TAPAK seluas 5.2 hektar di Presint 5, Putrajaya untuk didirikan NTC yang serba canggih dan lengkap. - Kredit foto: FAM 


TIADA lagi kemungkinan berebut-rebut hanya padang di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.

Tiada lagi juga perlunya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyewa padang-padang di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil mahupun Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur atau Stadium MBPJ, Kelana Jaya dan sehingga Stadium MPSJ, Subang Jaya.

Sebabnya? Sebarang sesi latihan atau perlawanan sparring Harimau Malaya, skuad Bawah 23 (B-23), B-19, B-17 mahupun wanita kebangsaan tidak lama lagi akan menemui pangkalan baharunya, Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya.

“Tanah (di FAM, Kelana Jaya) tidak cukup latihan pasukan. (NTC) khas buat mereka, tidak perlu sewa cari tempat lain. Saya harap projek (NTC) tiada lagi gangguan masa sejak dimulakan pada 2018,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Pecah Tanah NTC pada 26 Jun 2024.

NTC, katanya, “sudah melalui pelbagai tangan Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan. Apabila saya datang (menjawat menteri) 2022, projeknya tidak dapat jalan sebab kewangan dan isu tanah.”


JENGKAUT yang digunakan bagi Majlis Pecah Tanah NTC. - Kredit foto: FAM 


Fasa pertama projek akan menyaksikan tiga padang NTC dibina dengan penajaan RM24 juta oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), manakala Fasa 2 yang menelan kos RM45 juta dibiayai kerajaan Malaysia menerusi kementerian.

Menariknya, apabila siap sepenuhnya NTC dan Wisma FAM 2.0 di sini selain tersergamnya Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Rumah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang berdekatan, Presint 5 Putrajaya akan digelar ‘Kota Bola Sepak’.

Majlis ini turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin; Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John; dan Pengarah Serantau Ahli Gabungan FIFA (Asia dan Oceania), B. Sanjeevan serta Ketua Pejabat Serantau FIFA (Asia Tenggara dan Asia Timur), Lavin Vignesh.


WINDSOR Paul John, Hannah Yeoh dan Hamidin Amin  (tiga, lima dan enam dari kiri) bergambar dengan cenderamata FAM. - Kredit foto: FAM 


Terletak berhampiran Taman Ekuestrian Putrajaya, NTC yang didirikan di tapak seluas 5.2 hektar dan dijangka siap pada Disember 2026 merupakan manifestasi cetusan ilham mantan Presiden FAM 1984-2014, Almarhum Sultan Ahmad Shah. 

NTC dan ibu pejabat baharu Wisma FAM di situ (bernilai RM30 juta hingga RM33 juta) pula bakal dinamakan Kompleks Sultan Ahmad Shah memandangkan hasrat almarhum untuk mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu atau hab bola sepak Asia.

"Sebaik menggalas amanah sebagai Presiden FAM pada 14 Julai 2018, saya telah meletakkan NTC ini sebagai antara agenda dan sasaran utama bagi memenuhi tuntutan dan evolusi bola sepak moden masa kini," kata Hamidin dalam ucapan alu-aluannya.

Fasa 1 NTC membabitkan tiga padang bola sepak berumput asli (jenis Bermuda), hybrid dan rumput tiruan yang dilengkapi lampu limpah sepenuhnya dan sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekelilingnya.

Fasa 2 pula akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 dan dijangka siap Disember 2027 yang membabitkan pembinaan bangunan seluas 1,682.8 meter persegi merangkumi gimnasium, ruang serba guna, bilik persalinan pemain, ruang pemulihan dan surau selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan.


HANNAH Yeoh menurunkan tandatangannya pada papan tanda Majlis Pecah Tanah NTC sambil disaksikan Hamidin Amin (kiri). - Kredit foto: FAM


"Saya berharap NTC akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya Harimau Malaya dan skuad B-23 malah dapat membangunkan modal insan yang mahir pengurusan, teknikal, kepengadilan dan kejurulatihan.

“Terima kasih juga tidak lupa ditujukan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan. - KitaReporters

12
14
0
12
0

Copy Link: