ATAS dasar keprihatinan serta mengambil keberkatan sempena bulan Ramadan, CIMB Islamic Bank telah menyumbangkan dana sebanyak RM300,000 kepada Islamic Relief Malaysia bagi menyokong kempen Rezeki Ramadan

Menerusi kolaborasi strategik yang menepati aspirasi Keluarga Malaysia ini, seramai lebih 7,500 orang daripada 1,500 buah keluarga telah mendapat manfaat daripada tajaan pek makanan Rezeki Ramadan melibatkan golongan asnaf, ibu tunggal dan kumpulan B40 yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Sabah dan Sarawak

Setiap keluarga dibekalkan dengan satu kampit beras 10 kilogram bersama satu kotak makanan mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, kurma, gula, uncang teh dan lain-lain


Lagi cerita-cerita menarik


Nazzi Beck, Ketua SerantauInisiatif Strategik, CIMB Islamic Bank dan Mohd Zaid Othman, PengarahPemasaran Strategik dan Tanggungjawab Korporat, CIMB Islamic Bank turut berada di lapangan bagi membantu edaran pek makanan Rezeki Ramadan di kawasan rumah setinggan Jalan Bachang, Gombak, Selangor


“Islamic Relief Malaysia sangat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kolaborasi bersama CIMB Islamic Bank dalam usaha meringankan beban golongan rentan untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan pada tahun 2022 ini.  

“Kami sentiasa terbuka untuk menjalinkan usaha sama dengan mana-mana pihak kerana tanggungjawab membantu golongan rentan merupakan satu tugas besar dan memerlukan sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

“Selaku NGO pelaksana juga, kami sangat gembira apabila menerima respons baik daripada wakil-wakil kakitangan CIMB Islamic Bank yang turut serta turun padang, di mana mereka berpuas hati terhadap kelompok sasaran yang kami kenal pasti dan cadangkan sebagai penerima tajaan pek makanan ini,” kata Siti Fadilah Mohd Hood, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia Bahagian Operasi, dalam satu kenyataan media pada 29 April 2022. 


Kakitangan Islamic Relief Malaysia membantu penerima manfaat di Masjid Jamek, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan


Tambahnya, pendekatan yang digunakan oleh Islamic Relief Malaysia menerusi kepelbagaian lokasi edaran serta capaian bantuan yang meluas di tujuh negeri di bawah tajaan CIMB Islamic Bank diharapkan dapat memberi nilai tambah baik bukan sahaja kepada penaja, tetapi pastinya untuk kebaikan para penerima manfaat yang menjadi matlamat asal kerjasama ini dijalinkan. 

Sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan tajaan CIMB Islamic Bank telah mula diedarkan di Tuaran, Sabah pada 24 Mac 2022, manakala di semenanjung, edaran bermula di Jempol, Negeri Sembilan pada 27 Mac 2022. 

Lokasi terakhir edaran pula dijalankan di Sematan, Sarawak pada 16 April lalu. 


Zaitom Mohd Razali bersama kakitangan Islamic Relief Malaysia sewaktu eadran pek makanan Rezeki Ramadan di Dewan Perpaduan Kamunting, Perak


“Sejak suami makcik meninggal dunia dua tahun lalu, hidup makcik susah sangat. Kami pernah terputus bekalan makanan sampai makcik terpaksa minta bantuan di kedai runcit dekat dengan rumah. Walaupun kedai runcit tu milik orang Cina, tetapi dia tetap bantu makcik. Rasa terharu sangat masa tu. 

“Makcik ni dah biasa hidup susah. Cuma sekarang makcik kesian dengan cucu-cucu makcik yang masih kecil. Terima kasih banyak-banyak kepada CIMB Islamic Bank dan Islamic Relief Malaysia yang bantu makcik bagi sumbangan pek makanan ini.  

“Makcik rasa bersyukur sangat atas pemberian ini. Semoga Allah balas segala budi baik semua yang membantu makcik. Makcik minta maaf sebab menangis. 

"Makcik memang rasa sebak dan sedih setiap kali dapat bantuan sebab makcik akan teringat pada arwah suami makcik. Masa arwah ada, makcik tak pernah hidup susah sampai tahap kena meminta-minta bantuan daripada orang,” luah Zaitom Mohd Razali, penerima manfaat pek makanan Rezeki Ramadan di Kamunting, Perak, dalam kenyataan tersebut. 

Tambah Zaitom, wang simpanan yang dia dan arwah suaminya ada sebelum ini telah banyak dihabiskan untuk membiayai kos rawatan arwah suami ketika dirawat di Insititut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.  

Zaitom sebelum ini menghidap barah payudara dan kini dia turut diuji dengan penyakit tiroid dan batuk berdarah. Keadaan fizikal Zaitom sememangnya tidak mengizinkannya untuk bekerja. 

Semoga dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban Zaitom sekeluarga dan semoga Zaitom terus kuat menghadapi ujian yang mendatang. - KitaReporters


Edaran pek makanan Rezeki Ramadan di Tuaran, Sabah

12
15
0
7
0

Copy Link: