Piala FA 2022: Harap masalah padang tak berulang! Stadium Nasional gelanggang akhir! 10 Sept 2022!
Published bySelepas menjadi tanda tanya peminat berkenaan pemilihan tempat perlawanan akhir Piala FA, Liga Bola Sepak Malaysia atau Malaysian Football League (MFL) telah memutuskan bahawa pertemuan antara gergasi selatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan gergasi dari Pantai Timur, Terengganu Football Club (FC) akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September 2022 ini.
Perlawanan akhir Piala FA yang sepatutnya berlangsung pada hujung bulan Ogos 2022 ini namun MFL terpaksa menunda ke tarikh baharu kerana mengambil kira pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang melibatkan wakil negara iaitu JDT yang akan turun pada 19 Ogos 2022 menentang kelab Jepun, Urawa Reds di pusingan 16 terbaik Asia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Stadium Nasional Bukit Jalil
Kredit foto : FB JDT
Jadual ACL kali ini juga dilihat begitu dekat dan jika JDT melepasi pusingan 16, mereka akan turun pada 22 Ogos 2022 pula untuk peringkat suku akhir, 25 Ogos untuk separuh akhir dan 27 Ogos untuk pertandingan akhir ACL.
Sudah pasti kita mengharapkan JDT mampu melangkah lebih jauh dalam ACL kali ini.
MFL berkata, untuk memilih venue, beberapa perkara perlu dilihat seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam, ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan untuk puluhan ribu peminat yang akan berada di stadium, sokongan dan bantuan pihak berkuasa tempatan juga diambil kira.
Kredit foto: FB Terengganu
SNBJ sebelum ini dikatakan ditutup sementara atas faktor penyelenggaraan untuk baik pulih padang selepas menerima kritikan hebat ketika pertandingan kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.
Namun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yakin bahawa mereka dapat menyediakan fasiliti terbaik untuk perlawanan akhir itu nanti.
Kita berharap masalah padang seperti sebelum ini tidak berulang lagi bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir tersebut.
Untuk jumlah pembahagian tiket, MFL akan bincang dengan kedua-dua belah pihak dan akan memaklumkan pembahagian tiket dalam masa terdekat. - KitaReporters