Ahmad Faizal turut hadir memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya. - Kredit foto: FB Faizal Azumu.


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mungkin tidak dapat tidur nyenyak malam semalam (Isnin, 13 Jun, 2022) selepas menjadi mangsa serangan penyokong bola sepak ekoran kenyataan kontroversi beliau semasa mengulas kekalahan 1-2 Malaysia kepada Bahrain pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu, 11 Jun, 2022 lalu. 

Ahmad Faizal atau lebih mesra dengan panggilan Peja seolah-olah turut menyalahkan penyokong termasuk Ultras Malaya apabila berkata faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton yang hadir di stadium juga harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan mereka secara tiba-tiba menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan  Ahmad Faizal Azumu

Penyokong skuad Harimau Malaya mengecam kenyataan Ahmad Faizal yang seolah-olah turut menyalahkan mereka atas kekalahan 1-2 Malaysia kepada Bahrain. - Kredit foto: FAM


"Seingat saya, sejurus jaringan pertama pada aksi itu, kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula, akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak. 

"Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus sekali gus menyebabkan skuad kita terlepas peluang menjaringkan gol. Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100 peratus faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton pun menyumbang kepada larinya fokus pemain. 

"Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun yang mana orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun akan hilang sedikit," kata Ahmad Faizal.



Kenyataan itu yang disiarkan media serta ditularkan melalui pelbagai saluran media sosial telah mencetuskan kemarahan penyokong sehingga mereka secara ‘berjemaah’ mengecam menteri berkenaan.

Pelbagai komen serta rasa tidak puas hati diluahkan penyokong sambil menganggap Ahmad Faizal tidak menghargai sokongan diberikan mereka terhadap pasukan Harimau Malaya.

Ultras Malaya yang menghidupkan suasana sepanjang perlawanan itu tampil meluahkan rasa tidak puas hati atas kenyataan itu melalui ciapan menerusi twitter yang berbunyi: “Kau nak chant special ke? Cakap ala awal-awal.”



Seorang penyokong, Hafiz Abu Bakar, yang turut hadir di stadium pada perlawanan menentang Bahrain berkata beliau amat kecewa dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu yang dianggapnya memperlekehkan kesetiaan penyokong.

“Kami sanggup meredah hujan lebat semata-mata mahu memberi sokongan kepada pasukan kita, tiba-tiba menteri cakap macam ni, ia memang mengecewakan, seolah-olah sokongan kami tidak dihargai,” katanya.


Antara kenyataan sinis yang dimuat naik melalui media sosial.


Seorang lagi penyokong, Shahruddin Manaf menulis: “Kalau bersorak menyokong pun boleh jadi punca kalah, lebih baik main tanpa penonton, stadium kosong. Tengok kat TV saja la.”

Banyak lagi komen-komen berbaur kecaman yang tidak sesuai untuk dipetik namun kesimpulannya kenyataan Ahmad Faizal ternyata memakan diri sendiri.

Malah, ada juga netizen yang menjadikan kenyataan itu sebagai bahan gurauan serta sindiran dengan menaikkan pelbagai status, antaranya ‘Tolong senyap, perlawanan bola sedang berlangsung’, juga ‘Zon Larangan Bersorak’, ‘Kempen Senyap Di Bukit Jalil, Setuju Atau Tidak?’ dan pelbagai lagi.



Walau bagaimanapun, menyedari kecaman yang diterimanya, Ahmad Faizal kemudian tampil membuat permohonan maaf sambil menjelaskan kenyataannya itu disalah ertikan tanpa menjelaskan lebih lanjut apa yang beliau maksudkan.

"Sorakan dan sokongan penyokong sebagai pemain ke-12 amat penting dan amat dihargai.

"(Bila dah kena balon, saya pun pening). Cakap2 bola saya sebelum ini telah disalah erti. Ampun dan maaf atas kesilapan saya," ciapnya menerusi akaun Twitter.

Permohonan maaf Ahmad Faizal itu disambut baik oleh portal Harimau Malaya yang menyeru penyokong kembali memberi sokongan padu kepada skuad negara apabila berdepan Bangladesh pada Selasa, 14 Jun, 2022 dalam usaha memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023. - KitaReporters


 

 

 

 

 

 

 

9
16
1
11
0

Copy Link: