KATA orang tak kenal maka tak cinta atau pun cinta itu buta malah ada juga yang jatuh cinta pandang pertama. Bagaimanapun caranya, jodoh pertemuan tetap diaturkan Allah sebagaimana yang terbukti pada pasangan yang jatuh hati pada lagu pertama ketika masing-masing dipertemukan di pentas program realiti ‘Lagu Cinta Kita.’ : KitaReporters


(Dari kiri) Azwan Ali, Elly Mazlein, Mas Idayu dan Hael Husaini.


Pada musim pertama ‘Lagu Cinta Kita’ (LCK) tahun lalu,  yang diadaptasi daripada program CJ ENM, “Love At First Song’, iaitu sebuah program temu janji muzik dari Vietnam menemukan juaranya, Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan mengenali hati budi waima keserasian antara mereka membibitkan perasaan cinta sehingga ke jinjang pelamin.

Pasangan Naqi atau Muhammad Naqiuddin Nasri, 22, sah bergelar suami kepada Nur Ayuni Sapuan, 30, pada 25 Julai 2020 lalu.  

Malah, selain mereka, pasangan finalis pada program sama, Erul atau Khairulnizam Omar dan Naufa atau Nur Fatihah Taib turut mendirikan rumah tangga susulan tamatnya program walau pun mereka bukanlah pasangan duet pada pentas sama.

Naufa yang dipasangkan dengan Hafeez Abd Majid berjaya menduduki tempat ketiga, manakala Erul dan pasangan pentasnya, Farah Yasmaube Kherul Malik atau Sarah berada di tempat keempat pada 'Lagu Cinta Kita' musim pertama berkenaan.

Erul dan Naufa kini baharu sahaja dikurniakan cahaya mata pada bulan Jun 2020 lalu. Tahniah!

.

Naqi Nasri dan Nur Ayuni Sapuan.


Erul dan Naufa  menimang cahaya mata pertama mereka Jun 2020. - Kredit foto: IG erulomar_.


Sudah tentu satu penghormatan bagi Primework Studios yang menerbitkan program ini kerana berjaya menyatukan dua insan yang tidak dikenali sebelum ini membina ‘masjid’. Alhamdullilah, pahala buat team produksi yang diketuai Muhamad Sufian Che Isa dan Russel Mark Rodriguez sebagai penerbit eksekutif. 

Kini, pada musim ke-2, ‘Lagu Cinta Kita’, mampukah sekali lagi program realiti ini menyatukan ‘jodoh’ antara mana-mana 36 orang peserta yang akan dipadankan kepada 18 pasangan duet kelak?

Untuk mengetahui jawapannya, sudah tentu anda perlu menyaksikan ‘Lagu Cinta Kita Ke-2' yang bakal bersiaran secara langsung di TV3 bermula 8 November 2020, setiap hari Ahad, pukul 9 malam hingga 11.30 malam selama 8 episod.

“Saya yakin rancangan ini akan berjaya menjodohkan lagu dan cinta antara dua insan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato Khairul Anwar Salleh.

Mengekalkan penyanyi Hael Husaini sebagai juri tetap bersama gandingan baharunya, Mas Idayu dan seorang juri jemputan pada setiap episod, ‘Lagu CInta Kita Ke-2’  memilih Elly Mazlein sebagai hos program yang akan digandingkan dengan pasangan hos yang berlainan iaitu Michael Ang dan Azwan Ali sehingga beliau menemui pasangan sejolinya. 

Selain itu, 'Lagu Cinta Kita Ke-2' juga akan menampilkan selebriti popular yang berlainan pada setiap episod bagi menggalas tugas sebagai panelis cinta untuk memberi komen tentang keserasian dan berkongsi kisah cinta romantis sendiri dengan pasangan berduet. 



Seperti musim lalu, para peserta tidak akan mengetahui siapakah pasangan duet masing-masing sehingga berada di atas pentas. 

Pada pusingan awal, 36 peserta akan dipadankan mengikut giliran iaitu 6 pasangan (episod 1), 6 pasangan (episod 2) dan 6 pasangan (episod 3). 

Para peserta memilih lagu mengikut urutan yang ditetapkan oleh juri tetap berdasarkan vokal mereka. Kemudian, peserta dipadankan dengan pasangan duet mengikut pilihan lagu yang sama. 

Pada awal persembahan, mereka akan bernyanyi di dua pentas yang berbeza. di mana undian penonton di rumah diperlukan untuk mengalihkan dinding pemisah di antara pentas mereka. 

Ketika itu barulah para peserta dapat melihat siapakah pasangan duet mereka. Selepas itu, persembahan mereka perlu mendapatkan undian daripada kesemua juri supaya pentas dicantumkan dan mara ke pusingan seterusnya.

Hanya 10 pasangan duet akan meneruskan perjalanan ke episod ke-4, ‘Love Camp Song’ waima mereka akan diberikan peluang untuk mengenali sesama sendiri dalam pelbagai aktiviti yang disediakan. 

Mereka juga akan diberikan tugasan yang menguji keserasian, sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan antara peserta. 

Setiap pasangan duet juga akan diberikan tajuk lagu yang akan dipertandingkan di pentas ‘Lagu Cinta Kita Ke-2’. 

Bermula peringkat ini, penilaian persembahan terletak pada tangan panel juri sepenuhnya yang mana hanya satu pasangan duet akan disingkirkan dalam episod ini. 



Menurut Dato Khairul, memasuki episod ke-5 dan ke-6, sembilan pasangan yang masih bertahan akan berhadapan dengan ujian yang lebih getir dimana mereka akan membuat persembahan mengikut tema mingguan yang ditetapkan. 

Pada segmen 'Cinta Sepanjang Zaman' para peserta diberikan seleksi lagu cinta popular pada era tahun 60-an hingga 90-an manakala  'Cinta Antara Benua’  akan membawa penonton mengimbau lagu-lagu romantis dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan lain-lain.

Pada peringkat ini, sudah tentu peserta yang masih bertanding mahu kekal dengan pasangan duet masing-masing kerana keserasian yang sudah tercipta. 

Tujuh pasangan duet bakal bertanding pada pusingan separuh akhir. Selepas itu, hanya lima pasangan yang akan berentap di pusingan akhir yang dijangka berlangsung pada 3 Januari 2021

Juara 'Lagu Cinta Kita Ke-2' bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000, manakala tempat kedua berjumlah RM 30,000, tempat ketiga berjumlah RM20,000, tempat keempat berjumlah RM15,000 dan tempat kelima berjumlah RM10,000. - KitaReporters


7
0
0
0
0

Copy Link: