Video| Dolla nafi berpakaian keterlaluan dalam MV Suara Lebaran Kita! Sesuai dengan imej kumpulan!
Published byKUMPULAN Dolla mempertahankan busana yang digayakan dalam video muzik ‘Suara Lebaran Kita’ dendangan bersama Hael Husaini sebagai tidak keterlaluan kerana ia sesuai dengan imej kumpulan itu.
Dolla terdiri daripada Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), Tabby (Tabitha Ariel Lam), Angel (Angelina Chai Ka Ying) dan Syasya (Norsyasya Afiqah Shahrizal).
Mewakili Dolla, Sabronzo berkata, mereka menghormati budaya Melayu dan memilih busana sesuai untuk digayakan dalam video muzik yang diterbitkan sempena menyambut Aidilfitri.
"Dalam perkara ini, setiap orang ada pandangan masing-masing. Ada yang sukakan lagu raya kami dan ada yang sebaliknya.
"Bagi kami, dalam setiap video muzik, kami cuba tonjolkan imej Dolla. Sama macam lagu sebelum ini, kami tonjolkan identiti Dolla," katanya kepada sebuah media.
Sebelum ini, sebaik video muzik ‘Suara Lebaran Kita’ dendangan bersama Hael dilancarkan, netizen melemparkan kritikan konon gaya kumpulan itu agak seksi dan tidak sesuai dengan suasana hari raya.
Sabronzo berkata, setiap komen dan kritikan dijadikan panduan untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.
"Mana yang boleh diperbaiki, kami cuba lakukan. Sejak single pertama kami dapat banyak maklum balas positif dan negatif.
Sementara itu, menurut Taby, single Suara ‘Lebaran Kita’ mendapat sambutan yang sangat baik kerana peminat tidak menyangka mereka akan bekerjasama dengan Hael Husaini.
"Lagu itu meriah dan unik. Ia sesuai dengan suasana raya tahun ini. Merakamkan lagu ini memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan buat kami.
"Kalau dilihat dalam laman sosial seperti Instagram (IG) dan TikTok, ramai yang menjadikan single ini sebagai lagu latar sambutan raya. Malah, ada yang menyunting seperti video muzik. Tidak hanya kreatif, usaha mereka sangat dihargai. Ia cukup buatkan kami terharu dan teruja," katanya.
Taby berkata, sama seperti single raya tahun lalu (2021), iaitu ‘Raya Raya Raya’, lagu ‘Suara Lebaran Kita’ 'catchy' dan sesuai untuk pendengar muzik semasa.
MV ‘Suara Lebaran Kita’ yang mula ditayang dalam YouTube kira-kira sebulan lalu sehingga 12.01 minit Ahad, 22 Mei 2022 mencapai tontonan lebih 1.388 juta.
Sementara lagu ‘Raya Raya Raya’ yang mula ditayang setahun lalu sehingga kini mencapai tontonan lebih 10, 221 juta.
Kumpulan Dolla antara penyanyi yang mendapat sambutan paling menggalakkan dalam rakaman lagu bertema hari raya.
Lagu ‘Raya, Raya, Raya’ walaupun sudah dilancar setahun lalu, masih popular dan diputar di stesen-stesen radio dan TV.
Dolla yang ditubuh pada tahun 2009 oleh sebuah syarikat rakaman sebagai kumpulan penyanyi wanita yang boleh menari dengan masing-masing sebelum ini tidak pernah bertemu.
Mereka dikatakan mengikut kumpulan K-pop terkenal Korea iaitu Blackpink yang kesemuanya wanita yang berusia 20-an.
Dolla muncul sebagai artis ketiga Malaysia selepas Yuna dan Layla Sania, yang dipaparkan pada papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat.
Penampilan Dolla ialah sebahagian daripada kempen Equal oleh perkhidmatan penstriman digital, Spotify. - KitaReporters