.4 juta, katanya. 

"Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal RM10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan RM20,000. 

"Pada masa yang sama, Pru-takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM 30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih," katanya sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis pada 25 Mac 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Keluarga Malaysia


Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, Aspirasi Keluarga Malaysia telah dirasmikan di ibu negara pada akhir tahun 2021 dan Kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan siri jelajah pada peringkat negeri bermula dengan Johor awal bulan Mac 2022 ini dan Perlis pada 25 Mac 2022. 

Katanya, seperti siri jelajah pertama, pelbagai program telah disediakan untuk memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan ‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘Kebersamaan’ (Common Ground) dan ‘Kesyukuran’ (Contentment)

"Saya yakin setiap lapisan masyarakat sudah sebati dengan konsep Keluarga Malaysia yang fokus utamanya ialah menyatupadukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik seterusnya memulihkan negara dalam situasi mencabar ini.," jelas Ismail Sabri. 


 


Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Perlis ini, ujar beliau, bertujuan untuk meningkatkan usaha penyebarluasan konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia agar mudah difahami dan dihayati semua. 

Sejak Oktober 2021, Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Skuad Keluarga Malaysia dengan kekuatan 10,000 anggota yang bertugas menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

"Di sini saya menyeru agar lebih ramai sukarelawan mendaftarkan diri sebagai ahli Skuad Keluarga Malaysia melalui laman web Keluarga Malaysia," katanya lagi. 

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan komited dalam memperkasakan pendapatan kumpulan sasar melalui Program Meningkatkan Taraf Hidup Golongan B40 dalam kalangan masyarakat pertanian Agromakanan. 

Menerusi program ini, katanya, pelbagai jenis bantuan telah diagihkan kepada 39,171 orang penerima dengan peruntukan RM109.7 juta. Manakala 1,300 pesawah telah mendapat manfaat menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi tujuan meningkatkan produktiviti penanaman padi. 

Kerajaan juga sentiasa mendengar keluhan dan permintaan Keluarga Malaysia dan keputusan terkini yang dilaksanakan atas kehendak ramai ialah pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000. 


 


"Pada hari yang berbahagia ini suka saya umumkan tiga perkara penting dan khabar gembira untuk Keluarga Malaysia. 

"Pertama, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar. 

"Di bawah skim ini, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans yang melibatkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM50 setahun. Ini melibatkan kos sebanyak RM13.4 juta. 

"Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal RM10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan RM20,000," katanya semasa melancarkan program jelajah itu. 

Pada masa yang sama, tambahnya, Pru-takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih. 


 


Kedua, Perdana Menteri berkata, mulai 1 April 2022, negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’, dan keputusan Kerajaan ini amat tepat pada masanya, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.  

"Ini membolehkan Keluarga Malaysia mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal. 

"Had waktu operasi perniagaan juga dimansuhkan dan Keluarga Malaysia yang kesuntukkan masa memasak untuk bersahur bolehlah makan di gerai-gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan, diikuti solat subuh," katanya lagi. 

Walaupun tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih terikat dengan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka atau mask di samping penjagaan kebersihan diri. 

"Justeru, bagi memastikan SOP dan Garis Panduan (GP) masih terjaga, saya melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia yang berkonsepkan kesukarelawan. Matlamatnya ialah membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik. 

"Duta Komuniti ini akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup. Mereka akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan bersopan-santun apabila membuat teguran.  

"Saya yakin program ini dapat memperkasakan komuniti, bersama Kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," Ismail Sabri berharap.



Ketiga, menurut Perdana Menteri, berita gembira untuk penduduk utara di Perlis dan Kedah. 

"Mulai 1 April 2022 ini, Thailand bersetuju membuka pintu sempadan darat di Wang Kelian (Perlis) dan Bukit Kayu Hitam (Kedah)

"Saya juga sudah meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk berbincang dengan Kerajaan Thailand untuk membuka pintu sempadan di Padang Besar dan kawasan-kawasan lain di utara.  

"Semalam, saya telah mengumumkan pembukaan sepenuhnya pintu sempadan Malaysia-Singapura melalui udara, darat dan air. Laluan untuk pekerja yang berulang alik secara harian juga telah dibuka dan dipermudahkan dengan pemansuhan kuarantin dan tidak perlu menjalani ujian PCR atau RTK pada pra pelepasan dan ketibaan.  

"Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemuilihan negara yang memberi impak positif ke atas kelestarian ekonomi dan kesejahteraan kehidupan Keluarga Malaysia," tambahnya. - KitaReporters


13
7
0
19
0

Copy Link: