Video| Allah tak izinkan! Terhindar daripada lagha! Nabil Ahmad reda terlepas konsert Billie Eilis!
Published byAKIBAT terlepas pandang tarikh konsert penyanyi antarabangsa, Billie Eilish, 21, yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis, 18 Ogos 2022 sebelah malam, pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad telah mengalami kerugian RM2,540.
Menerusi perkongsian video dalam TikTok stesen radio Era FM, Nabil dilihat terduduk dan terus menghubungi isterinya, Nazirah Ayub bagi memaklumkan perkara itu.
Difahamkan, Nabil sudah membeli lima tiket berharga RM508 setiap satu untuk dirinya, isteri dan tiga anak perempuannya bernilai RM2,540.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelawak Nabil Ahmad
"Yang (panggilan isteri), Billie Eilish tu semalam (18 Ogos) saja, mana ada hari ini (19 Ogos). Awak tengok dekat tiket tu, 18 hari bulan. Lailahaillallah. Memang Allah tak izin, senang cerita," kata Nabil ketika menghubungi isterinya.
Video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata menitipkan kata-kata semangat buat pelawak itu selain tidak perlu menyesali kesilapan itu kerana menyifatkan Allah sedang melindungi dirinya bersama keluarga daripada melakukan perkara mungkar.
Namun, terdapat juga segelintir netizen yang ralat apabila pelawak itu terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit.
Eilish, 21, telah menghiburkan lebih 25,000 peminat pada konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 pada 18 Ogos 2022 lalu.
Nabil memberitahu media, dia bersetuju dengan pendapat netizen yang mengatakan dia dan keluarganya terhindar dengan perkara melalaikan (lagha) apabila terlepas menyaksikan konsert Billie Eilish, apatah lagi penyanyi itu dikatakan menjadi antara penyokong kuat golongan songsang seksual.
Menurut Nabil, dia menyangka konsert penyanyi yang pernah memenangi tujuh Anugerah Grammy itu berlangsung selama dua malam iaitu pada 18 hingga 19 Ogos 2022.
Bagaimanapun, Nabil menganggap kesilapan melihat tarikh konsert itu sebagai satu rahmat.
"Itulah ramai yang komen benda itu 'lagha' (melalaikan). Saya pun rasa benda yang sama. Memang Allah nak mengelakkan kita daripada bersama dengan benda-benda macam itu.
"Sebenarnya saya beli tiket di bahagian tempat duduk yang dikatakan jauh dari pentas. Kami pun tak pernah tengok konsert, selalu hanya ke pementasan Disneyland bersama anak-anak.
"Jadi bila mereka dah besar, saya nak ajak mereka merasai konsert artis antarabangsa. Lagipun ini bakal menjadi pengalaman pertama kami sekeluarga. Saya sendiri pun sebenarnya nak melihat cara produksi antarabangsa bekerja dan bagaimana mereka mengendalikan konsert itu.
"Tidak dinafikan banyak komen yang saya terima menyatakan Allah melindungi saya sekeluarga dan itu juga peringatan untuk saya. Ya Allah betul saya tak perasan tarikh sebab benda itu tak berapa penting.
"Saya beli kelmarin sebab anak-anak yang nak. Anak ada beritahu kawannya pergi pada Khamis, jadi saya menyangka tiket kami untuk Jumaat. Saya sebenarnya terkeliru antara malam Jumaat dengan hari Jumaat," katanya kepada media.
Nabil kini lebih mendekati agama dan cuba membimbing keluarganya ke arah kebaikan. - KitaReporters