Video| Liga Super 2022: Sri Pahang teruskan momentum kemenangan! Penang kekal di kedudukan tercorot!

Published by
KitaReporters


SRI Pahang Football Club (FC) meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Penang FC 3-2 dalam saingan Liga Super 2022 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang pada malam tadi (18 Ogos 2022).  

Penang FC yang bermain di halaman sendiri mengharapkan tuah menyebelahinya untuk mencatat kemenangan setelah lima perlawanan terakhir kalah kesemuanya. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Liga Super


Pemain sayap Penang, Saravanan Tirumurugan mempunyai peluang terbaik pada minit ke-10 namun sentuhan beliau kurang kemas menyebabkan peluang terlepas begitu sahaja. Masa 20 minit awal permainan, ternyata anak buah Datuk Zainal Abidin Hassan Ali lebih banyak menyerang ke kubu Sri Pahang. 

Penang dilihat banyak mengatur serangan namun setiap kali menyerang, mereka gagal melakukan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga Sri Pahang.  

Dalam keasyikan Penang melakukan serangan, anak buah Datuk Dollah Salleh yang sekali sekala menyerang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-44 apabila pemain import mereka, Andres Steven Rodriguez meletakkan skuad Tok Gajah di depan apabila rembatan beliau yang terkena pemain lawan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Penang.  



Bermula separuh masa kedua, Penang melakukan beberapa pertukaran untuk memastikan permainan lebih baik dari separuh masa pertama. Pertukaran yang dilakukan seperti menjadi apabila serangan mereka nampak sedikit lebih bahaya. 

Usaha Penang untuk mencari gol penyamaan hadir pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti dan Rafael Vitor Santos de Freitas mudah menyempurnakan sepakan tersebut. Gol penyamaan itu menambah semangat pemain Penang untuk mencari gol kedua. 

Namun begitu, menerusi satu serangan balas pantas dari Sri Pahang, satu hantaran cantik daripada Muhamad Nor Azam Abdul Azih memerangkap tiga pertahanan lawan dan Rodriguez tidak mempersiakan peluang tersebut untuk meletakkan Sri Pahang sekali lagi di hadapan. 

Dalam usaha Penang mencari gol penyamaan, Sri Pahang sekali lagi menambah derita tuan rumah apabila kali ini David Rowley mengukuhkan kedudukan Sri Pahang dengan jaringan ketiga apabila berjaya menanduk masuk hasil hantaran rakan sepasukan. 

Penang cuba bangkit dan peroleh jaringan kedua menerusi ketua pasukan mereka, Lucas Sebastian Espindola namun itu sudah terlambat untuk menyekat kemenangan pasukan pelawat. 

Kemenangan Sri Pahang ini adalah satu kebangkitan selepas Dollah Salleh mengambil alih pasukan apabila dari lima perlawanan terakhir, mereka merakam empat kemenangan dan belum tewas lagi. 

Sementara Penang pula terus gagal mencari keputusan positif lepas menerima kekalahan demi kekalahan dan mereka terus mendominasi kedudukan terbawah liga. - KitaReporters


12
13
0
16
0

Copy Link: