PENGORBANAN seorang wanita yang bergelar ‘isteri’ tiada tolak tandingnya bak kata penyanyi Datuk Nash melalui liriknya, ‘engkau isteri yang ku sanjungi, lambang semangat cinta dunia’ dalam lagu ‘Pada Syurga Di Wajah Mu’ yang popular pada tahun 1992.

Terbaharu, penyanyi, pelakon dan pengacara nombor satu Malaysia, Alif Satar bersama ahli kumpulannya, The Locos tampil dengan judul ‘Isteri’ untuk single ketiga mereka. 

The Locos dianggotai Tam Cobain (pemain gitar), Efry Arwis (pemain bass), Rajwan Juni (pemain dram) dan Faliq Auri (pemain saksofon) di mana bersama Alif terbentuknya nama kumpulan Alif Satar & The Locos atau ringkasnya ASTL.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Alif Satar




Judulnya sahaja sudah tidak syak lagi, lagu yang lebih romantis, ‘Isteri’ ini ditujukan istimewa khusus buat para wanita yang bergelar ‘Isteri’, hasil nukilan komposer terkenal, Iqie Hugh bersama-sama Alif dengan Tam dan Efry.

“Penceritaan di sebalik Isteri sangat straightforward, ia merupakan apresiasi terindah buat para isteri di luar sana. Kalau pendengar amati, bait-bait liriknya menunjukkan penghargaan seorang suami buat sang isteri,” cerita Efry yang sedar adanya para suami yang kurang menunjukkan perasaan romantis secara nyata.

“Nah lagu ini untuk saudara-saudara semua yang malu-malu atau buntu mencari apakah alternatifnya,” tambah Alif dengan pandangan sama bahawa ‘Isteri’ sangat bermakna dan membawa maksud seperti tajuknya.

Tidak hairan, belum pun dilancarkan secara rasminya, ‘Isteri’ telah pun tular dalam aplikasi TikTok dengan jumlah tontonan melebihi 1 juta.



“Sebenarnya, kami baharu sahaja menamatkan siri jelajah busking pada 6 Ogos (2022) yang lepas di 3 buah lokasi berbeza seperti Uptown Kota Damansara, Tapak Urban Street Dining Cyberjaya dan terakhir di KL Night Street Sri Rampai. 

“Pengunjung di ketiga-tiga lokasi tersebut sangat supporting dan ramai yang sing-along, walaupun ada yang tidak hafal dengan lirik tetapi tetap enjoy, sehingga single baharu kami Isteri terus menjadi viral dalam TikTok,” jelas pelakon utama drama bersiri ‘Risik Pada Hati’ yang tular baru-baru ini.

Pasti ada yang tertanya-tanya kenapa Alif Satar sanggup turun melakukan jelajah ‘busking’ sedangkan mereka sudah cukup popular untuk berpenat lelah mempromosikan lagu cara sedemikian?

“Sebagai performer, kita harus turun padang ke tempat-tempat sebegini dan bergaul dengan orang awam, kerana dengan pendekatan sebeginilah akan mendekatkan lagi jurang di antara artis dan peminat. Kami sengaja test market dan mencuba kaedah busking untuk melihat sejauh mana pendengar dapat menerima jenis lagu yang kami bawakan,” jawab Tam.

ASTL ternyata bukan sebuah band percubaan yang suka-suka tetapi mereka mahukan keberadaan di persada muzik Malaysia diberi perhatian, mungkin pendekatan yang diambil agak kurang konvensional, ini kerana prinsip muzik mereka yang unik dan mendalam.


Alif Satar dan isteri, Sha Dila Halid


Terbitan Warner Music Malaysia, single pop dalam genre balada ini jika diamati ternyata kedengaran moden melalui elemen kugiran yang dibawakan ASTL dengan susunan melodi yang tidak berat dan punyai unsur melankolik yang easy-listening membuai perasaan sesiapa yang mendengarnya.

“Kami mahukan sebuah karya yang mudah dihadam halwa telinga pendengar muzik masa kini, mungkin sedikit moden tetapi masih boleh diterima oleh masyarakat Malaysia.

“Konsep video muziknya (MV) juga berbeza, kami cuba tampilkan sesuatu yang lebih organik, dari sudut pandang seorang suami terhadap isterinya,” jelas Rajwan.



Berkongsi lanjut tambah Faliq pula, ‘Walaupun lagu ini kedengaran solo tetapi tetap sebagai sebuah band, manakan dapat dipecah ruyungnya jika muzik itu tidak dieksperimentasi kerana muzik adalah bahasa yang universal,”

Menaruh harapan setinggi gunung agar pendengar boleh mengaitkannya dengan kehidupan sebagai sebuah pasangan suami-isteri yang harmonis. ASTL akui ‘Isteri’ memberikan satu kepuasan buat mereka apabila karya yang dipersembahkan mendapat tempat di hati pendengar. - KitaReporters


17
6
0
8
0

Copy Link: