Berita Terkini| Cubaan seludup 3,000 biji telur penyu! Seorang lelaki diberkas PGA di Sandakan
Published bySuspek berjaya ditahan PGA ketika cuba menyeludup telur penyu dari Pulau Taganak, Filipina ke Sandakan, Sabah. - Kredit foto: Ihsan PGA
PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya memberkas seorang lelaki yang cuba menyeludup masuk kira-kira 3,000 telur penyu di perairan Nunuyan Darat, Batu 3, Sandakan, Sabah kira-kira 8.30 malam, pada 17 April 2021.
Suspek berusia 31 tahun berasal dari Filipina itu dipercayai memilih masa solat tarawih bagi melakukan kegiatan berkenaan untuk pasaran di bandar Sandakan.
Pegawai Memerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Platun Tiger yang sebelum itu sedang menjalankan rondaan laut sempena Op Benteng.
"Anggota PGA bertugas berjaya mengesan sebuah bot pam bergerak laju menuju ke Kampung Nunuyan Darat lalu memintasnya dan mengarahkan bot untuk berhenti.
"Selain suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat enam guni berisi 3,000 biji telur penyu di bahagian hadapan bot.
"Suspek turut disyaki membuang sejumlah telur ke dalam laut. Telut penyu berkenaan didapati cuba diseludup dari Pulau Taganak, Filipina bagi pasaran di bandar Sandakan," katanya dalam satu kenyataan media, pada 18 April 2021.
Tambah beliau, telur penyu serta bot bernilai RM10,00 telah dirampas untuk tindakan lanjut dan siasatan kini diteruskan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Imigresen 1959/63. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter