Thailand bergurukan Malaysia? Impian Sumali eksport jurulatih! Jika juara Asia, King's Cup, emas SEA!
Published byMOHD. Sumali Reduan (kanan) memasang impian untuk mengeksport jurulatih Malaysia ke Thailand pula sekiranya momentum juara kerap menyebelahi skuad negara setelah selama ini kepakaran Si Gajah Putih yang kerap diimport. - Kredit foto: PSM
MUNGKINKAH sang musuh tradisi, Thailand pula yang mengimport jurulatih dari Malaysia buat kali pertamanya sejak sepak takraw dijadikan sukan antarabangsa mulai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965?
Peluangnya semakin
cerah kalau momentum kejayaan menjuarai acara regu dan beregu Piala Dunia Sepak
Takraw Istaf 2024 berterusan pada Piala Sepak Takraw Asia Astaf di Kuala Lumpur
dari 9 hingga 18 Mei 2025 ini.
Namun itu pun jika
Malaysia berjaya mengharungi ‘Misi Hampir Mustahil’ pada Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja
Thailand Ke-38 dan Sukan SEA Ke-33 di laman lawan, Korat dan Songkhla pada
Julai dan Disember 2025 nanti.
Seyogia diingat, kali akhir kita merampas Piala Raja Thailand hanyalah pada 1988 malah merangkul pingat emas sepak takraw Sukan SEA/SEAP pula di Bangkok tanggal 1975.
NORAIZAT Nordin (tengah) dan Aidil Aiman Azwawi yang menjinakkan 'bekas tok guru' mereka, Seksan Tubtong (3) dan Kittiphum Sareebut 17-16, 15-13 untuk menjuarai beregu Piala Dunia Istaf 2024. - Kredit foto: ST
Impian besar
melihat Thailand tumbang di Stadium Titiwangsa sudah terlaksana tanggal 22 Mei
2024 lalu walaupun pelawat masih berjaya menjuarai acara kemuncak regu
berpasukan, empat hari kemudian.
Kini Presiden
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan memasang impian
dan wawasan baharu berkenaan setelah belajar daripada pengalaman ‘diperdaya’
dua perunding Thailand pada 2024.
“Kita kena percaya akan kebolehan kepakaran yang kita ada supaya satu hari nanti Thailand gunakannya pula. Itu yang kita hendak, mula dari sekarang,” tegasnya di Kuala Lumpur.
Seksan Tubtong dan
Poonsak Permsap datang ke Malaysia sebagai dua perunding skuad kebangsaan mulai
Februari 2024 lalu namun tidak menghabiskan kontrak yang dimeterai dengan PSM
dan Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga Piala Dunia.
Seksan, pengumpan, sebaliknya ‘belot’ apabila bersama Kittiphum Sareebut mewakili Thailand yang ditewaskan gandingan negara, Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi 16-17, 13-15 dalam perlawanan akhir beregu kejohanan itu.
NORAIZAT Nordin (kanan) dan Aidil Aiman Azwawi dijangka dipertaruhkan PSM khas bagi acara beregu dan kuadran Piala Sepak Takraw Asia Astaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 9 hingga 18 Mei 2025 ini. - Kredit foto: ST
Poonsak yang
diimport PSM bagi mengasah barisan perejam Malaysia pula dilaporkan kini dilantik
Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) sebagai jurulatih skuad wanita negara
itu.
“Setakat ini kami
kekalkan jurulatih Program Podium. Kami ada pengajaran tahun lepas (dengan Seksan dan
Poonsap),” kata Sumali merujuk antaranya Zulkarnain Arif, Ahmad Mohd. Zain dan Aswadi Abdullah.
Jurulatih Thailand sekarang, Prawet Intra juga pernah menjadi perunding pasukan Malaysia dari 2011 hingga 2014 bersama-sama Tawit Wongkluen manakala Chakri Ketdet diimport sebagai jurulatih Program Gemilang MSN 2001.
Malah beberapa pasukan negeri seperti Terengganu dan Sabah serta Kuala Lumpur sudah pun menggunakan khidmat jurulatih Thailand.
SEKSAN Tubtong (3) dan Prawet Intra (kanan), bekas perunding pasukan Malaysia, tampil mengejut bersama Thailand mulai Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto: ST
Setakat ini
Malaysia hanya pernah mengeksport mahaguru sepak takrawnya seperti Haris Abdul
Rahman ke Singapura, Korea Selatan dan Iran, manakala Taat Alias ke Filipina, Singapura,
Brunei, Indonesia dan Vietnam.
Jurulatih-jurulatih lain termasuk Azmi Shaari dan Azizuddin Khan Omar Khan (Indonesia), Rauzan Masri (Korea Selatan), Ismail Atan dan Abd. Talib Ahmad (Brunei), Zolkefle Ayob (Perancis) dan Mohd. Noor Kadir (Switzerland). - KitaReporters
HARIS Abdul Rahman (tengah) memberikan petua dan nasihat kepada Iran ketika Piala Dunia Istaf Pertama 2011 di Kuala Lumpur.
ZOLKEFLE Ayob (dua dari kanan) membimbing Perancis dalam saingan Divisyen Satu Piala Dunia Istaf 2024. - Kredit foto: ST