SYAMER Kutty Abba (kanan) terpaksa merelakan posisi perantara Harimau Malayanya berpindah tuan akibat dua kad kuning yang dikumpulnya. - Kredit foto: FAM


ROMBAKAN tiga ‘department’ sudah tidak dapat dielak oleh ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe lagi!

Kesebelasan utamanya tidak akan sama lagi apabila menentang Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa, 15 Jun 2021 ini.

Misi hidup mati ini membabitkan tiket kelayakan pusingan ketiga sebagai pasukan tempat ketiga Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

LA'VERE Corbin-Ong (22) terlepas perlawanan dengan Thailand, manakala Aidil Zafuan Abd. Radzak (7) mungkin mendapat gandingan baharu di bek tengah. - Kredit foto: FAM  


Adakah sebab utamanya? Prestasi merudum Harimau Malaya yang dibelasah tuan rumah 4-0 dan Vietnam 2-1 pada 3 dan 11 Jun 2021 lalu?

Itu mungkin satu daripadanya tetapi sebenarnya, kerana tiga pemain di ketiga-tiga bahagian itu sudah mengumpul dua kad kuning setiap seorang.

Mereka ialah bek kiri, La'Vere Corbin-Ong; perantara Syamer Kutty Abba; dan sayap kiri, Mohamadou Sumareh.

Trio yang digantung satu perlawanan ini sentiasa mendapat kepercayaan Cheng Hoe sejak siri perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain pada 23 dan 28 Mei 2021 lalu sehingga dua perlawanan kelayakan itu.

Justeru siapa pengganti mereka? 

Alternatif Corbin dalam senarai 26 pemain negara ialah Syahmi Safari biarpun pemain Selangor ini kerap beraksi sebagai bek kanan dalam pasukan negara lalu dan Liga Super.

Dion Cools merupakan bek kanan ketika bersama kelab Denmark, FC Midtjylland tetapi sebaik sahaja menyertai Harimau Malaya mulai 31 Mei lalu, dialih ke bek tengah sebagai gandingan kapten Aidil Zafuan Abdul Radzak.


SYAHMI Safari (kiri) hanya masuk sebagai bek kiri gantian ketika Malaysia dibelasah Kuwait 4-1 di Stadium The Sevens, Dubai pada 23 Mei 2021 lalu. - Kredit foto: FAM 


Ada kemungkinan pemain kacukan Belgium-Malaysia yang berpengalaman Liga Juara Eropah ini mendapat semula posisi kegemarannya atau bek kiri kerana lebih memiliki tahap kecergasan perlawanan sedangkan Syahmi hanya sekali diturunkan menentang Kuwait itu pun sebagai pemain gantian. Namun Matthew Davies juga sudah menguasai bek kanan sejak siri persahabatan lagi.

Antara Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria atau Dominic Tan yang menampung kekosongan bek tengahnya, masih menjadi teka-teki malah Cheng Hoe tidak sesekali mahu mendedahkannya sehingga hari perlawanan sebagai sebahagian strategi pasukan.  


NAZMI Faiz Mansor (kanan) memberikan impak membina kepada pasukan negara sepanjang 45 minit babak kedua menentang Vietnam. - Kredit foto: FAM


Di posisi Syamer, dijangka menjadi milik Nazmi Faiz Mansor yang ketika berdepan Vietnam, terbabit dengan hantaran lambung kepada Guilherme de Paula sehingga mendapat gol penalti penyamaan dan hampir menambah jaringan daripada sepakan bebasnya.  

Pemain Pahang, Nor Azam Azih yang dikeluarkan menentang UAE, turut mampu menyaingi Nazmi untuk bergandingan dengan Brendan Gan dan Liridon Krasniqi dalam menjana gerakan menyerang dan menampung benteng jika kecemasan.   

Calon sayap kiri untuk menggantikan Sumareh tampak tiada masalah besar. Akhyar Rashid dan Arif Aiman Hanapi yang masuk dari bangku simpanan menentang Vietnam, mampu menggalas tanggungjawabnya. Akhyar lebih senior dan berpengalaman dengan rakan sepasukan Johor Darul Ta’zim FCnya itu.

GUILHERME de Paula (16), penjaring tunggal Malaysia menerusi sepakan penalti menentang Vietnam. Arif Aiman Hanapi, sayap berusia 19 tahun di sebelahnya. - Kredit foto: FAM

“Kami perlu sediakan kesebelasan terbaik menentang Thailand walaupun lawan baru kalah dengan UAE (3-1) dan seri dengan Indonesia (2-2). Saya masih bincang dengan penolong jurulatih. Yang lain kami bawa (ke Dubai), tentu turut mahukan peluang bermain,” kata Cheng Hoe dalam sidang media secara maya.  

Si Gajah Perang ujarnya, memiliki ramai muka baharu tetapi tetap berpotensi malah sentiasa meningkat setiap perlawanan 3 dan 8 Jun 2021 lalu itu. 

“Walaupun tanpa tiga tonggak, Theeraton Bunmathan, Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda, Thailand masih ada barisan terbaik jurulatih mereka (Akira Nishino),” katanya lagi.


AKHYAR Rashid (kiri) berpeluang cerah membarisi kesebelasan utama buat kali pertama di Dubai ekoran penggantungan Mohamadou Sumareh. - Kredit foto: FAM


Ditanya sejauh mana dapat mengimbangi kesedihan kerana kehilangan bapa tersayang, mendiang Tan Chooi Siak dalam usia 95 tahun pada hari yang sama menentang Vietnam, katanya, “sesiapa pun akan terasa begitu. Saya kena teruskan perjuangan ini dan tidak boleh tinggalkan pasukan sekarang.

“Saya kena tabah dan kuatkan semangat dalam mengharungi cabaran ini. Saya juga sudah berhubung dengan keluarga (di Alor Setar, Kedah) dan mereka benarkan untuk teruskan tugas dan tanggungjawab ini. Hal pengebumian mereka telah uruskan,” kata Cheng Hoe.


TAN Cheng Hoe mengakui satu cabaran dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dan diharungi apabila turut kehilangan bapa tersayang, mendiang Tan Chooi Siak. - Kredit foto: FAM 


Kata Syahmi, "sebagai pemain profesional, kita kena mampu sesuaikan diri dengan apa sahaja peranan yang diberikan jurulatih. 

"Mungkin agak kekok posisinya tetapi setelah banyak berlatih, saya yakin tiada masalah. Dalam Liga M, ada ramai juga bek kiri lain tetapi Cheng Hoe masih memilih saya masuk pasukan negara.

"Biarpun prestasi saya dengan Selangor FC kurang menyerlah, ini kepercayaan jurulatih dan saya janji membalasnya dengan persembahan terbaik," katanya. - KitaReporters


THAILAND (biru) diikat Indonesia (merah) 2-2 dan ditewaskan UAE 3-1 tetapi tetap dihormati Tan Cheng Hoe malah sehandal gelarannya, 'Si Gajah Perang' (Changsuek). - Kredit foto: AFC 

0
0
0
0
0

Copy Link: