Mukhlis IIyas, 58, memulakan misi berjalan kaki sejauh 165 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan sejak 25 Disember 2021 bersama sebuah troli yang ditarik sepanjang perjalanan selama tujuh hari untuk sampai ke Bandar Raya Kuala Terengganu.

Ketibaan Mukhlis di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu pada jam 3 petang Jumaat, 31 Disember 2021 lalu disambut oleh sekumpulan kanak-kanak  pesakit kanser bersama keluarga yang juga merupakan ahli Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyakit kanser


MUKHLIS IIYAS


Kesediaan Mukhlis mengembara dengan berjalan kaki tersebut demi usahanya mengumpul dana menerusi kempen #Walk4CancerKids yang akan disalurkan kepada KIDS Kuala Lumpur.

Katanya, pengembaraan itu adalah pengalaman kedua yang dilakukan selepas rekod pertama berjalan dari Bandar Penawar, Desaru, Johor ke Kuantan, Pahang pada tahun 2020.


Mukhlis membawa sebuah troli tiba di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu


Ketibaan Mukhlis di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu disambut oleh kanak-kanak pesakit kanser dan ahli keluarga.


"Sebelum memulakan perjalanan, saya telah memantapkan stamina dengan melakukan latihan antaranya larian sejauh 10 km pada setiap hari dan menjaga pengambilan makanan,” katanya.

Sebelum memulakan perjalanan, Mukhlis telah membuat persiapan rapi untuk menguatkan keadaan fizikil dalam perjalanan jauh dan memastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik sepanjang perjalanan.

Mukhlis berkata, setakat ini dia telah mengumpul lebih RM300 hasil derma orang ramai selain turut mendapat perhatian dan sokongan menerusi derma yang disalurkan secara dalam talian.


Hamidah (kiri) menyampaikan cederamata kepada Mukhlis


Berkongsi cabaran melakukan pengembaraan ketika musim tengkujuh, Mukhlis berkata, dia bersyukur kerana sampai ke setiap destinasi mengikut jadual yang ditetapkan dan tidak berdepan cuaca buruk.

"Walaupun melakukan perjalanan pada musim tengkujuh, saya bersyukur kerana keadaan cuaca yang redup serta sedikit hujan melancarkan perjalanan saya untuk tiba ke sesuatu lokasi," katanya.

Mukhlis berkata, pengalaman mempunyai empat ahli keluarga yang menghidap kanser menyebabkan dia nekad untuk meneruskan kempen tersebut. 

"Secara peribadi saya turut kehilangan tiga kakak akibat kanser dan mempunyai seorang abang yang masih berjuang melawan kanser,” katanya.


Bacaan doa selamat sebaik Mukhlis selamat sampai di Kuala Terengganu



Sementara itu, Pengerusi KIDS, Hamidah Tajudin berkata, KIDS yang ditubuhkan sejak tahun 2016 kini mempunyai hampir 1,000 ahli.

Katanya, antara objektif utama penubuhan kumpulan itu adalah untuk memberi sokongan kepada ibu bapa dan anak-anak yang menghidap kanser terutama mereka yang terdiri dalam kalangan golongan berpendapatan rendah khusus golongan B40.

"Penubuhan KIDS merupakan inisiatif saya dengan sokongan para ibu bapa yang berkongsi nasib yang sama. Banyak kisah duka yang dialami mereka lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah,” katanya. - KitaReporters


Mukhlis (tengah) bersama kanak-kanak pesakit kanser


 

 

 

12
20
2
26
0

Copy Link: