DAH rasa durian Perlok, durian kepala gajah, durian tangkai panjang, durian kulit buaya, durian tembaga atau durian daun?  Jika tidak, anda kenalah ke Mukim Ulu Cheka di daerah Jerantut untuk merasanya. Bagi peminat durian, tak cukup rasanya hanya makan durian Musang King!! : KitaReporters



Rupa-rupanya, tidak ramai yang tahu beberapa kawasan dalam Mukim Ulu Cheka di Daerah Jerantut, Pahang banyak dikunjungi pelancong dari luar negeri Pahang terutama pada setiap hujung minggu.  

Ini disebabkan oleh terdapatnya tarikan istimewa di beberapa tempat seperti Lata Lang, Galeri Pawang Nong, Lata Sungai Rengat, dusun durian Perlok, dan gerai durian viral di Kampong Damak.  

Menurut Pengerusi Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, adalah tidak mustahil untuk pihak kerajaan negeri menjadikan "gerai durian viral" di Kampung Damak sebagai pusat pengumpulan dan penjualan buah durian untuk memberi peluang kepada pengunjung dari luar Pahang menikmati buah durian terutama di musimnya.  

Mohd Sharkar berkata, pelbagai jenis dan nama spesis durian terkumpul di kampung ini, hasil daripada tanaman di kebun-kebun durian orang kampung dari pelbagai kampung dalam Mukim Ulu Cheka.  

Antara nya, durian kepala gajah, durian tangkai panjang, durian kulit buaya, durian tembaga dan durian daun serta durian "Musang King".  


"Bila saja tibanya musim durian, pemilik kebun durian dan buah-buahan yang lain mengambil inisiatif sendiri untuk mengangkut keluar buah-buahan tersebut ke gerai durian viral di Kampong Damak. 

"Ini untuk memudahkan peluang bagi pengunjung datang menikmati pelbagai baka durian, di samping mereka sendiri mempunyai pasaran durian yang laris.   

"Dimaklumkan kepada saya, beratus-ratus kilogram durian dijual di sini sepanjang musim durian, di samping ada juga jualan buah oetai, pulasan dan rambutan. 

"Kebanyakan pengunjung atau pembeli adalah dari Kuantan, malah Putrajaya pun ada,'' Mohd Sharkar berkata ketika membuat lawatan kerja di Mukim Ulu Cheka pada Sabtu, 11 Julai 2020 lalu. 

Turut hadir Pengurus Besar Pelancongan Pahang Datuk Ishak Mokhtar dan Pengurus Besar Pejabat Pelancongan Kementrian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Idros Yahya.   



Sementara itu pengusaha gerai durian viral di Kampong Damak, Ahmad Mustafa, 40, berkata, dia mengambil inisitif dengan membuka gerai itu adalah bertujuan untuk memudahkan urusan orang kampung atau pemilik kebun buahan di sekitar Kampong Damak untuk memasarkan durian, di samping memastikan harga yang dijual di kawasan kebun dan di tempatnya, tidak banyak beza.   

"Contohnya, kalau di kebun mereka menjual dengan harga RM5 sekilo untuk durian kampung, maka saya jual di sini pada harga RM7 sekilo, dengan tujuan untuk tidak mengambil untung besar supaya peminat durian tidak merasa terkilan apabila mereka membeli durian di sini.   

"Lagipun, gerai saya ni terletak di jalan utama dari Jerantut ke Benta dan mudah disinggah, 

"Kalau tidak mereka perlu pergi jauh lagi ke kampung-kampung untuk mmbeli durian idaman mereka, dengan terpaksa berbelanja lebih untuk duit petrol dan memakan masa," Ahmad memberitahu.   

Ahmad juga berkata, pada musim durian tahun ini, jualan durian begitu mendadak peningkatan yang disebabkan oleh keghairahan pembeli yang baru dapat keluar merentasi daerah dan negeri selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - KitaReporters

3
0
0
0
0

Copy Link: