Sangeeta dan Bront Palarae terajui 'I Am Vash'.


KISAH ini diinspirasikan daripada kisah bandar Pelabuhan Klang yang khabarnya pada tahun 1970-an dahulu ia dipenuhi dengan jenayah membabitkan ketua geng penjenayah yang membuat onar di seluruh negara untuk memenuhi impiannya menguasai dunia kongsi gelap Asia Tenggara.

Menariknya, cerita yang diberi judul ‘I Am Vash’ dinaungi watak Vash seorang pegawai polis wanita yang sentiasa menghadapi tekanan masyarakat dan politik sambil cuba menyelesaikan kes terbesar sepanjang kerjayanya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem


Wow! Nampak gayanya polis wanita lebih hebat ditonjolkan melalui filem yang bakal diarahkan oleh pengarah yang membangkitkan fenomena baharu dalam industri serantau melalui filem ‘Paskal’ dan ‘Wira’ iaitu Adrian Teh.

Dan siapa pula yang memegang watak wanita besi ‘Vash’?

Tidak lain beliau adalah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29, Sangeeta Krishnasamy, 35,  yang memaparkan lakonan cemerlang sebagai Cikgu Cheryl dalam filem drama biografi 2017, ‘Adiwiraku’.

“Saya sangat teruja kerana dapat terbabit dalam sebuah projek yang tertumpu pada satu zaman di mana sistem kehakiman jenayah tempatan menghadapi cabaran-cabaran terbesar dan kisah terkenal dalam sejarah negara, dan saya lebih gembira bahawa ia dinaungi seorang protagonis wanita,” ujar Sangeeta berhubung peranan yang digalasnya yang sekali gus meraikan tempat wanita dalam pasukan berseragam.

Dan lebih mencabar baginya apabila berganding dengan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015, Bront Palarae, 43, atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin.



Sependapat dengan Sangeeta, kata pelakon yang paling banyak terlibat dengan filem-filem di rantau Asia ini.

 “Saya sangat teruja untuk beraksi dalam ‘I Am Vash’, sambil menghidupkan kisah-kisah sahih serta watak-watak Asia Tenggara buat tontonan dunia. Apatah lagi diberi peluang bekerjasama dengan pasukan dari 108 Media serta Revolution Media, saya yakin kami akan menjadikannya satu pengalaman luar biasa.”

108 Media, sebuah syarikat penjana kewangan kandungan dan pengurusan hak media yang tertumpu kepada pasaran baru, telah menyenaraikan syarikat penerbitan premium naungan Zainir Aminullah, Revolution Media sebagai penerbit bersama untuk siri aksi-jenayah asli 8 episod ini.

Sebagai projek diterajui Adrian Teh (gambar bawah) yang bakal memulakan penggambaran pada Mei 2022 dan siap untuk tontonan pada tahun 2023, ‘I Am Vash’ akan menampilkan gaya pengarahan khas Adrian sebagaimana karya-karyanya terdahulu.



“Watak utama diterajui kaum minoriti dengan premis zaman retro berserta aksi. Ini sesuatu yang sangat mencabar buat saya sebagai seorang pengarah. Sudah tentu saya mahu turut serta,“ ujar Adrian bersemangat dengan latar belakang unik projek berkenaan.

Mengupas maksud mendalam kisah Vash, Presiden penerbitan 108 Media, Justin Deimen memberitahu, watak seperti Vash sangat penting bagi kaum minoriti dan komuniti serantau untuk diketengahkan.

“Malah ia dimainkan seorang bintang berbakat besar seperti Sangeeta yang akan menaikkan lagi semangat pasukan kami. Menyatukan unsur budaya dan komersial boleh menjadi satu titik pendorong buat kemunculan pergerakan baharu yang dapat melahirkan kandungan serantau yang mampu meliputi pasaran antarabangsa,” tambah Justin (gambar bawah) yang yakin penonton akan memberikan respon luar biasa terhadap citarasa dan misteri dalam siri ini selain unsur era serta latar belakangnya yang tidak dilupakan.



Memandangkan kisahnya diilhamkan oleh peristiwa bersejarah, watak-watak ikonik dan wira-wira nyata, siri penuh aksi ini digarap dengan panel penulis lintas sempadan buat tontonan penduduk tempatan serta antarabangsa dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia di samping bahasa Tamil dan juga dialek-dialek Bahasa Cina. 

Pengedaran I Am Vash akan dilakukan oleh 108 Media pada peringkat antarabangsa bersama Revolution Media untuk rantau ini dan Malaysia. 

Berpangkalan di London dan Singapura dengan pejabat jualan serta penerbitan utama di Toronto, Los Angeles, Tokyo, Kuala Lumpur, serta Manila, 108 Media akan menanggung kos kewangan serta menerbitkan projek ini melalui bahagian penjanaan kewangannya ke arah pasaran antarabangsa berlandaskan fokus utama untuk memperkasakan para pencipta baharu dengan harta intelek yang merentas budaya.  - KitaReporters

12
9
0
11
0

Copy Link: