Video| Bye Dua Puluh Dua Puluh! Aziz dan Bunga nantikan 2021
Published byTAHUN 2020 hampir ke penghujungnya. Sejak krisis kesihatan global bermula pada awal tahun ini, 2020 disebut sebagai tahun paling mencabar buat seluruh penduduk dunia, Pun begitu, 2020 tidak kurang membawa hikmah apabila angka itu dijadikan judul lagu, ‘Dua Puluh Dua Puluh’ bagi penyanyi Aziz Harun dan rapper wanita berhijab, Bunga Isme. : KitaReporters
Lagi kisah-kisah berkaitan Bunga Isme:
https://kitareporters.com/search?search=bunga+isme
Pendek kata, suasana ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 memberi impak besar ke setiap lapisan masyarakat apatah lagi apabila wabak ini sudah memasuki tahap gelombang ketiga dengan jumlah kes yang disahkan di seluruh dunia melebihi 70 juta kes.
Hampir tiba ke penghujung tahun 2020, sudah pasti ramai menantikan krisis kesihatan global itu cepat berakhir waima ada yang berharap tahun baharu 2021 menjadikan kehidupan pascapandemik COVID-19 yang lebih baik.
Penceritaan inilah yang cuba disampaikan oleh Aziz Harun dan Bunga melalui single kolaborasi pertama mereka, ‘Dua Puluh Dua Puluh’.
Bunga Isme atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 20, sudah tentu tidak perlu diperkenalkan lagi.
Beliau satu-satunya penyanyi rap wanita bertudung pertama di Malaysia yang tampil berbaju kurung setiap kali di pentas sehingga mendapat perhatian media antarabangsa selepas muncul dalam rencana The New York Times dan rakaman video terbitan Bloomberg.
Malah, sejak membintangi filem sulungnya dengan namanya “Bunga’, beliau semakin dikenali ramai.
Begitu juga Aziz Harun yang popular dengan lagu “Senyum”, “Jauh’, “Jangan’ dan banyak lagi di mana pemuda berusia 22 tahun berasal dari Brunei Darussalam ini sebenarnya mula menapak dalam industri hiburan sejak tahun 2012 lagi.
Malah peserta program realiti nyanyian Big Stage ini pernah merakamkan lagu dengan Hannah Delisha dan Siti Nordiana sekali pun.
Dan kini, dengan gabungan bersama Bunga melalui ‘Dua Puluh Dua Puluh’ terbitan Faithful Music ciptaan bersama Romeo, Mage, Bunga dan Amzar Razqa, Aziz menyifatkan single terbaharunya ini adalah manifestasi seninya dalam merumuskan norma kehidupan pada tahun 2020.
“Apa yang saya cuba sampaikan menerusi lagu ini adalah kesulitan dan keresahan yang kita semua alami pada tahun 2020. Namun begitu, lagu ini turut cuba mengingatkan bahawa tetap ada hikmah di sebalik dugaan ini,” komen Aziz.
“Saya berharap dengan mengangkat isu semasa ini menjadikan lagu ini lebih dekat di hati pendengar. Apatah lagi bila kita bakal menyambut tahun baharu 2021 tidak lama lagi.
Semoga lagu ini memberi semangat kepada pendengar untuk sabar menanti saat kehidupan kita semua kembali seperti biasa,” ujar Bunga pula.
Jadi, jika korang nak dengar apa kata kedua-dua Aziz mahu pun Bunga, bolehlah layan lagu “Dua Puluh Dua Puluh” yang sudah berada dalam kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music. - KitaReporters