Rossi cetus misteri! Hanya bertahan 6 bulan sebagai CEO MFL sebelum bungkus! Letak jawatan? Dipecat?
Published byGIORGIO Pompili Rossi dilantik sebagai CEO MFL berdasarkan pengalaman dan reputasinya sebagai delegasi LaLiga di rantau ini termasuk di Malaysia.
JODOH Giorgio Pompili Rossi bersama Liga Bola Sepak Malaysia
(MFL) hanya bertahan enam bulan, sekali gus mencetuskan misteri dalam kalangan
peminat bola sepak tempatan apa sebenarnya yang berlaku?
Sikap kedua-dua pihak, Rossi dan MFL mengunci mulut mengundang pertanyaan yang tidak ada jawapan. Adakah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang dilantik pada September, 2024 lalu itu yang memilih untuk mengundur diri atau beliau dipecat?
MFL dalam satu kenyataan ringkas hanya mengesahkan Rossi sudah meninggalkan MFL tanpa memberi butiran lanjut.
“Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan CEO Rossi tidak lagi bersama badan ini. Kedua-dua pihak sedang berbincang tindakan seterusnya,” kata MFL.
DR ZULAKBAL ABD KARIM
Bagi pemerhati bola
sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim, sama ada
Rossi yang meletak jawatan atau dipecat oleh MFL, ia membuktikan terdapat
konflik antara kedua-dua pihak.
“Kalau tidak, masakan tiba-tiba situasi ini berlaku. Kata orang, kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang.
“Persoalannya, kalau dia sendiri ambil keputusan mengundur diri, apa puncanya? Begitu juga jika dipecat, mengapa Rossi dipecat? Apa salah dia?
“Semua ini berlaku ketika kita ternanti-nanti perancangannya untuk memperkasakan Liga Bola sepak Malaysia (MFL), apatah lagi dengan pelbagai isu yang timbul seperti masalah jadual, kemerosotan penonton dan tunggakan gaji.
“Kita sedang tekun menunggu formula Rossi untuk menangani semua masalah itu, tiba-tiba dia hilang dari radar. Inilah yang jadi misteri,” katanya.
ROSSI hanya bertahan selama enam bulan sebagai CEO MFL.
Menurut Zulakbal, kita boleh membuat pelbagai andaian tapi hakikatnya hanya Rossi dan MFL yang tahu apa sebenarnya berlaku.
“Pada andaian saya, jika Rossi yang letak jawatan, ia mungkin kerana beliau tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak Malaysia.
“Walaupun datang dengan reputasi hebat serta pengalaman luas namun sesuatu yang dia kena faham, budaya bola sepak kita tidak sama dengan Eropah. Di sana dia boleh buat mengikut seleranya tapi di sini banyak pantang larangnya.
“Pertembungan budaya inilah yang memungkinkan Rossi angkat kaki awal kerana tidak yakin akan dapat melaksanakan apa yang dirancang. Demi menjaga reputasinya, lebih baik dia berundur,” ujar Zulakbal.
Sebaliknya, kata Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu, jika Rossi dipecat, sudah tentu kerana ada tindak-tanduk atau ideanya yang tidak selari dengan MFL.
“Faktanya mudah, sama ada Rossi letak jawatan atau MFL memecatnya, pasti kerana kedua-dua tidak sehaluan. Ibarat sebuah perkahwinan, apabila sudah tiada persefahaman antara suami isteri, perceraian adalah jalan terbaik," katanya lagi
JOHOR Darul Ta'zim muncul juara Liga Super buat ke-11 berturut-turut.
Mengenai pengganti Rossi, Zulakbal berkata, siapa pun yang akan menduduki kerusi panas itu, sama ada orang tempatan atau luar, dia mesti ‘khatam’ terlebih dahulu budaya bola sepak di Malaysia.
“Kena study betul-betul sebelum terima jawatan kerana walaupun hanya sekadar CEO sebuah badan penganjur liga, tapi cabaran yang menunggu cukup hebat kerana dia akan berdepan dengan pelbagai pantang larang,” ujar Zulakbal lagi.
Buat masa ini operasi sekretariat MFL dikendalikan oleh Ketua Pegawai
Operasinya, Mohd Shazli Shaik Mohd.
Rossi dari Itali, dilantik sebagai CEO MFL pada September, 2024 bagi mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan oleh Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak pada 31 Ogos, 2024.
Beliau hadir dengan reputasi hebat sebagai individu yang berpengalaman luas dalam industri bola sepak apabila memulakan kerjayanya dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A di Itali pada 2013 sebelum menyertai Valencia CF dan kemudian LaLiga di Sepanyol pada tahun 2017.
Rossi bukan asing dengan bola sepak Malaysia apabila dilantik sebagai delegasi LaLiga pada 2017 sehingga 2021, di mana beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol dalam kalangan peminat bola sepak di negara ini.
Selepas itu, beliau melebarkan sayapnya sebagai delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sebelum dilantik selaku CEO MFL. - KitaReporters