Ayuh Malaysia! Terus teguh sokong Azizulhasni! Telah korbankan segalanya! Jangan kita lupakan jasanya!
Published byAZIZULHASNI Awang mengucapkan, "au revoir (selamat tinggal), Sukan Olimpik Paris 2024," dengan kelukaan hati akibat pembatalan penyertaannya dalam acara keirin dan kandas pusingan ketiga 200 meter pecut berbasikal. - Kredit foto: MOM
BERIKUT ialah ulasan-ulasan para tokoh sukan berikutan pembatalan penyertaan Datuk Mohd. Azizulhasni Awang dalam pusingan pertama acara keirin berbasikal Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada 10 Ogos 2024 yang dipetik daripada laman media sosial masing-masing.
HANNAH Yeoh (tengah) bersorak mengangkat mini Jalur Gemilang ketika menonton aksi pemain badminton Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh:
"Saya hanya ada satu keutamaan buat Azizulhasni - kesejahteraannya selepas insiden itu. Dari hari pertama, saya tidak pernah perlu risau dengan atlet ini dan keinginannya untuk kecemerlangan. Dia berwawasan, bekerja keras dan profesional.
"Saya marah dengan keputusan membatalkan Azizulhasni. Adakah pasukan merayu? Ya tetapi keputusan untuk membatalkannya muktamad.
"Bagi ibu bapa yang menonton perlumbaan itu dengan anak-anak mereka dan terpaksa menanganinya dengan banyak persoalan: "Apa terjadi? Dan mengapa?," tolong ambil masa untuk menjelaskannya kepada mereka. Bukan senang tetapi anda mesti membantu mereka menghadamnya walaupun anda sendiri sukar menerimanya. Dalam sukan, peraturan akan mengikat anda.
"Bagi kita yang lain, buatlah baik dengan Azizulhasni dan pasukannya ketika masa sesukar ini. Terutama bagi keluarga mudanya. Banyak pengorbanan yang keluarga itu terpaksa lakukan selama bertahun-tahun tanpanya di sisi kerana tempoh latihan dan pertandingan di luar negara. Jagalah kata-kata anda.
"Azizulhasni ialah Si Roket Saku kita. Saya akan sentiasa menyokong keputusan anda untuk berlumba kerana anda masih seorang daripada atlet terbaik yang Malaysia ada. Kesejahteraan anda kini keutamaan saya kepada anda. Kami sayangi anda."
AZIZULHASNI Awang (kiri) menjelaskan kepada jurulatih berbasikal trek Malaysia, John Beasley mengenai insiden pembatalan penyertaannya dalam acara keirin berbasikal Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: MSN
Ketua Kontinjen Negara yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Hamidin Amin:
"Saya memaklumkan bahawa pihak kami telah mengemukakan rayuan terhadap insiden membabitkan pembatalan penyertaan beliau.
"Walau bagaimanapun, Ketua Komisar dan wakil UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Azizulhasni akibat memintas derny atau motosikal yang menentukan rentak di hadapan kelompok pelumba sebelum motosikal keluar dari trek.
"Kontinjen Malaysia (Team Mas) dengan berat hati menerima keputusan ini dan akan memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada beliau.
"Pada masa yang sama pihak Institut Sukan Negara (ISN) juga akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada Azizulhasni dalam berdepan dengan situasi yang sukar ini."
HAMIDIN Amin (kiri) dan Nicol David (kanan) serta Hannah Yeoh (tengah) ketika mengunjungi 'Rumah Malaysia' Sukan Olimpik Paris 2024 termasuk Mohd. Azizulhasni Awang (lima dari kiri). - Kredit foto: MSN
Timbalan Ketua Kontinjen Negara, Datuk Nicol David:
"Jika ada satu detik bagi kita semua rakyat Malaysia untuk bersama dan menunjukkan perpaduan, kinilah masanya.
"Selama 20 tahun, Azizulhasni Awang telah membanggakan negara kita dan mematlamatkan hidupnya untuk menjadi seorang pemenang pingat emas. Dia mengatasi satu keadaan yang mengancam nyawa, dia mengorbankan diri demi impian mencapai Emas itu buat kita semua.
"Jika ada seseorang yang kecewa hari ini, dialah orangnya, dia dalam keperitan dan kekecewaan yang teramat dan kita patut di sini untuk menyandarkan bahu dan menghulurkan tangan. Kita tidak boleh lebih menyakiti seseorang yang telah kesakitan - itu bukan yang kita buat apabila seseorang rebah.
"Saya tahu kita semua rakyat Malaysia mampu mengerti bahawa satu kesilapan tidak menentukan satu kehidupan yang berkeazaman dan bermaruah.
"Kita tidak boleh melupakan apa yang Azizulhasni berikan kita.
"Azizulhasni, saya tahu Olimpik ini bererti segalanya kepada anda dan betapa besarnya usaha anda untuk ke sini. Saya juga tahu keputusan yang anda buat untuk mara ialah satu risiko yang perlu untuk memastikan anda punya satu kedudukan bagus untuk layak.
"Saya tahu anda terpaksa mengambil peluang anda kerana itulah yang Si Roket kita buat sedaya upaya untuk menemui momen kecil itu di mana ada satu jendela peluang terbuka. Saya tahu anda sasarkan untuk layak.
"Saya mahu berterima kasih kepada segalanya yang anda wakili - kekuatan, kecekalan, keberanian dan kerendahan hati. Saya ucapkan dari dalam hati saya bahawa anda mengingati semua yang anda telah capai dan buat untuk kami rakyat Malaysia.
"Saya punya kenangan dan momen terindah menonton anda bertanding yang akan saya pegang kukuh dalam hati saya.
"Kepada rakan rakyat Malaysia saya - ayuh sokong dan hormati juara kita yang telah membanggakan negara kita. Ayuh tunjukkan perpaduan dan ihsan serta nilai-nilai sejati yang rakyat Malaysia miliki."
AMARJIT Singh Gill (kiri) mendengar penjelasan Mohd. Azizulhasni Awang dan cuba menenangkan 'Si Roket Saku' yang amat kecewa dalam keirin - acara kegemarannya yang pernah menghadiahkan pingat perak Olimpik Tokyo 2021 dan gangsa Rio 2016. - Kredit foto: MSN
Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill:
"Ini pastinya amat menghampakan kami semua dalam pasukan tetapi yang lebih khususnya buat Azizulhasni sendiri yang dibatalkan dalam pusingan pertama keirin.
"Saya secara peribadi, berasa sedih kerana dia dalam keadaan terbaik memasuki keirin dan fokus sepenuhnya kepada emas. Saya berasa Azizulhasni akan melalui apa yang sepatutnya bagi Olimpik kelima dan akhirnya.
"Mungkin tekanan bagi pingat itu yang mengatasinya, saya tidak tahu.
"Itu satu kesilapan teknikal, mudah sahaja. Sukar menerimanya. Tiada apa yang banyak untuk dikatakan ketika ini. Saya tahu harapannya begitu besar dengan rakyat Malaysia tetapi kami mohon maaf kerana menghampakan mereka dengan cara ini.
"Saya fikir ketika ini kita perlu berikan Azizulhasni sedikit masa untuk menenangkan diri dan menghadami apa yang telah terjadi.
"Saya bergegas turun ke kawasan pasukan dan berjumpanya untuk menenangkannya. Dia masih terkejut dan memproses apa yang baru berlaku.
"Saya menangkannya dan memberitahunya supaya bersabar. Sebagai sebuah pasukan, kami akan membincangkan hal ini pada satu ketika. Seperti saya katakan, kami menang sebagai sebuah pasukan dan kami kalah sebagai sebuah pasukan dan kami teguh bersama pada masa-masa sebegini." - KitaReporters