Gila Hindustan! Cinta sehingga ke mati! Shashi dan Jennifer! Membujang 33 tahun selepas isteri mati!
Published by.
Pasangan bahagia Shashi Kapoor dan Jennifer Kendal ketika muda sama cantik sama padan.
KASIH sayang sejati bersemi sehingga mati. Bintang terkenal Bollywood, Shashi Kapoor, membuktikan cintanya terhadap isteri, Jennifer Kendal, tidak berbelah bahagi, tidak pernah padam sekalipun setelah isterinya pergi dahulu meninggalkannya.
Jennifer meninggal pada 7 September 1984 dalam usia 51 tahun setelah 26 tahun hidup bersama. Shashi ketika itu berusia 46 tahun. Walau pun masih muda, Shashi tidak berkahwin lain. Baginya, hanya Jennifer yang bertakhta di hati.
Cinta mesra Shashi Kapoor dan Jennifer Kendal sentiasa membara. Ke mana sahaja sering bersama. Setelah Jennifer pergi, gambarnya sentiasa dibawa oleh Shashi ke mana sahaja dia pergi.
Antara gambar terakhir Shashi sebelum beliau meninggal dunia pada 2017.
Shashi lahir pada 18 Mac 1938 sementara Jennifer pada 28 Februari 1933, lima tahun lebih tua. Mereka berkahwin pada Julai 1958 ketika Shashi berusia 20 tahun, Jennifer 25 tahun. Jennifer berasal dari Southford, Lancashire, England.
Dalam kalangan
keluarga Kapoor, mereka terkejut Shashi jatuh hati dengan ‘minah salleh’ kerana itu dianggap di luar norma lantaran berlainan budaya dan agama.
Pasangan tersebut bertemu di Calcutta (kini Kolkata) pada 1956 ketika masing-masing mengadakan persembahan teater. Waktu itu Shashi baru 18 tahun, Jennifer 23 tahun.
Shashi Kapoor (kanan) bersama bapanya, Prithviraj Kapoor (dua dari kiri), abangnya Raj Kapoor (kiri) dan Shammi Kapoor. Mereka nama besar dalam industri filem Bollywood.
Shashi aktif dalam ‘Teater Prithviraj’ milik bapanya, Prithviraj Kapoor dan belum pun jadi pelakon filem. Prithviraj adalah tokoh teater dan filem terkenal. Jennifer pula aktif dalam grup ‘Shakespeareana’, teater bergerak milik bapanya, Geoffrey Kendal. Ketika itu Jennifer sudah jadi bintang ternama. Ibunya ialah Laure Liddell.
Grup teater
Geoffrey waktu itu membuat pertunjukan ke seluruh India. Ketika pertemuan Jennifer
dengan Shashi di Calcutta, ‘Shakespeareana’ mementaskan teater berjudul ‘The
Tempest’. Jennifer memegang watak sebagai Miranda.
Pertama
kali bertentang mata, Shashi terus jatuh cinta dan mahu menyunting Jennifer.
Tetapi ada halangan daripada keluarga kedua-dua pihak. Bapa Shashi ragu-ragu membenarkan
anaknya berkahwin dengan orang luar. Bapa Jennifer sama sekali tidak setuju.
Demi cinta, Jennifer meninggalkan grup teater bapanya untuk bersama Shashi. Dalam menghadapi tentangan bapanya, kakak Jennifer banyak membantu. Pada pihak Shashi pula, abangnya, aktor Shammi Kapoor dan kakak iparnya, aktres Geeta Bali yang membantu.
Filem 'Jab Jab Phool Khile' yang menggandingkan Shashi Kapoor dan Nanda mencapai kejayaan besar. Ia mengubah nasib Shashi serta mengangkatnya sebagai bintang pujaan.
Pada awal perkahwinan, Shashi dan Jennifer melalui detik sukar terutama dari segi kewangan. Mereka terpaksa menjual kereta dan barang berharga untuk hidup. Shashi juga bertarung untuk memantapkan diri di Bollywood.
Nasib Shashi berubah pada 1965 apabila filem ‘Jab Jab Phool Khile’ (Apabila Bunga-Bunga Berkembang) yang dibintangi bersama Nanda mencapai kejayaan besar. Penggambaran filem ini dijalankan di Kashmir. Bintang Shashi mula bersinar. Kejayaan demi kejayaan diraih selepas itu.
Perkahwinan pasangan itu penuh bahagia, dikurniakan tiga cahaya mata - Kunal Kapoor, Karan Kapoor dan Sanjana Kapoor. Jennifer adalah tulang belakang yang banyak menyokong dan memberi kekuatan kepada Shashi dalam kerjaya sebagai pelakon.
Hubungan kasih sayang mereka saling lengkap melengkapi, saling menjadi tunggak kekuatan.
Namun mendung menjelma pada awal 1980-an apabila Jennifer dikesan menghidap barah usus. Pelbagai usaha mengubati tidak berjaya. Akhirnya Jennifer tewas.
Pemergian Jennifer satu pukulan hebat buat Shashi. Dia tidak pulih sepenuhnya daripada kehilangan tersebut. Shashi merasakan kehidupannya musnah, jiwanya kosong tanpa Jennifer. Dia perlahan-lahan mengasingkan diri daripada mata umum.
Namun kasihnya terhadap Jennifer tetap abadi, bersemi sehingga mati. Ke mana sahaja pergi, gambar isterinya dibawa bersama. Shashi membujang hingga akhir hayatnya pada 4 Disember 2017 dalam usia 79 tahun. Ini bermakna 33 tahun Shashi membujang selepas Jennifer pergi.
Anak Shashi Kapoor hasil perkongsian hidup dengan Jennifer. Dari kiri Kunal Kapoor, Karan Kapoor dan Sanjana Kapoor.
Shashi Kapoor dan Jennifer melapangkan waktu bermesra dengan anak-anak apabila tidak sibuk dengan jadual penggambaran.
Untuk rekod, Shashi ialah ahli Keluarga Kapoor, keluarga tersohor di Bollywood. Bapanya, Prithviraj Kapoor, tokoh bangsawan dan filem. Abangnya, Raj Kapoor dan Shammi Kapoor bintang Bolywood terkenal.
Anak saudaranya, Randhir Kapoor dan Risihi Kapoor, anak kepada Raj Kapoor, juga bintang ternama. Anak Randhir Kapoor dan aktres Babita, Karishma Kapoor dan Kareena Kapoor, juga pelakon popular. Begitu juga anak Rishi, Ranbir Kapoor.
Shashi Kapoor, sering dirujuk sebagai hero tampan, muncul dalam 175 filem. Selaku hero dia bergandingan dengan heroin terkenal era tersebut seperti Asha Parekh, Sharmila Tagore, Nanda, Hema Malini, Babita, Mumtaz, Mala Sinha dan Rakhee.
Shashi Kapoor bergandingan dengan aktres jelita Asha Parekh dalam filem 'Pyar Ka Mausam' keluaran tahun 1969.
Antara filem ‘box-office’ lakonannya termasuk ‘Jab Jab Phool Khile’, ‘Aa Gale Lag Jaa’, ‘Deewar’, ‘Trishul’, ‘Shaan’ dan ‘Kala Patthar’. Filem popular lain ‘Raja Saab’, ‘Amne Samne’, ‘Pyar Ka Mausam’, ‘Sharmilee’, ‘Haseena Maan Jayegi’, ‘Chor Machaaye Shor’, ‘Jahan Pyar Miley’, ‘Suhana Safar’, ‘Kanyadaan’, ‘Suhaag’, ‘Trishna’, ‘Kali Ghata’, ‘Prem Kahani’ dan banyak lagi.
Shashi
menerima pelbagai anugerah sebagai sebagai pelakon. Antaranya empat Anugerah
Filem Kebangsaan (National Film Awards) dan dua Anugerah Filmfare. Dia juga
menerima dua anugerah kerajaan India, Padma Bushan (2011) dan Dadasaheb Phalke
Award (2014) sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam perfileman India.
Jennifer pula
selain terkenal dalam teater, pernah membintangi beberapa buah filem. Antaranya
watak utama dalam ‘36 Chowringhee Lane’ (1981). Filem lain ialah ‘Bombay
Talkie’ (1970), berlakon bersama suaminya.
Selain itu ‘Junoon’ (1978), ‘Heat and Dust’ (1983) dan ‘Ghare Baire’ (1984), filem terakhir sebelum meninggal. Dia memenangi ‘Anugerah Filem British Evening Standard’ pada 1982 selaku aktres terbaik dalam filem ’36 Chowringhee Lane’.
Jennifer Kendal dalam satu adegan filem '36 Chowringhee Lane' yang menobatkannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Filem British Evening Standard.
Kisah rumah tangga Shahsi dan Jennifer yang diwarnai kebahagiaan dan kesedihan merupakan lambang cinta sangat menyentuh hati di Bollywood. Rakan artis kagum dengan kesetiaan Shashi kepada isteri.
Bagi Shashi, setelah insan yang dicintai tiada di sisi, biarlah bujang sampai ke mati. Kehilangan isteri tiada pengganti. Tiada insan lain yang boleh menyamai isterinya Jennifer. - KitaReporters