POSTER Malam Anugerah MAM 2024 yang dijadualkan 25 Februari 2025 di Bukit Kiara. - Kredit foto: MAM


SESUDAH enam tahun menyepi termasuk gara-gara COVID-19, Malam Anugerah Persatuan Sukan Motor Malaysia (MAM) bakal membuat kepulangannya dalam edisi keempat tanggal 25 Februari 2025 ini.

Sebanyak 22 anugerah akan ditampilkan termasuk 11 kategori prestasi sebagai penghormatan terhadap pencapaian para atletnya di samping tujuh bagi pengiktirafan khas sepanjang 2024.

MAM merupakan satu majlis penting dalam memberi penghormatan dan meraikan sumbangan cemerlang oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan kepada kemajuan sukan motor di seluruh negara.

“Malam Anugerah MAM 2024 di sebuah hotel di Bukit Kiara, Kuala Lumpur ini juga akan menampilkan satu format menarik yang diperbaharui yang menggambarkan landskap sukan motor Malaysia yang sentiasa berkembang.

“Penghormatan dan pengiktirafan ini meliputi 750 orang daripada pasukan, pegawai, kelab, media dan pelbagai badan yang memainkan peranan penting dalam melonjakkan sukan motor Malaysia,” kata Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir pada sesi media 16 Januari 2025 lalu di Bukit Kiara.


PENGACARA TV, Akbar Sahari menemu bual Mokhzani Mahathir dalam sesi media pengumuman Malam Anugerah MAM 2024 di Bukit Kiara. - Kredit foto: MAM


MAM katanya cukup gembira dapat mengembalikan Malam Anugerah MAM setelah enam tahun di mana tiga edisi terdahulunya diadakan dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas yang kali akhir berlangsung pada 2019.

"MAM sebagai badan induk sukan motor Malaysia sejak 2019 berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

"Sepanjang 2024, MAM telah mencapai tahap seperti sebelum Covid-19 yang sekarang sudah pulih manakala penyertaan dan perlumbaan kembali kepada normal, tiada masalah besar.

"MAM menunjukkan keaktifannya, sikap bertanggungjawab dan mengambil sukan motor dengan serius serta prihatin dengan keselamatan.

“Misi kami tetap tidak berubah – menyediakan platform kepada komuniti sukan motor untuk berhimpun dan meraikan pencapaian mereka di dalam Malaysia dan antarabangsa.

“Kami amat berterima kasih dengan sokongan berterusan media dan bersama-sama, kita akan terus memacu industri ini maju dan mencapai kejayaan yang lebih besar,” kata Mokhzani sambil menambah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut diundang untuk memeriahkannya.


ANTARA ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penghakiman Malam Anugerah MAM 2024, Razlan Razali (kiri) dan bekas pelumba Formula Satu Malaysia, Alex Yoong. - Kredit foto: MAM 


Sejajar matlamat anugerah, MAM turut memperkenal Jawatankuasa Pemilihan dan Penghakiman yang dibentuk dengan teliti yang mengandungi tenaga profesional berpengalaman, pemimpin industri yang dihormati dan pakar bagi menjamin satu proses yang adil, menyeluruh dan telus.

Antara ahlinya ialah Tan Sri Azman Yahya, Datuk Razlan Razali, Datuk Rhiza Ghazi, Ronald Hogg, Alex Yoong dan tokoh industri lain.

Tujuh anugerah pengiktirafan khas dengan tiga terpilih yang terbuka bagi pencalonan umum di samping berkaitan media ialah:

  1. Wanita Paling Menyerlah Dalam Sukan Motor
  2. Kecemerlangan Industri
  3. Dewan Kemasyhuran Sukan Motor Malaysia
  4. Ikon Sukan Motor Malaysia
  5. Berita Terbaik (Media Elektronik)
  6. Berita Terbaik (Dalam Talian/Media Sosial)
  7. Gambar Terbaik
  8. Wartawan Sukan Motor Terbaik


MOKHZANI Mahathir mengambil swafoto dengan wakil-wakil media massa, antara kalangan yang turut diraikan dan diiktiraf pada Malam Anugerah MAM 2024 pada 25 Februari 2025. - Kredit foto: MAM


Anugerah Prestasi:

  1. Pemandu/Penunggang Antarabangsa Terbaik
  2. Pemandu/Penunggang Kebangsaan Terbaik
  3. Pemandu/Penunggang Muda Terbaik
  4. Pemandu/Penunggang Wanita Terbaik
  5. Pasukan Pacuan 4/2 Roda Terbaik
  6. Peserta Sukan E-Motor Terbaik

MOKHZANI Mahathir (kanan) memperkenal ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penghakiman Malam

Anugerah MAM 2024 pada layar besar ketika ditemu bual Akbar Sahari. - Kredit foto: MAM

16
9
0
11
0

Copy Link: