Berita Terkini| Orang kuat Malay Mail sudah tiada! Meninggal dunia selepas mengadu sakit dada!

Published by
KitaReporters

WONG Sai Wan mengadu sakit dada sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya. - Kredit foto: Sinar Harian.


KETUA Pengarang The Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan, 59, meninggal dunia pada jam 5 pagi Jumaat, 14 Mei 2021 ketika sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Beliau telah dibawa oleh ahli keluarga ke pusat perubatan tersebut selepas mengadu sakit dada serta berasa tidak sihat.

Sai Wan diketahui mempunyai sejarah sakit jantung. Kali terakhir beliau diserang sakit jantung ialah pada November 2020 lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau adalah seorang wartawan veteran yang memulakan kerjaya kewartawanannya di akhbar The Star pada awal tahun 1980-an.

Beliau pernah menjadi koresponden The Star di Hong Kong dan kemudian menyandang jawatan pengarang eksekutif sebelum dilantik sebagai ketua pengarang Malay Mail.

Pemergiannya amat dirasai para pengamal media dan mereka yang pernah mengenalinya khusus para pemimpin politik.

Berasal dari Negeri Sembilan, Sai Wan akan dikenang sebagai seorang yang petah bertutur dalam loghat negeri.

Sementara itu, pengerusi dan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub menyifatkan pemergian Sai Wan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Malaysia.

"Hari ini saya berasa sedih apabila kehilangan seorang kawan lama dan teman teh tarik. Ia adalah satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Malaysia. Mendiang adalah seorang wartawan veteran yang sentiasa ceria dan penuh dengan pengalaman," ujar beliau. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
1
3
0
0

Copy Link: