Video| Konsert Rakyat Melaka lakar sejarah! 5 bintang legenda, 4 artis baharu! Di MITC 3 Sept 2022!
Published byLIMA bintang legenda bersama tiga artis pelapis baharu serta satu berkumpulan bakal menggegarkan Melaka Bandaraya Bersejarah di Konsert Rakyat Melaka pada 3 September 2022 nanti sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke-73.
Lima artis legenda terbabit terdiri dari ‘Papa Rock’ Datuk Ramli Sarip, ‘Raja Pop’ Datuk Jamal Abdillah, ‘Ratu Rock’ Ella serta vokalis utama Kumpulan Alleycats. Datuk David Arumugam dan Datuk Irwan Shah atau lebih popular dengan nama pentasnya. DJ Dave.
Mereka akan memeriahkan ‘Konsert Rakyat Melaka’ anjuran Jojo Events bersama penyanyi muda, pasangan suami isteri, Ernie Zakri & Syamel, Juara Malaysian Idol musik pertama, Jaclyn Victor dan kumpulan yang popular dengan lagu ‘Dinda’, Kugiran Masdo.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan acara konsert-konsert
Konsert Rakyat Melaka diadakan sempena ulang tahun Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke-73.
“Ini juga konsert untuk rakyat setelah dua tahun lebih terperangkap dalam pandemik COVID-19 sekali gus meraikan ulang tahun TYT Melaka dan sambutan Hari Kebangsaan,” ujar pemilik Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir pada sidang media 'Konsert Rakyat Melaka' yang diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Selasa, 9 Ogos 2022.
Turut hadir beberapa artis terbabit antaranya, Ramli Sarip, Jamal Abdillah, David Arumugam, DJ Dave, Jaclyn Victor dan Kumpulan Masdo.
“Mereka akan melakar sejarah muzik di Melaka yang bersejarah,” kongsi Syed Mohd Yusof atau panggilan mesranya Jojo ketika ditemui.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dengan pelbagai kategori artis lama dan baharu dalam genre muzik berbeza, sudah tentu ia dapat dinikmati semua golongan.
“Persembahan ini tidak akan mudah untuk dilupakan kerana barisan penghibur adalah sebahagian harta di hati kami,” tambah Jojo dalam perasaan gembira dapat membawa koleksi nama besar di bawah satu bumbung di Melaka buat kali pertamanya.
Konsert Rakyat Melaka’yang akan bersiaran dari jam 6 petang hingga tengah malam dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dengan pengisian bazar serta ‘food truck’.
Menurut Syed Mohd Yusof selanjutnya, barisan artis akan menyampaikan kira-kira 5 atau 6 buah lagu setiap seorang diiringi muzik oleh 13 buah orkestra dari Institut Warisan Melaka malah turut diadakan persembahan tarian kebudayaan sebagai antara pengisian konsert.
“Selain menyeronokkan, konsert ini menawarkan pelbagai manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat serta wajar untuk mengatakan acara sebegitu memupuk kebanggaan masyarakat, mengukuhkan kasih sayang, perpaduan dan muhibbah serta mengajar orang perkara baharu,” tambahnya.
Tiket bagi Konsert Rakyat Melaka berharga antara RM50 dan RM100 dan akan mula dijual mulai 10 Ogos 2022, menerusi RedTix. Berharap konsert ini mendapat sambutan hangat daripada penonton dari Melaka dan seluruh negeri termasuk dari negara jiran terdekat Singapura, Syed Mohd Yusof memberi jaminan andainya konsert berjaya, beliau tidak teragak-agar untuk menjadikannya acara tahunan.
“Kejayaan konsert ini akan mendorong saya untuk menjadikannya sebagai salah satu acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu dalam kalendar pelancongan, budaya dan hiburan Melaka dan seterusnya akan jelajah ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak,” tambah Jojo yakin.
Jadi bagi mereka yang masih gemarkan lagu-lagu malar segar daripada barisan artis kesukaan masing-masing bolehlah membuat tempahan tiket awal bagi mengelak ‘putih mata’ memandangkan kapasiti disasarkan dalam 8,000 penonton sahaja.
“Memandangkan dah lebih dua tahun rakyat tidak dihiburkan oleh sebuah konsert berskala besar oleh artis-artis legenda dan baharu, rebutlah peluang ini untuk bersantai satu malam,” jelas Jojo yang membelanjakan kira-kira RM1.5 juta menganjurkannya.
Mengakhiri kata-katanya, beliau memberitahu, tujuan konsert bukanlah untuk komersial tetapi lebih kepada sumbangan dirinya untuk melihat rakyat bangkit dan bahagia menempoh pasca pandemik ini sekali gus menggerakkan industri pelancongan khususnya di Melaka. - KitaReporters
Jamal Abdillah bersama artis-artis yang hadir menandatangani poster Konsert Rakyat Melaka. Di belakangnya ialah David Arumugam.