MUHAMMAD Eizlan Rakhil Abd. Rahman (kiri) dan Muhammad Faris Farizal Zukeri (dua dari kanan) menayangkan pingat dan replika cek kemenangan buat DBKL selaku juara beregu lelaki Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 di samping naib juara, Queen Represents. - Kredit foto: MTA


BERMODALKAN pengalaman Kejohanan Teqball Dunia 2023, Muhammad Eizlan Rakhil Abd. Rahman jelas sukar dinafikan untuk menjuarai kedua-dua acara beregu lelaki dan campuran Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 pada 21 Julai 2024.

Pemain negara yang mewakili Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini bergandingan dengan Muhammad Faris Farizal Zukeri bagi beregu lelaki yang turut pernah beraksi pada peringkat tertinggi di Bangkok, Thailand itu.

Eizlan dan Faris menewaskan pasukan Queen Represents (Ashahrul Najmi/Muhammad Naiman 11-12, 12-9, 13-11 dalam perlawanan akhir yang begitu sengit dan mendebarkan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor.

Acara beregu lelaki ditandingi 16 pasukan manakala empat bagi beregu campuran.


Muhammad Eizlan Rakhil Abd. Rahman (kiri) dan Syafiqa Irisya Shazimy daripada DBKL A menerima hadiah kemenangan juara beregu campuran Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 daripada Joshua Edgar . - Kredit foto: MTA


Bersama-sama Syafiqa Irisya Shazimy dalam DBKL A, Eizlan, 24, memastikan gelaran berganda setelah mereka menumpaskan DBKL B, Faris/Ainin Sofiya Mohd. Hasnizam 12-9, 12-8 pada final beregu campuran.

Selain pingat dan sijil penyertaan, juara setiap acara turut membawa pulang wang tunai RM700 manakala naib juara masing-masing beroleh RM350.


PASUKAN Queen Represents (Ashahrul Najmi dan Muhammad Naiman) mempamerkan rejaman kaki ke kawasan lawan dalam Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya. - Kredit foto: MTA


Eizlan menduduki ranking ke-443 dunia dalam senarai beregu lelaki Persekutuan Teqball Antarabangsa (Fiteq) dan ke-189 beregu campuran, manakala Faris di ranking ke-161 perseorangan lelaki.   

DBKL jelas masih dominan dalam arena teqball kebangsaan dengan rekod mereka juga selaku juara Liga Teqball Malaysia pada 29 Oktober 2023 (DBKL Hunters) setelah menewaskan Negeri Sembilan Stags 3-2 di ibu kota. 

Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Teqball Malaysia (MTA), Joshua Edgar dan Setiausaha Agung, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.


PASUKAN Queen Represents (jersi jingga) menyerang kawasan lawan dalam Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024. - Kredit foto: MTA


JUARA beregu lelaki Kejohanan Teqball MTA-Pardigm 2024, DBKL yang diwakili Muhammad Eizlan Rakhil Abd. Rahman (tengah) dan Muhammad Faris Farizal Zukeri (kiri) menerima hadiah-hadiah kemenangan daripada Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Kredit foto: MTA


Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 juga dijangka menjadi medan pemilihan awal skuad lelaki dan wanita kebangsaan yang disasarkan ke Sukan Dewan dan Seni Tempur Asia 2024 di Bangkok dan Chonburi, Thailand dari 22 hingga 29 November 2024 dan Sukan SEA Thailand dari 7 hingga 19 Disember 2025.

Teqball bakal membuat penampilan sulung sebagai jenis sukan pertandingan pada Sukan SEA 2025 setelah hanya dijadikan sukan pertunjukan ketika Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh.

Shaul Hameed Al-Barilan dan Siti Asnidah Zamri berjaya mengalungi Malaysia, dua pingat gangsa acara perseorangan lelaki dan wanita teqball di Dewan Persekutuan Belia, Phnom Penh.

Teqbal ialah sejenis sukan yang menggabungkan ciri-ciri bola sepak, sepak takraw, pingpong dan badminton kerana mirip peralatan dan gaya timangan bola dalam bertahan dan menyerang serta sistem kiraan matanya. - KitaReporters


DBKL A (jersi biru, dari kanan), Syafiqa Irisya Shazimy dan Muhammad Eizlan Rakhil Abd. Rahman dan DBKL B (dua dari kiri, Muhammad Faris Farizal Zukeri dan Ainin Sofiya Mohd. Hasnizam) menayangkan hadiah-hadiah selaku juara dan naib beregu campuran Kejohanan Teqball MTA-Paradigm 2024 di samping para pemimpin MTA. - Kredit foto: MTA

15
13
0
11
0

Copy Link: