POSTER lirik Demi Malaysia. - Kredit foto: MSN


KOMPOSERNYA, Zimi Sofazr tidak pernah ditemui apatah lagi berhubung, malah gandingan padu suara, Jaclyn Victor dan Naim Daniel hanya dapat merakamkan lagu ‘Demi Malaysia’ ini di studio yang berasingan.

Di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19 yang menyulitkan mereka hadir bersemuka, Datuk Awie Wings masih mampu menyelami dan menghayati seni kata lagu dan melodinya lalu mendendangkannya dengan berjaya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik


“Saya merakamkannya di Studio Alpamelo, Ukay Perdana, Hulu Klang, Ampang, Selangor pada Jun 2021 manakala Jaclyn dan Naim di tempat lain sebab kena PKP, kami tidak dapat bertemu.   

“Saya hanya berhubung dengan seseorang daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang mengirim butiran dan failnya menerusi e-mel.

“Setelah bersetuju dengan syarat-syaratnya, saya terima untuk menyampaikan lagu ini sudah tentu sebagai hasrat untuk turut menabur jasa kepada negara dan kontinjen Sukan Olimpik Tokyo (2020) kita,” katanya.


DARI kiri, Naim Daniel, Jaclyn Victor dan Awie Wings. - Kredit foto: Tangkap layar video Demi Malaysia MSN, KBS



‘Demi Malaysia’ yang berdurasi dua minit 13 saat dengan liriknya ditulis oleh Jerry, muncul dalam siaran perdananya pada laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) dan KBS tanggal 10 Julai 2021 lalu sebagai pemarak semangat perjuangan kontinjen negara. 

Kata Awie, legenda rock yang juga pelakon, “saya cuba sampaikan semangat kepada kontinjen kita dengan cuba menyelami bagaimana hendak meredah onak duri (cabaran) dalam mendapatkan pingat buat negara.

“Lagunya khusus dan berbentuk semangat patriotik. Saya pun dulu pernah menyanyikan satu lagu tema Sukan SEA Singapura 1993 dengan beberapa artis negara Asia lain sebelum ke Australia.

“Disebabkan sudah lama, saya sudah lupa apa judulnya dan siapa penyanyi yang turut berpadu suara ketika itu ketika merakamkannya di Singapura,” katanya.




DARI atas, Awie Wings, Jaclyn Victor dan Naim Daniel. - Tangkap layar Demi Malaysia KBS, MSN


Kontinjen negara seramai 30 atlet akan beraksi dalam sembilan jenis sukan pada Sukan Olimpik Ke-32 Tokyo 2020 (2021) iaitu badminton, akuatik (terjun dan renang), pelayaran, memanah, olahraga, berbasikal, golf, gimnastik dan menembak.

Awie, 53, walau bagaimanapun mengakui sudah lama tidak mengikuti perkembangan sukan negara termasuk jika diminta mengulas siapa atlet-atlet yang dikenalinya dalam kontinjen ke Olimpik Tokyo yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

“Walaupun begitu saya doakan mereka pergi ke sana dengan penuh semangat untuk menaikkan nama Malaysia dan berusahalah sehabis baik untuk membawa pulang pingat emas (sulung) Olimpik kita.

“Kalau atlet kita tidak dapat juga, hendak buat macam mana tetapi biarlah dengan persembahan yang penuh bermaruah,” katanya yang juga bekas pemain sepak takraw peringkat daerah Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

”Pernahlah pada tahun-tahun 80-an itu rasanya mungkin 1983, main di posisi tekong dan terpilih mewakili daerah. 

“Sampai situ sahajalah (bakat) saya sebagai ahli sukan tetapi sebelum ada Pakdee (Dangwattanapaibul, pemain Thailand), sayalah tekongnya,” kata pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman ini sambil tertawa.


TANGKAP layar video lagu Demi Malaysia. 


Jaclyn ialah pemenang siri realiti TV, Malaysian Idol musim pertama dan terkenal dengan lagu ‘Gemilang’ manakala Naim Daniel merupakan pemenang Juara Lagu Muzik-Muzik 34, 2020 dengan judul ‘Sumpah’.

Zimi atau nama sebenarnya, Zarimi Zahari, 37, ialah pemain gitar kedua kumpulan rock alternatif Sofazr dan pernah menganggotai kumpulan Akim & The Majistret. - KitaReporters



3
0
0
0
0

Copy Link: