BAM tagih lagi sentuhan Denmark! Jonassen terpilih! Dibayangi Frost! Mampukah digamit emas Olimpik?
Published byKENNETH Jonassen hanya meraih gelaran kejohanan terbuka ketika karier pemain namun melonjakkan Viktor Axelsen ke dua podium besar, Olimpik dan dunia. - Kredit foto: BAM
DUA kali Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapat sentuhan kepakaran Denmark pada orang yang sama, Morten Frost Hansen.
Dari 1997 hingga 2000 dan kemudian 2015 sehingga 2017, bekas juara Se-England empat kali inilah yang menyandang jawatan Pengarah Teknikal dan Pengarah Kejurulatihan BAM.
Dalam tempoh kedua khidmat Frost yang digelar ‘Jaka Badminton’, Datuk Lee Chong Wei meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan yang sebelumnya, skuad lelaki muncul naib juara Piala Thomas 1998 di Hong Kong.
Morten Frost Hansen. - Kredit foto: BadmintonPlanet
Para peminat badminton tanah air kini ternanti-nanti apakah Kenneth Jonassen yang akan memulakan tugas selaku ketua jurulatih perseorangan Malaysia pada 4 Januari 2025 ini, mampu kekal dengan pencapaian itu sahaja dan jauh lebih baik atau langsung lagi merudum?
Mantan pemain nombor dua dunia berusia 50 tahun itu bakal mengisi kekosongan posisi Hendrawan dari Indonesia yang khidmatnya dari 2009 dan berakhir 2024, tidak lagi disambung oleh BAM.
“Hanya satu tugas yang menggerakkan saya dari Eropah ke Asia (dan) inilah satu-satunya (menyertai BAM),” kata pembimbing Viktor Axelsen menjuarai Sukan Olimpik Tokyo 2021 dan Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow ini, dipetik daripada video laman sosial BAM selepas sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 25 November 2024.
VIKTOR Axelsen (kanan) ketika dibimbing oleh Kenneth Jonassen. - Kredit foto: BWF
Jonassen ketika ini akan menghabiskan baki kontraknya dengan Badminton Denmark sejak 2003 dan dia sebelum itu, pernah mengetuai kejurulatihan England.
“Saya peminat besar badminton Malaysia, satu daripada kuasa utama badminton.
“Mula-mula sekali, saya perlu membina suasana dan keyakinan kuat pemain supaya dapat mencapai matlamat BAM (pingat emas Olimpik sulung Malaysia di Los Angeles 2028) namun yang jelas ini usaha sepasukan,” katanya yang ditawarkan kontrak selama empat tahun oleh BAM.
Katanya, dalam jangka pendek matlamat beliau sekarang ialah belajar dan memantau, tidak mahu gesa-gesa serta memastikan beliau boleh berhubung dengan semua orang. Komunikasi kuncinya, ujar Jonassen.
“Saya di sini memajukan pemain sehingga tahapnya dan melihat potensi sebenar (namun) kadangkala bergantung kepada takdir (dalam) meraih pingat untuk negara,” katanya.
Jonassen menyifatkan setiap pemain perseorangan lelaki dan wanita Malaysia, perlu difahami budaya dan cara fikir mereka.
“Kepada pemain, saya harap mereka terima pemilikan karier (pemain badminton) sendiri. Pemilikan ini perkataan yang boleh membawa banyak ertinya,” katanya lagi.
KENNETH Jonassen (kiri) diharap bekerjasama rapat dengan Rexy Mainaky dari Indonesia yang kembali ke BAM sejak 25 Oktober 2021 mulanya sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan. - Kredit foto: BAM
Bekas juara Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura ini juga sentiasa membuka pintu untuk bersemuka dan mendengar makluman setiap pemain negara.
“Pintu saya sentiasa terbuka. Saya pun dulu sebagai pemain jadi saya mengerti cara fikir, was-was sebagainya. Saya mahu mendengar, memahami dan sentiasa terbuka untuk berbincang bagaimana untuk memajukan sukan ini,” katanya.
Selain Jonassen, dua nama pernah disebut-sebut media dan pemerhati badminton tanah air sebagai ketua jurulatih baharu perseorangan Malaysia ialah Mulyo Handoyo dari Indonesia dan Fernando Rivas dari Sepanyol.
Mulyo dikenali sebagai pembimbing Taufik Hidayat, juara Olimpik Athens 2004 dan Kejohanan Dunia 2005 di Anaheim.
Rivas pula membantu Carolina Marin menaiki podium emas Olimpik Rio dan tiga gelaran dunia 2014, 2015 dan 2018. - KitaReporters
NG TZE YONG. - Kredit foto: BAM
RANKING PERSEKUTUAN BADMINTON DUNIA (BWF) PERSEORANGAN MALAYSIA DI BAWAH BAM:
Lelaki
Ng Tze Yong (192), Leong Jun Hao (29), Justin Hoh (49), Eogene Ewe (103).
Wanita
K. Letshanaa (55), Wong Ling Ching (79), Oo Shan Zi (216), Siti Zulaikha Azmi (117).
BARISAN JURULATIH PERSEORANGAN NEGARA BAM:
Pengarah Kejurulatihan: Rexy Mainaky
Ketua jurulatih: Kenneth Jonassen
Jurulatih: Alvin Chew, K. Yogendran (pasukan senior), Datuk Tey Seu Bock (jurulatih utama, pasukan remaja), Goh Giap Chin (jurulatih, remaja), Jeffer Rosobin, Misbun Ramdan Misbun (wanita).
JUSTIN HOH. - Kredit foto: BAM