Video| Lepas buka Topeng! Sherry Ibrahim sudah bersedia jadi penyanyi! Belum terfikir soal kahwin!
Published bySingle terbaharu Sherry bersama Caprice berjudul 'Topeng'.
Selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir 'The Masked Singer Malaysia (TMSM) 2', pelakon Sherry Ibrahim yang berada di sebalik kostum ‘Si Merak’ sudah bersedia untuk aktif dalam bidang nyanyian.
Langkah pertamanya itu dimulakan dengan menerima tawaran bernyanyi bersama rapper Caprice dalam single berjudul ‘Topeng’ yang kini merupakan OST lagu drama bersiri ‘Scammer 2’, yang ditayangkan di saluran Astro Ria.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan single terbaharu
“Penyertaan saya dalam The Masked Singer 2’ benar-benar satu kebanggaan buat saya dalam mengasah bakat nyanyian walau pun tidak berguru dengan mana-mana guru vokal selama ini,” ujar Sherry ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program-program Raya Awesome TV baru-baru ini.
Menurut Sherry, sejak kecil beliau memang suka menyanyi tetapi tidak berkesempatan meneruskan minatnya itu sehingga sekarang dan lebih-lebih lagi setelah menyertai ‘The Masked Singer 2’.
“Saya hanya berlatih menyanyi dengan karaoke sahaja dan selepas ini baharulah saya akan mencari seorang guru vokal kemungkinan Noryn Aziz,” tambah Sherry yang pernah merangkul gelaran naib juara pada program nyanyian melibatkan barisan pelakon, ‘Gempak Superstar 2015’ yang dimenangi Siti Elizad.
Tidak merasakan terlalu lewat untuk menceburi bidang nyanyian walaupun sudah berusia 39 tahun, Sherry berpendapat jika rezeki itu baharu tiba beliau menerimanya.
“Tidak terlambat untuk mencuba sesuatu yang baharu jika peluang itu hadir sekarang sekali pun,” tambah pemilik nama penuh Syarizad Ibrahim ini.
Menurut bekas peramugari ini, pengalaman dalam bidang lakonan banyak menngajarnya untuk mencuba sesuatu yang baharu sebagaimana yanh ditonjolkan melalui ‘Si Merak’.
“Di sebalik kostum itu, penonton dapat melihat saya menari dan melompat yang tidak mungkin dapat saya lakukan jika tidak ‘bertopeng’ tetapi Si Merak itulah diri saya yang sebenar,” jelas Sherry sambil memberitahu impian awal sebenarnya mahu menjadi seorang pembaca berita.
Dan terbaharu dengan single ‘Topeng’ yang ironinya judul itu menepati program ‘The Masked Singer Malaysia 2’ iaitu siapa di sebalik topeng, Sherry berharap ia menjadi batu loncatan untuk beliau teruskan penglibatannya sebagai penyanyi.
“Sebenarnya dulu pernah menerima tawaran sebagai penyanyi oleh beberapa syarikat rakaman tetapi Sherry memilih untuk menyertai syarikat penerbangan terlebih dahulu,” kenang Sherry yang kini mengusahakan sebuah salon rambut, ‘Khatulistiwa HairSpa By Sherry Ibrahim’ di Publika, Kuala Lumpur.
Berkongsi soal jodoh, Sherry yang pernah putus cinta dua kali bersama orang seni tidak mahu memikirkannya lagi tetapi berserah segalanya kepada aturan Allah SWT.
Pun begitu, jelasnya, pengalaman lalu mengajarnya untuk lebih berhati-hati dan kemungkinan jika ditakdirkan ada jodoh lebih suka mencari lelaki yang bukan di dalam bidang sama.
“Sherry tak boleh nak cakap tak mahu terus tetapi jika boleh biarlah calonnya bukan dari kalangan orang seni cuma jodoh kita tak boleh kejar, kita hanya boleh berdoa dan bila pula datangnya kita tak tahu,” jawab Sherry dalam ketawa kecil sambil membayangkan seolah-olah sudah mempunyai calon apabila ditanya.
Begitu pun, tambahnya buat masa ini beliau rasa lebih selesa dan gembira dengan kehidupannya sekarang dan berharap dapat terus aktif dalam bidang seni bagi menampung keluarga dan kakitangan yang di bawah tangunggannya sebagai seorang usahawan.
Lakonan Sherry dapat ditonton sekali lagi apabila Awesome TV membawa kembali kandungan drama berbentuk ‘spin off’ iaitu bahagian kedua, ‘Syurga Yang Kedua’ melalui slot ‘Dramatix’, setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 6 Mei, jam 7 malam melalui plstform Astro 123 dan MyTV saluran 112. - KitaReporters