Demi Ada Untukmu: Amelina beralih dari dangdut! Demi siapa?
Published byORANG lama norma baharu. Ya, siapa yang tidak kenal Ratu Dangdut Malaysia, Amelina, penyanyi era 90-an yang sinonim dengan irama dangdut melalui beberapa lagu popularnya seperti "Rindu", "Asyik" dan banyak lagi. Terbaharu, sejarah tercipta apabila Amelina buat julung kalinya beralih ke genre balada setelah 27 tahun berada dalam zon selesa sebagai penyanyi dangdut, dengan lagu terbaharu berjudul "Ada Untukmu”. : KitaReporters
- Lagi cerita-cerita berkaitan lagu:
- https://kitareporters.com/search?search=lagu
Mungkinkah “Ada Untukmu" ciptaan sepenuhnya Aepul Roza petanda awal ibu tunggal anak enam ini sudah ada penggantinya sejak bercerai pada tahun 2016?
Khabar terbaharu, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin sudah mempunyai kekasih hati, namun menafikan akan berkahwin dalam masa terdekat malah membiarkan jodohnya berlaku atas ketentuan Allah.
“Saya akui memang ada seseorang ahli perniagaan yang rapat dengan saya, namun kami masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing,“ lapor Amelina terhadap desas-desus hubungannya itu ketika disoal media pada majlis pelancaran dan tayangan perdana video muzik lagu ‘Ada Untukmu’ di Crave Café, Oasis Ara Damansara, semalam Khamis, 6 Ogos 2020.
Apa pun yang pasti idea lagu ‘Ada Untukmu’ tercetus berikutan persetujuan bersama Amelina dan pengurusannya, Mind Order Management untuk menghidangkan karya berbeza yang berani pada projek terbaharu sesuai pula dengan norma baharu kehidupan masyarakat sekarang.
Menurut Amelina yang membahasakan dirinya Kak Long, keberanian untuk merakamkan lagu balada berkenaan bertitik-tolak daripada respons positif yang diterimanya ketika menyertai pertandingan nyanyian popular, Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada 2018.
“Ketika itu, saya menerima tugasan mingguan untuk menyampaikan pelbagai genre lagu dan alhamdulillah, kesemua lagu berlainan genre daripada kelaziman saya iaitu dangdut berjaya disampaikan dengan baik dan digemari ramai.
“Malah, ramai yang sering bertanya jika saya mahu mencuba genre berbeza selain dangdut untuk projek lagu baharu seperti pop atau balada. Syarikat pengurusan juga berpendapat tidak salah jika saya cuba mencabar diri dengan lagu genre berbeza kerana mereka sudah melihat kemampuan saya menyampaikan lagu-lagu berlainan genre sebelum ini,” ujar Kak Long panjang lebar.
Menurutnya, sepanjang tempoh mencari pelbagai lagu yang bersesuaian, hanya “Ada Untukmu" menambat hatinya sebaik mendengar demo lagu tersebut buat kali pertama.
“Kami mencari pelbagai lagu yang bersesuaian sehinggalah mendapat demo lagu ini yang begitu melekat di hati saya pada kali pertama mendengarnya. Kami putuskan untuk mencuba sehingga lahirlah "Ada Untukmu" pada hari ini,” tambahnya.
Sambung penyanyi berusia 46 tahun ini, kelainan pada genre lagu terbaharu itu disifatkan sebagai hadiah unik kepada para penyokongnya selama ini.
Sehubungan itu, Amelina yang mempunyai lebih 15 lagu hit dangdut selama ini berharap kelainan dan keberanian yang disajikan pada lagu terbaharu ini mendapat tempat di hati peminat dan masyarakat kelak.
Mungkinkah pertaruhan baharunya dalam kehidupan norma baharu ini juga mendapat respons baik? Jom dengar!
Lagu "Ada Untukmu" boleh dilayari dan dimuat turun secara rasmi dalam semua platform digital antaranya Spotify, Joox, Kkbox dan iTunes bermula Jumaat ini (7 Ogos 2020), manakala video muziknya yang menyaksikan lakonan bersama Sham Visa juga turut dilancarkan dalam saluran YouTube Nova Music pada hari ini (7 Ogos 2020). - KitaReporters