Macam pasukan ibu dan anak! Seloroh Soleen tapi sasar juara! Harimauwati ke Piala AFF Wanita 2024!
Published by
HARIMAUWATI Malaya bergambar kenangan setibanya di Vientiane bagi menghadapi Piala AFF Wanita 2024 menjelang berdepan Indonesia pada 26 November 2024. - Kredit foto: FAM
MACAM pasukan ibu dan anak-anak!
Sambil tergelak, Soleen Hamed Tawfiq Al-Zoubi menyifatkan
Harimauwati Malaya sedemikian kali ini menjelang tugasan besar mereka, Piala
AFF Wanita 2024.
Pengendali warga Jordan ini merujuk kepada pemain tertuanya, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh, 36, hingga yang termuda, Daliea Eliesa Hafiz dan Rocillyeka Lole, 16.
Dua lagi anggota skuad bola sepak wanita negara ini juga berusia 33 tahun iaitu Jaciah Jumilis dan Shereylein Elly Pius serta Farahiyah Ridzuan, 31.
Soleen walau bagaimanapun tetap menganggap ada nilai positifnya dengan ‘pasukan kasih sayang’ ini, sekali gus seolah-olah membentuk sebuah keluarga yang harmoni – ciri terpenting dalam sukan berpasukan seperti bola sepak.
SOLEEN Hamed Tawfiq Al-Zoubi (tengah) tetap nekad menyasarkan juara Piala AFF Wanita buat skuad wanita negara. - Kredit foto: FAM
“Yang baiknya, pemain-pemain memang macam keluarga. Yang senior memberikan kata perangsang, nasihat dan arahan kepada yang muda.
“Saya gembira melihat suasananya dan perasaan ini menyenangkan,” katanya yang melatih skuad wanita Malaysia sejak 1 Disember 2022, dipetik daripada video temu bual media.
Turut nekad meletakkan sasaran mendakap Piala AFF Wanita 2024, Soleen seperti terdorong mahukannya ekoran prestasi meyakinkan Harimauwati Malaya dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 pada 23 dan 26 Oktober 2024 lalu.
Anak-anak buahnya menguasai perlawanan sekalipun diikat Arab Saudi di ranking ke-174 dunia, 0-0 dan mengalahkan Laos (ke-92), 3-1 di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi pemanas badan perlawanan Piala AFF Wanita di Stadium Nasional KM16 dan Padang Simpanan KM16, Vientiane.
Saingan di Vientiane, Laos dari 23 November hingga 5 Disember 2024 ini menjodohkan pasukan bola sepak wanita negara dengan Indonesia dan Kemboja dalam Kumpulan B.
Dua pasukan teratas kumpulan akan berentap dengan lawan seposisi itu daripada Kumpulan A yang mengandungi tuan rumah, Singapura (ke-138) dan Timor-Leste (ke-159) pada separuh akhir 2 Disember 2024.
Final dan penentuan tempat ketiga pula dijadualkan pada 5 Disember 2024.
Wanita kita kini menghuni ranking ke-96 dunia, manakala lawan-lawan yang bakal ditemui pada 26 dan 29 November 2024 ini, di ranking ke-104 dan 119.
KAPTEN Harimauwati Malaya, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh mengetuai rakan sepasukan setibanya di lapangan terbang Vientiane, Laos pada 21 November 2024. - Kredit foto: FAM
“Beberapa sentuhan permainan perlu ditambah apabila tiba di Laos dengan menggalakkan para pemain untuk mereka merasai suasana kejohanan,” katanya.
Pasukan Malaysia juga memiliki benteng yang berpangkalan di kelab Trinity College, Amerika Syarikat iaitu Lauren Hoh Ruyi, 18.
Mengenai Indonesia, Soleen menganggap ramai muka baharu dimiliki pasukan itu dan secara individu cukup kuat, manakala Kemboja, liga tempatannya mantap sekali gus membayangkan pertembungan getir dan seimbang tiga penjuru itu nanti.
“Namun jika kuat secara individunya, tidak bermakna apa-apa kepada saya. Pasukan kita mesti lebih baik pada persefahamannya.
“Pemain-pemain kita perlu dalam mod kesediaan sepanjang masa. Jika dibolosi gol pun, mereka perlu jangan berasa patah semangat (tetapi) bersemangat untuk kembali bangkit.
“Inilah perwatakan gagah yang saya mahu lihat pada pasukan negara,” katanya lagi.
BENTENG Harimauwati Malaya, Siti Nurfaizah Saidin yang turut tersenarai antara 23 pemain ke Piala AFF Wanita 2024 di Vientiane. - Kredit foto: FAM
Soleen, bekas Pengarah Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA), hanya mengekalkan enam pemain daripada skuad Kejohanan Wanita AFF 2022 di Filipina yang ketika itu dibimbing oleh Jacob Joseph.
Mereka berenam ialah penjaga gol Nurul Azurin Mazlan, perantara Nur Liyana Soberi, Jaciah, bek tengah Steffi, benteng Siti Nurfaizah Saidin dan penyerang Nur Syafiqah Zainal Abidin.
Malaysia hanya menduduki tempat kedua corot Kumpulan A setelah sekadar seri 0-0 dan 1-1 dengan Singapura dan Indonesia, namun dibelasah tuan rumah dan Thailand 4-0 serta Bawah 23 Tahun Australia 6-0.
Kemungkinan Piala AFF Wanita ini menjadi saringan empat pasukan terbaik ke Kejohanan Wanita ASEAN yang menampilkan barisan lebih handal seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Myanmar. - KitaReporters
PENYERANG Harimauwati Malaya, Waitie Taming ketika menentang Arab Saudi di Dubai. - Kredit foto: FAM
AYUNA Amjani Lamsin (tengah) didakap oleh Nurhadfina Firdaus serta Farahiyah Ridzuan (8) ketika menewaskan Laos 3-1 di Dubai, kembali disandarkan harapan pada Piala AFF Wanita. - Kredit foto: FAM