Cegah maksiat! Skuad Amar pantau di lokasi Jambatan Angkat!
Published byPASANGAN bukan suami iateri yang suka melepak dan memadu asmara di beberapa lokasi popular di Terengganu terutama di lokasi Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu yang kini menjadi tumpan pelancong dari dalam dan luar negeri ini perlu berhati-hati kerana gerak geri anda sedang diperhati jika melakukan aktiviti maksiat. : KitaReporters
Anggota Skuad Amar memasang banting peringatan melarang aktiviti maksiat kepada pengunjung di lokasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu. - Kredit foto-foto: Facebook Skuad Amar
Ini kerana kawasan tumpuan di Bandar Raya Persisiran Air itu sering dijadikan tempat bagi pasangan tertentu yang mempunyai niat untuk melakukan aktiviti maksiat terutama pada waktu malam.
Pengunjung mungkin tidak tahu lokasi itu sering dipantau bukan sahaja oleh pihak berkuasa agama malah Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut membantu tanggungjawab pihak berwajib.
Antara NGO yang aktif menjalankan pemantauan pencegahan maksiat di bandar raya tersebut termasuklah Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar (Skuad Amar) Marang.
Ketuanya Nasaruddin Samsuden berkata pertubuhan terbabit akan sentiasa mengadakan operasi pencegahan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral terus berleluasa.
Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjadi tumpuan orang ramai beriadah pada waktu malam.
Katanya, dalam operasi di Drawbridge (Jambatan Angkat) baru-baru ini, 15 pasangan telah diberikan amaran keras, manakala satu pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.
Beliau berkata, pasangan yang dibawa ke Pejabat Agama Kuala Terengganu itu akan disiasat untuk kesalahan di bawah seksyen 36, Mewatie, enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Anggota Skuad Amar sedang memerhati pasangan bukan suami isteri yang berdua-duan di lokasi Jambatan Angkat, Kuala Terengganu
Menurut beliau, pemantauan itu tertumpu di beberapa lokasi mencurigakan, kawasan gelap dan mereka yang berdua-duaan di dalam kereta atau sebagainya.
"Skuad Amar juga akan membuat cegahan secara berterusan, malah bunting-bunting penerangan tentang kesalahan jenayah syariah serta perbuatan tidak sopan di tempat awam turut digantung di setiap lokasi tertentu," katanya.
Nasaruddin berkata, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau anak-anak terutama anak perempuan lebih-lebih lagi pada waktu malam
"Jangan sampai mereka terikut-ikut dengan hawa nafsu, dan terjerumus dalam pemikiran yang menyebabkan mereka terlanjur atau mendekatkan diri ke arah penzinaan," katanya.
Pasangan ini turut diperiksa oleh Anggota Skuad Amar ketika berada berdua-duan di dataran Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu
Operasi yang bermula 8.00 malam itu mendapat kerjasama penuh daripada Pegawai Penguat Kuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan penglibatan seramai hampir 60 orang.
Terdahulu, pada 8 Julai 2020 lalu, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memaklumkan penubuhan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral berlaku. - KitaReporters