Video| Salam Dari Maya! Norma baharu persembahan penyanyi!
Published byDENGAN serangan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak bulan Mac 2020 dan masih belum ada titik noktahnya, sesungguhnya telah meninggalkan impak yang cukup besar buat semua khususnya industri muzik tanah air. Pelbagai acara muzik terpaksa dihadkan mahupun dibatalkan menyebabkan pendapatan penyanyi terjejas. Namun, ada usaha dan program baharu bagi bantu para penyanyi. : KitaReporters
Jamal Abdillah tampilkan anaknya, Yamani dalam program 'Salam Dari Maya' bermula 20 November 2020
Lagi kisah-kisah berkaitan penyanyi:
https://kitareporters.com/search?search=penyanyi
Terkini, ada satu acara yang boleh membuatkan para artis senyum sedikit apabila wujudnya program hiburan secara maya berjudul ‘Salam dari Maya’.
Diterbitkan sebanyak lima episod, ‘Salam Dari Maya’ berkonsepkan permintaan lagu daripada peminat secara visual menampilkan 10 penyanyi tanah air yang hebat iaitu Dato’ Jamal Abdillah, Ziana Zain, Nora, Zamani, Liza Hanim, Amir Ukays, Siti Nordiana, Tomok, Black dan Yamani Abdillah.
Eh tiba-tiba ada penyanyi muda pula, Yamani Abdillah di celah-celah barisan penyanyi otai?
Oh! rupanya Jamal memilih anaknya sendiri untuk bersamanya apabila program tersebut berkehendakkan dua orang penyanyi dalam sesebuah episod. Bagus kan Jamal, menyokong kerjaya seni anaknya.
Raja Pop itu mengisi episod pertama ‘Salam Dari Maya’ bersama anaknya, Yamani Abdillah yang bakal bersiaran mulai 20 November 2020 ini melalui saluran YouTube Muzik Malaysia pada pukul 9 malam.
Samirah (tengah) bersama Zamani dan Amir Ukays serta team produksi di studio rakaman.
Bercerita mengenai timbulnya idea menerbitkan sebuah program hiburan secara maya, penerbitnya, Samirah Hambali yang juga pengarah Urusan Mac Training Sdn Bhd memberitahu, usaha itu timbul sebagai langkah membantu para artis yang terjejas.
“Keadaan sekarang ini ini telah menyebabkan pendapatan artis, pemuzik dan pekerja-pekerja di belakang tabir terjejas dengan begitu teruk sekali. Biarpun ada yang mencuba untuk menceburi bidang lain, namun ada juga yang masih lagi menjadikan acara persembahan sebagai sumber pendapatan utama mereka,” jelas Samirah yang sedar pelbagai acara muzik termasuklah pelancaran album, showcase, konsert, konsert jelajah dan anugerah muzik tidak dapat dilaksanakan.
Tambahnya, segelintir pula tidak tahu bagaimana untuk menjana pendapatan dengan cara yang lain kerana muzik adalah kehidupan mereka. Mereka menceburi bidang ini kerana bakat, kemahiran, minat dan kecintaan yang ada terhadap muzik.
“Jadi atas kesedaran itulah saya dengan usaha sama FunkyBrigade MediaWorks Sdn Bhd, RCD Big Studio dan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mengambil inisiatif untuk menerbitkan program hiburan secara maya begini,” ujar Samirah.
Sambungnya, kesedaran itu juga timbul apabila menyedari bahawa perlu adanya peluang pekerjaan buat pekerja industri kreatif khususnya industri muzik bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
“Pada waktu yang sama, kita juga menyedari bahawa pentingnya hiburan muzik kepada masyarakat dan dalam situasi keadaan sekarang hiburan muzik sangat diperlukan untuk meredakan tekanan masyarakat akibat pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, kesemua artis memberikan respons yang cukup baik. Malah, mereka juga teruja dengan tawaran untuk menjayakan program ini kerana kebanyakannya rindu untuk membuat persembahan,” tambah Samirah.
Bertitik-tolak daripada itulah jelasnya mereka terus membuat perancangan untuk menerbitkan program tanpa berkompromi tentang soal kualiti muzik dan produksi .
‘Salam dari Maya’ berkonsepkan permintaan lagu dalam bentuk visual, peminat-peminat telah diberi peluang untuk meminta lagu yang digemari daripada penyanyi-penyanyi idola mereka dengan cara menghantar rakaman video permintaan mereka kepada pihak produksi.
Pihak produksi pula akan menghubungi penyanyi-penyanyi tersebut untuk menjayakan program waima rakaman video yang dihantar peminat turut ditayangkan sewaktu rakaman bersama pennyanyi-penyanyi terbabit berlangsung.
“Melalui cara ini, penyanyi-penyanyi hebat tanah air ini sebenarnya telah memberikan penghargaan buat peminat-peminat mereka yang selama ini telah menyokong kerjaya seni mereka dari awal pembabitan sehinggalah ke saat ini.,” akhiri Samirah.
Selepas episod pertama yang menampilkan Dato Jamal Abdillah bersama anaknya, Yamani, episod kedua bakal menyaksikan penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain bersama Liza Hanim pada 24 November 2020 diikuti Zamani & Amir Ukays pada 28 November 2020.
Selang empat hari seterusnya, Siti Nordiana dan Nora mengambil slot episod ke-4 pada 1 Disember 2020 manakala episod terakhir menyaksikan Tomok dan Black menghiburkan peminat mereka pada 4 Disember 2020.
Kesemua program ‘Salam Dari Maya’ ini boleh ditonton pada waktu sama iaitu pukul 9 malam dalam platform saluran YouTube Muzik Malaysia pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan itu.
Jadi, eloklah tandakan kalendar anda untuk bersama penyanyi kesayangan masing-masing ya.
Sambil duduk rumah sambil berhibur dan tenangkan hati yang runsing kerana terperangkap dek wabak COVID-19 sambil berdoa ia dapat terus dihapuskan.
Sementara itu, kita perlulah reda dengan keadaan dan norma baharu tahun 2020 ini yang hampir keseluruhannya kehidupan kita perlu tertumpu pada aktiviti dalam alam maya. - KitaReporters