MASJID Ath-Thoyyibah di Desa Kalijati Timur, Kecamatan Kalijati, Kabupaten Subang, Jawa Barat, Indonesia tidak seperti masjid yang biasa kita lihat di tempat lain. Masjid ini begitu istimewa kerana reka bentuknya unik, menyamai bentuk Kaabah di Mekah. Jika di jawa, ada masjid menyerupai Kaabah, di Kelantan pula, ada masjid menyerupai Masjidilharam. : KitaReporters

PEMANDANGAN indah Masjid Ath-Thoyyibah di Subang, Jawa Barat, Indonesia.-Kredit Travel.Dream.co


Bukan sahaja Masjid Ath-Thoyyibah ini berbentuk Kaabah, ia juga menampilkan replika ikon yang ada di Kaabah seperti Makam Ibrahim yang dibina di sisi pintu masuk masjid.

Juga terdapat juga replika Hajar Aswad yang diletakkan di bucu bangunan masjid berhampiran pintu masuk.

Di bahagian hadapan masjid pula, didirikan replika melengkung menyamai Hijir Ismail, sementara di halaman masjid dibangunkan replika Bukit Safa-Marwah, tempat di mana umat Islam melakukan sai'e ketika menunaikan ibadat haji atau umrah di Mekah.

REPLIKA Hajar Aswad diletakkan pada bucu masjid yang berhampiran dengan pintu masuk. - Kredit foto: FB Dayah Elmush.


REPLIKA Makam Ibrahim di sisi pintu masuk Masjid Ath-Thoyyibah. - Kredit foto: FB Rasyid Aditya.


Kawasan masjid pula dihiasi dengan tanaman deretan pokok palma sebagai menggambarkan suasana di padang pasir.

Selain itu dinding masjid juga dihiasai dengan tulisan khat cantik atau kaligrafi seperti tulisan yang menghiasi kelambu Kaabah atau 'kiswah' di Mekah.

Di luar kawasan masjid juga disediakan kawasan untuk tawaf dan sai'e bagi menyediakan latihan yang sangat berguna kepada mereka yang bakal ke tanah suci.

PINTU masuk Masjid Ath-Thoyyibah. Perhatikan kaligrafi pada dinding masjid yang menyamai kaligrafi pada kelambu Kaabah di Mekah.  Juga kelihatan replika Makam Ibrahim. - Kredit foto: FB Baitulloh 79. 


REPLIKA Hijir Ismail dibina di sisi Masjid Ath-Thoyyibah. - Kredit foto: Transmedia.


REPLIKA Bukit Safa dan Marwah dibina di bahagian luar Masjid Ath-Thoyyibah. - Kredit foto: Transmedia.


KERANA keunikan reka bentuk masjid ini, ia bukan sahaja menjadi tempat tumpuan beribadah tetapi juga menjadi tumpuan pelancong yang ingin menyaksikan masjid tersebut dari dekat. Dengan mengunjungi masjid ini, dikatakan mampu menghilangkan kerinduan kepada Kaabah yang mungkin belum pernah mereka kunjungi, serta mengambil gambar kenang-kenangan. 

KEADAAN ruang solat Masjid Ath-Thoyyibah di Subang, Jawa Barat, Indonesia. - Kredit foto: Transmedia.


Memetik laporan detik.news, bangunan Masjid Ath-Thoyibbah berbentuk empat persegi ini memang dibina mirip seperti Kaabah bukan sahaja dari segi bentuk tetapi juga ukuran tinggi dan lebar.

Menurut Pengerusi masjid, Sayyid Keliwon, idea membina masjid itu dicetuskan oleh seorang jemaah dari Kalijati, Haji Kusman, ketika dia mengerjakan umrah di Mekah

Menurutnya, ketika melakukan ibadat tersebut Kusman berniat jika dia pulang dengan selamat, dia akan mendirikan masjid menyerupai Kaabah

Setelah selesai mengerjakan ibadat dan selamat kembali ke Kalijati dalam sihat, dia meneruskan niatnya mendirikan masjid berbentuk Kaabah. 

Maka Masjid Alt-Thoyyibah  menjadi kenyataan!!

PENGERUSI Masjid Ath-Thoyyibah, Sayyid Keliwon. - Kredit foto: Transmedia.


Menurut Sayyid Keliwon, matlamat akhirnya adalah untuk menjadikan masjid tersebut sebagai sebahagian daripada sebuah pusat Islam

Oleh kerana kewujudan pusat sedemikian akan mengambil masa, pembinaan Masjid Ath-Thoyyibah adalah sebagai langkah permulaan.

Beliau berharap dengan adanya Pusat Islam nanti pelbagai kegiatan akan dilaksanakan di situ, termasuk mengadakan kursus haji dan umrah.

Keliwon juga berharap masjid itu akan menjadi inspirasi kepada orang ramai, terutama yang datang berkunjung, untuk segera menunaikan ibadat haji.

Para pengunjung yang datang melawat masjid tersebut rata-rata kagum dengan keunikannya dan berasa  seolah-olah mereka berada di Mekah. Malah ada yang datang berkunjung lebih daripada sekali.

Mereka juga menyifatkan masjid itu sebagai inspirasi kuat untuk menyaksikan Kaabah sebenar di Mekah, sama ada ketika mengerjakan haji atau umrah. - KitaReporters


0
2
0
0
0

Copy Link: