"PEKAN KOBOI" BAGAN DATUK BERTAMBAH SEPI

Published by
KitaReporters
BAGAN DATUK, sebuah pekan kecil sunyi di pinggir Sungai Perak, kini bertambah lengang berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan atau ‘lockdown’  yang berkuat kuasa sehingga 14 April 2020. : KitaReporters 

REPLIKA kapal besar yang biasanya menjadi tumpuan di Dataran Bagan Datuk kini terbiar tanpa pengunjung. Gambar dirakam pada Rabu, 23 Mac 2020. - Kredit foto: Nordin Sulaiman


Kawasan Dataran Bagan Datuk yang juga dikenali kawasan jeti, yang biasanya menjadi kunjungan ramai, khususnya pada hujung minggu, untuk bersantai dan beriadah kini bagai dermaga bisu. 

Tiada keriuhan kanak-kanak bermain atau penjual menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Barang kali ini juga menunjukkan penduduk kawasan luar bandar lebih mematuhi perintah ‘lockdown’ berbanding dengan penduduk bandar yang berpusu-pusu balik ke kampung ketika kerajaan melaksanakan ‘cuti paksa’ bagi mengekang penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19.

Kini dengan perintah kawalan pergerakan yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2020 disambung sehingga 14 April 2020, kesunyian yang melanda pekan Bagan Datuk akan berterusan.

JALAN besar Bagan Datuk lengang bagai pekan tinggal.


Selain jeti di gigi Sungai Perak yang sunyi, jalan-jalan di Bagan Datuk juga bagai pekan tinggal, sunyi tidak berpenghuni.

Ini mungkin kerana tidak ramai datang membeli barang sementara para pekedai yang premis mereka dibenarkan beroperasi seperti kedai menjual barang, hanya duduk dalam kedai.

Mereka menunggu pelanggan yang tidak ramai datang.

Selain itu, penutupan sekolah berasrama, Sekolah Sains Bagan Datuk, dan sekolah-sekolah menengah serta rendah, turut menyumbang kepada kesunyian ini.

SEBAHAGIAN Dataran Bagan Datuk dengan berlatar belakang masjid terapung, Masjid Tuminah, yang kini dalam pembinaan.


Bagi pekan kecil tempat kelahiran penulis ini, pelajar-pelajar sekolah ini adalah juga kelompok yang turut menyerikan pekan yang sering dipanggil sebagai ‘pekan koboi’.

Dengan perintah ‘lockdown’ juga, pasar minggu Bagan Datuk setiap pagi Ahad ditutup.

Tempat tumpuan ramai yang selalunya sibuk dan bising ini menjadi sepi. Yang ada hanya tapak kosong tiada penghuni.

Bagi penduduk bandar yang  telah pulang ke Bagan Datuk, atau kampung-kampung lain seluruh negara, ia pula bermakna mereka akan terpaksa tingga lebih lama lagi di kampung.

Ini kerana kerajaan telah mengeluarkan perintah larangan kepada mereka yang sudah berada di kampung untuk tidak pulang ke bandar dalam tempoh penguatkuasaan ‘lockdown’.

RUANG bersantai di Dataran Bagan Datuk berlatar belakang jeti dan Sungai Perak.


Untuk tujuan itu pihak polis dan tentera akan mengadakan sekatan di semua lebuh raya antara negeri bagi memastikan mereka patuh kepada perintah ‘tinggal di mana mereka berada’.

Sesiapa yang cuba melepasi sekatan ini tidak akan berjaya kerana polis dan tentera telah cukup bersedia menguatkuasa peraturan. 

Mereka yang cuba melanggar sekatan akan disuruh berpatah balik walaupun sudah jauh perjalanan ditempuh.

Sehingga berakhirnya tempoh ‘lockdown’, Bagan Datuk yang sunyi akan terus sunyi.  

Walaupun mungkin ramai penduduk bandar kini berada di kampung masing-masing di Bagan Datuk, mereka juga seperti yang lain tidak dapat bergerak ke mana-mana. 

Arahan kerajaan: Duduklah di rumah! - KitaReporters

LOGO 'Selamat Datang ke Bagan Datuk' di Dataran Bagan Datuk di tebing Sungai Perak.

1
0
0
0
0

Copy Link: