Pengantin baharu... Jasmin Hamid dan Nazmir Abd Rahman. - Kredit foto-foto: IG Jasmin Hamid


Bagai mimpi bagi pelakon senior Jasmin Hamid apabila dapat bersuamikan orang baharu setelah 13 tahun hidup menjanda.

Memandangkan usianya sudah 47 tahun, dia sudah hampir menutup hatinya buat lelaki lain dan sudah selesa tidur berseorangan.

Namun jodoh dan maut ditentu oleh Illahi dan Jasmin atau nama sebenarnya Jasmiah Abdul Hamid tidak menyangka diberi jodoh kali kedua.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perkahwinan


Dan perkara yang tidak dijangkanya apabila mendapat suami seorang teruna dan lelaki itu adalah pengurus peribadinya (PA) selama lapan tahun.

Nazmir Abd Rahman, 35, yang selama ini membahasakan diri mereka ‘adik dan kakak’, berani melamarnya untuk menjaga kehidupan Jasmin hingga ke akhir hayat dengan secara halal.



Terkejut dengan lamaran pengurus peribadinya, Jasmin berbincang dengan anak-anak dan mereka tidak membantah.

Akhirnya Jasmin dan Nazmir diijabkabulkan di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada Jumaat, 19 November 2021 jam 3.30 petang.

Jasmin tidak meminta hantaran yang bukan-bukan kerana sedar akan kemampuan kewangan Nazmil. Jasmin hanya meminta sepasang peralatan solat dan mas kahwin RM80 mengikut peraturan di Wilayah Persekutuan. Dan pasangan pengantin ini hanya mengadakan majlis doa selamat untuk keluarga terdekat.


Kedua-dua mempelai bersama anak-anak jasmin. - Kredit foto: IG Jasmin Hamid

Jasmin hidup menjanda setelah berpisah dengan bekas suami lelaki Scotland, Ian Rashid Macquistan, pada 4 Februari 2008. 

Hasil perkahwinan dengan Ian Rashid pada 15 Disember 2000, Jasmin memperolehi cahaya mata lelaki, Ian Haziq yang kini berusia 20 tahun dan giat berlakon.

Selain itu, Jasmin mempunyai dua anak angkat yang dipelihara sejak kecil iaitu Lukhman Hakim dan Rohana. Jasmin membela anak-anak angkat ketika dia berusia 20 tahun iaitu ketika awal terlibat dalam bidang lakonan.


Jasmin bersama ibu bapa mentuanya. - Kredit foto: IG Jasmin Hamid


Jasmin menceburi bidang lakonan setelah menjuarai pertandingan ‘ratu’ Dewi Remaja pada tahun 1990/91. Selepas menjuarai pertandingan itu, Jasmin ditawar berlakon dalam filem ‘Boss’ oleh penerbit Suhan Movie, Pansha. Ketika itu usia Jasmin baru 17 tahun.

Jasmin sudah berlakon dalam 15 filem dan puluhan drama TV. Walaupun usianya semakin meningkat, namun peluangnya berlakon tetap banyak. Jasmin dikatakan berada dalam kumpulan 20 pelakon veteran yang masih laris dalam pasaran.

Pernikahan tanpa publisiti ini mendapat ucapan tahniah daripada sejumlah artis dalam Instagramnya.Instagram Jasmin  turut memuatkan gambar-gambar akad nikah bersama suami dan anak-anaknya.

Dan beberapa rakan artis memberi ucapan tahniah dalam Instagram Jasmin Hamid. - KitaReporters

"Adik kakak disatukan dengan pasangan masing-masing pada hari yang Jumaat yang barakah" - Jasmin Hamid. - Kredit foto: IG Jasmin Hamid. 


12
14
0
13
0

Copy Link: