Oh ya! Oohaa Raya kolaborasi ibu dan anak! Sharifah Zarina pecah rekod lagu raya bersama Athalia!

Published by
KitaReporters

.


Jika biduanita negara, Dato Seri Siti Nurhaliza memilih memperkenal  anak buahnya, Umairah untuk bersama-sama menghasilkan lagu single raya secara berasingan, penyanyi Sharifah Zarina, 43, pula menampilkan anak perempuannya, Athalia dalam sebuah lagu duet, ‘Oohaa Raya’.

Konsep lagu ini memecah rekod pertama kali dalam industri muzik Malaysia di mana adanya lagu raya duet antara ibu dan anak! 

Gabungan elemen reggae dan keroncong pula buatkan lagu ni kedengaran unik dan segar. 

Ditambah lagi dengan siri web enam episod dalam TikTok, yang dimuat naik dalam akaun TikTok rasmi Sharifah Zarina (@realsharifahzarina) dan Athalia (@officialathalia), memang sesuai dengan trend sekarang yang suka konten santai dan relatable (mudah berhubung).




Diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment, 'Oohaa Raya' merupakan hasil ciptaan komposer Eugene Lai dan Ja’a, manakala lirik ditulis oleh Ja’a, Eugene Lai, Sharifah Zarina, dan Athalia sendiri.

Menurut Sharifah Zarina Wan Hassan, idea untuk berduet dengan anaknya timbul selepas komposer Eugene Lai mencadangkan konsep tersebut.

“Bila difikirkan semula, saya rasa idea ini sangat menarik kerana belum ada lagi lagu raya yang menampilkan kolaborasi antara ibu dan anak. Ia juga membawa makna tersendiri kerana liriknya menggambarkan kisah kehidupan sebenar saya dan anak-anak, terutama ketika menyambut raya,” kata Sharifah Zarina pada majlis pelancaran ‘Oohaa Raya’ bersama anaknya, Athalia di AEON Mall, Shah Alam pada 17 Mac 2025.


Dari kiri:  Pengarah MV, Elmieelmo, komposer Eugene Lai, Sharifah Zarina, Atahalia dan komposer Ja,a.

Menurut Sharifah Zarina, perkataan Oohaa yang digunakan dalam lagu ini diambil daripada bahasa Iban yang bermaksud Hello atau Hai, sebagai satu penghormatan kepada negeri kelahirannya, Sarawak.

Jelasnya, dengan mengangkat elemen budaya tempatan serta menggabungkannya dengan muzik moden, lagu ini diharapkan dapat memberi warna baharu kepada seleksi lagu raya yang sedia ada.

Sharifah Zarina memaklumkan, sepanjang proses rakaman, beliau turut merasai pengalaman baharu apabila perlu menyesuaikan diri sebagai ibu dan rakan duet dalam masa yang sama.

“Selalu waktu rakamkan suara di studio, saya nyanyi seorang diri. Tapi, bila kena duet dengan anak sendiri, adakalanya saya ‘terbawa’ sikap seorang emak yang cuba kongsi idea, menegur, mengajar atau pun marah kepada Athalia.

“Tapi, apa yang tertera dalam lirik ini memang 100 peratus berkisar dengan apa yang berlaku tentang diri saya dengan anak-anak saya. Kalau siapa yang mengikuti akaun TikTok saya memang tahu sangatlah dan kisah kami anak beranak memang selalu dapat tontonan tinggi dalam platform media sosial tersebut,” ” tambah Sharifah Zarina.



Mengulas komen ibunya Athalia menyambung kata,’Ya, ada waktu-waktunya, ia agak komplikated juga. Sebab, kadangkala kita secara tidak langsung berdebat siapa yang betul dan siapa yang salah. 

"Tapi akhirnya, kami cuba berdiskusi untuk mencari persetujuan bersama serta mencapai solusi terbaik dan hubungan  sebagai ibu dan anak itu sebetulnya lebih memudahkan kami untuk menyelesaikan isu-isu seperti ini.”

Begitu pun, Athalia menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan ibunya sebagai sesuatu yang sangat istimewa dan bermakna, apatah lagi bila menyedari bahawa konten mereka anak-beranak amat disukai dan sering ditonton ramai dalam TikTok. 

“Penggambaran video muzik (MV) Oohaa Raya ini pula sangat menyeronokkan kerana saya berpeluang menjayakan siri web yang juga konten tambahan untuk lagu ini kerana akhir-akhir ini saya memang minat sangat berlakon, lebih-lebih lagi  kalau jalan ceritanya  bergenre komedi,” sambung Sharifah Zarina yang kali terakhir muncul dengan lagu raya solo sekitar tahun 2017 menerusi lagu ‘Seiring Gema Takbir’ ciptaan Azmeer. 





Sementara itu, bercakap mengenai konsep muzik Oohaa Raya, Eugene Lai pada awalnya bercadang untuk menghasilkan lagu dengan elemen keroncong dan tempo perlahan. 

Namun, setelah berbincang dengan Sharifah Zarina dan Athalia, tempo lagu akhirnya ditingkatkan dan disuntik dengan elemen reggae, menjadikan lagu ini lebih segar serta moden.

“Kami mahukan lagu raya yang menyeronokkan tetapi tetap mempunyai sentuhan tradisional. Gabungan elemen keroncong dan reggae ini menjadikan Oohaa Raya sesuatu yang unik dan sesuai dengan personaliti kedua-dua penyanyinya,” jelas Eugene. - KitaReporters


Di sebalik penggambaran MV dan siri web enam episod 'Oohaa Raya' .

18
11
0
10
0

Copy Link: