PKPP bawa sinar harapan! Pekebun kecil dah boleh jual hasil
Published by“SAYA berharap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini akan membawa sinar kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran dan ulaman. Ini kerana hasil tanaman itu dapat dipasarkan terus kepada orang ramai yang mengunjungi pasar pagi," pekebun kecil Shidah Ismail, 57, dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu. : KitaReporters
Pekebun kecil Shidah Ismail, 57, dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu di Terengganu.
Rakan Kak Shidah menunjukkan kebun yang diusahakan mereka seluas 0.8 hektar ditanam dengan timun baby, lada besar, terung, labu kuning dan serai.
Selain itu, kata Kak Shidah, pekebun-pekebun kecil sepertinya boleh juga menjual tanaman mereka kepada pengusaha restoran dan kedai makan.
Beliau yang sudah sekian lama menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya sepenuh masa mencuba tanaman timun baby di samping terung, lada besar, labu kuning dan serai di atas tanah seluas 0.8 hektar bagi menambah punca pendapatan pada awal tahun ini.
Bagaimanapun
nasib tidak menyebelahi beliau bersama-sama dua rakan kongsi apabila tanaman
itu yang sudah boleh dipetik seminggu sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri
lalu tidak dapat dipasarkan kerana pasar pagi khusus di Pekan Kuala Berang
tidak dibenarkan beroperasi kerana PKP dan PKP Bersyarat (PKPB).
Rakan Kak Shidah menunjukkan timun baby yang baru dipetik untuk dijual kepada pemborong yang datang membelinya di kebun.
Shidah yang dihubungi berkata, selain pasarpagi, kedai runcit yang menjual barangan basah juga tidak berani memulakan perniagaan termasuk restoran dan gerai makan kerana bimbang kepada penularan wabak Covid-19.
Menurutnya,
mereka mengalami kerugian lebih RM5,000 apabila gagal mendapat pulangan modal
yang dikeluarkan untuk kerja membajak tanah, membeli peralatan tambahan bagi
tanaman berkenaan juga benih khusus timun baby yang terlalu mahal.
“Dengan
bantuan rakan-rakan dan penduduk kampung tanaman itu dipasarkan secara
kecil-kecilan di depan rumah selain kepada pemborong yang datang sendiri ke
kebun kerana mereka memiliki surat kebenaran untuk membeli hasil pertanian di
kampung-kampung.
Bekas Guru Besar, Norhaizan Mahussin datang sendiri ke kebun Kak Shidah untuk membeli terung.
“Pada masa
itu saya terpaksa menjual hasil tanaman seperti timun baby, terung, lada besar
dan labu kuning dengan harga terlalu murah berbanding harga di pasaran bagi
mengelak menanggung kerugian jika dibiarkan busuk,” katanya.
Shidah
berkata, mengikut perancangan beliau seperti tanaman lain yang diusahakan
sebelum ini, tanaman itu akan dipasarkan sendiri kepada orang ramai dan
pemborong di pasar pagi Pekan Kuala Berang iaitu pada hari Rabu dan Sabtu.
Timun baby khususnya terpaksa dijual dengan harga murah bagi mengelak terbuang dan busuk.
Menurutnya, selain pemborong pengusaha restoran, katering dan gerai makan juga akan ke pasar itu bagi mendapatkan bahan mentah itu, bagaimanapun apabila PKP dan PKPB dilaksanakan pasar itu masih tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, majlis keramaian seperti kenduri kahwin khususnya yang tidak dibenarkan oleh kerajaan turut menjejaskan pasaran bahan mentah itu kerana sebelum ini pengusaha katering yang menyediakan makanan untuk majlis itu akan datang sendiri ke kebun untuk membelinya.
Labu kuning seperti juga timun baby tidak dapat dipasarkan di pasar pagi Pekan Kuala Berang kerana pelaksanaan PKP dan PKPB.
“Saya seperti pekebun kecil lain berharap keadaan menjadi normal kembali dalam PKPP ini dan semua masyarakat mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) apabila mengunjungi pasar terbuka dan kami dapat menjalankan urus niaga.
“Kini saya
dalam proses menanam benih baharu timun baby serta beberapa tanaman lain dan
dijangka hasilnya dapat dipetik pada hujung Julai bagi memenuhi permintaan di
pasaran yang kebetulan pula dengan sambutan Aidiladha,” kata Shidah. - KitaReporters