SYABAS!! TERENGGANU AGIH BANTUAN MAKANAN
Published byPENANTIAN rakyat Terengganu yang terjejas untuk mendapatkan bekalan makanan harian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak seminggu lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila janji kerajaan negeri untuk memberi bantuan sudah mula disalurkan kepada orang ramai. : KitaReporters
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (kiri) turun padang bagi mengagihkan sumbangan makanan kepada penduduk. - Kredit foto: FB Hj Khuz ( https://www.facebook.com/hjkhuz4kotaputera/)
Seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Khamis, 19 Mac 2020, Fasa 1 pengagihan bekalan asas makanan, yang diuruskan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai jentera akar umbi kerajaan, mula mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk sejak Selasa, 24 Mac 2020.
Menerusi
kaedah pengagihan itu, orang ramai tidak perlu risau kerana mereka hanya perlu
tunggu di rumah masing-masing kerana kenderaan yang disediakan akan bergerak
dari rumah ke rumah mengikut kawasan pentadbiran MPKK terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri sudah menghantar bekalan makanan berkenaan kepada semua 32 Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri ini.
Katanya,
bekalan asas makanan itu bagi membantu golongan rakyat yang terjejas kerana
tidak mendapatkan pekerjaan masing-masing selepas penguatkuasaan PKP oleh
kerajaan.
Sukarelawan kampung bergotong royong menyiapkan pembungkusan makanan untuk diedarkan oleh MPKK.
Mohd Nurkhuzaini berkata, pengagihan bekalan mengikut DUN itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat kerana ia membabitkan ramai penduduk yang memerlukan bantuan.
Beliau yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, pada peringkat DUN terbabit, 37 MPKK
sudah menunaikan tanggungjawab membuat penghantaran bantuan fasa 1 kepada
penduduk yang terjejas dalam tempoh PKP akibat COVID-19 sejak 18 Mac 2020.
“Aktiviti penghantaran dari rumah ke rumah dilakukan oleh Pengerusi dan Jawatankuasa MPKK di kampung terbabit bagi mengelak orang ramai keluar rumah,” kata Mohd Nurkhuzaini yang turut serta mengagihkan bantuan berkenaan.
Beliau berkata, selain bekalan makanan dan minuman, pihaknya mengambil inisiatif membekalkan lima tan tembikai yang turut diagihkan kepada orang ramai sebagai pembasuh mulut kerana keadaan cuaca panas sekarang.
Lori mambawa lima tan tembikai untuk diagihkan kepada penduduk kampung sekitar DUN Kota Putera
“Tahniah dan terima kasih kepada semua Pengerusi MPKK yang mengambil tindakan segera pada saat semua rakyat menantikan bantuan,” katanya menerusi Facebook miliknya (https://www.facebook.com/hjkhuz4kotaputera/).
Katanya, tembikai hasil tanaman petani sekitar Besut akan
diagihkan secara berkala mulai Selasa, 24 Mac 2020 dan diharapkan dengan sumbangan ini akan meredakan kegelisahan rakyat
yang terjejas akibat PKP yang membataskan orang ramai untuk keluar rumah.
Sebahagian bahan makanan yang siap dibungkus untuk diedarkan kepada penduduk yang terjejas
“Ketika dalam tempoh berada di rumah diharapkan semua rakyat dapat bertenang dalam tempoh yang genting ini,” kata Mohd Nurkhuzaini.
"Teruskan duduk di rumah (Just stay at home) dan jangan keluar tanpa keperluan.
"Doakan semoga semuanya kembali pulih seperti sedia kala dalam masa terdekat. Insya-Allah, sama-sama kita ambil peranan saling bantu-membantu masyarakat setempat," tambah beliau.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada petugas "frontliners" (barisan hadapan) yang membanting tulang dalam persiapan penghantaran bantuan makanan kepada penduduk kampung.
"Semoga usaha murni kita mendapat keberkatan disisi Allah," tegasnya. - KitaReporters
Mohd Nurkhuzaini menunjukkan bekalan minuman yang akan diedarkan kepada orang ramai di DUN Kota Putera. - Kredit Foto: Facebook @Hj Khuz (https://www.facebook.com/hjkhuz4kotaputera/)