Video| Alhamdulillah... Assalamualaikum Orang Malaysia! Jojo Ghazali menang bergaya! Jadi kebanggaan!
Published by"Siapa ‘Jojo’ Ghazali?"
Ya, ini pertanyaan yang meniti pada bibir saya apabila suami menunjukkan video pertarungannya melalui saluran YouTube ONE 168 ketika kami bersarapan awal pagi tadi.
"Laa … tak kenal ke?" balas suami kembali sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk.
Saya pula terus khusyuk menyaksikan pertarungan tersebut. Rupa-rupanya beliau anak Malaysia, seorang jaguh Muay Thai negara yang kini semakin menyinar bintangnya. Dalam ruangan live chat saluran tersebut, banyak sokongan daripada rakyat Malaysia dapat dilihat.
"Go Jojo!"
"Bangga dengan anak Malaysia!"
"Kacang je Mexico tu Jojo!"
JOJO Ghazali jaguh Muay Thai negara yang semakin bersinar pada mata dunia. - Kredit Foto Kosmo! Online
Dan tanpa disangka ketika asyik menonton aksi tersebut, petarung dengan nama sebenar Muhammad Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar ini melakar kejutan apabila menumbangkan lawannya jaguh Mexico, Josue ‘Tozu’ Cruz melalui kiraan knockout (KO) seawal pusingan pertama.
Pada aksi di gelanggang Ball Arena, Denver, Colorado, Amerika Syarikat itu, Jojo tampil agresif apabila sentiasa memberi asakan kepada Crus yang turut terjatuh beberapa kali pada perlawanan tersebut.
Tumbukan dan asakan yang diberikan bintang berusia 17 tahun itu akhirnya memberi kemenangan padanya ketika perlawanan berbaki 10 saat sebelum tamat.
"Terlebih dahulu saya nak ucapkan Alhamdulillah. Tuhan telah memberikan saya segalanya. Dan secara jujurnya, jika kamu semua bertanya apa yang saya lakukan 4, 5 ke 6 tahun dahulu, jika saya berada di posisi yang saya ketika ini, saya akan katakan anda memang betul. I put so much hardwork, so much consistency, so much everything, literally blood out day and day," ucap Jojo sambil mengelap darah yang mengalir dari hidungnya.
Lebih mengharukan anak muda ini turut memberi ucapan khusus buat rakyat Malaysia dalam bahasa kebangsaan.
"Sudah tentunya semestinya … Assalamualaikum orang Malaysia. Apa khabar korang? Sihat ke kat sana tu? Rindu betul Malaysia ni. Malaysia boleh! Alhamdulillah," tuturnya lagi.
ANAK muda ini dilihat mengangkat tangan sambil berdoa sebelum memulakan perlawanan.
Malah, sebelum perlawanan beliau turut dilihat mengangkat tangan untuk berdoa selain melakukan sujud syukur selepas memenangi pertarungan tersebut.
Berdasarkan rekod, pada pertarungan di Bangkok, Thailand pada Jun 2024 lalu, Jojo pernah tewas kepada petarung dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat.
Tetapi pada perlawanan ONE 168: Denver ini, Jojo mempamerkan aksi cukup matang, sekali gus berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
Hasil kejayaan tersebut, Jojo melebarkan rekod kemenangan kepada 6-1 dan berjaya meraih bonus kemenangan berjumlah AS$50,000 (RM216,699). Tahniah Jojo! Awak seusia anak sulung saya. – KitaReporters
GAMBAR menunjukkan Jojo bersama keluarganya yang dirakam pada tahun 2022.